BANDAR SERI BEGAWAN, RABU, 2 Mac. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, negara masih terpelihara dari tekanan inflasi tersebut berkat adanya dasar dan usaha kerajaan untuk terus membantu rakyat dan penduduk melalui subsidi-subsidi dalam beberapa keperluan asasi.
"Kita hanyalah dikehendaki bersyukur dan mengelakkan sebarang pembaziran serta penyelahgunaan ke atas subsidi-subsidi yang dihulurkan itu", titah baginda sultan.
Baginda sultan bertitah mengingatkan sebarang penyalahgunaan seperti penyeludupan keluar barang-barang subsidi itu hukumnya adalah haram dan suatu jenayah.
"Semua agensi penguat kuasa bagi pencegahan adalah kewajipan menanganinya," titah baginda di Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ketujuh bagi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) tahun 1432 hijrah / 2011 masihi di Dewan Persidangan MMN, Dewan Majlis, Jalan Kebangsaan kelmarin.
Kebawah DYMM juga turut bertitah membangkitkan isu bayaran yang tertunggak bagi kemudahan dan utiliti-utiliti yang disubsidi itu dengan jumlahnya bukanlah sedikit tapi sehingga beratus juta ringgit.
"Di samping membawa kerugian kepada kerajaan ia juga turut melibatkan soal tabiat yang tidak baik yang perlu diubah dan dikikis," tegas baginda.
KECEKAPAN PERLU DALAM PENGURUSAN KEWANGAN
Baginda menambah titah, walaupun pendapatan banyak, namun ia bukanlah jaminan bagi kestabilan dan kekukuhan kewangan andainya ia tidak diurus dengan cekap dan berhemah.
Ini titah baginda lagi dapat diambil iktibar daripada krisis hutang yang dialami oleh beberapa negara di dunia, yang berpunca daripada pelbagai sebabnya antaranya perbelanjaan besar di luar kemampuan, pembaziran rasuah dan lain-lain.
BENCANA ALAM
Baginda Sultan dalam titah juga menyentuh fenomena bencana alam yang berlaku beberapa bulan kebelakangan di beberapa bahagian dunia yang mengakibatkan kerosakan-kerosakan besar, kesusahan dan juga nyawa terkorban.
Negara kita juga, tegas baginda sultan, turut mengalami banjir di beberapa tempat bahagian yang rendah terutama di kawasan-kawasan pedalaman.
Namun demikian, tambah baginda sultan, kejadian-kejadian tersebut dapat ditangani dengan usaha dan semangat padu di kalangan agensi keajaan dan orang ramai.
Sungguhpun begitu baginda berharap akan adanya rancangan dan tindakan oleh agensi berkenaan bagi mengurangkan kemungkinan banjir yang berulang-ulang.
EKONOMI
menyentuh isu pembangunan ekonomi negara, baginda sultan meluahkan harapan agar semua lapisan rakyat dan penduduk khasnya pihak swasta dan para belia akan dapat sama-sama bergiat lagi progresif untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi negara ini.
"Janganlah berlepas peluang atau tertinggal di belakang disebabkan oleh sikap banyak menunggu atau asyik menonton sahaja," titah baginda sultan.
Sehubungan dengan itu, jelas baginda sultan, Kerajaan tetap mengutamakan peningkatan pembangunan kapasiti demi menyedari akan hebatnya saingan dari arus deras globalisasi untuk kelangsungan ekonomi dan kewangan kita.
Perkara ini, titah baginda, juga penting untuk mengisi sebarang kehendak dan peluang kerajaan dan perniagaan.
"Maka untuk itu, kerajaan beta - secara berterusan - telah menyediakan peruntukan yang bersesuaian kepada kementerian dan jabatan bukan sahaja untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masing-masing, malahan juga dapat diambil peluang oleh belia-belia yang sedang mencari pekerjaan di sektor awam dan swasta".
Sehubungan dengan itu baginda sultan melahirkan kegembiraan melihat latihan-latihan bersepadu yang diberikan kepada anak-anak muda untuk meningkatkan kemahiran perniagaan mereka.
"Penekanan kepada pendidikan teknikal dan vokasional yang dikuatkan oleh Kementerian Pendidikan adalah bertepatan pada masa ini', titah baginda sultan lagi.
Dalam masa yang sama titah baginda, kerajaan sedang menjana iklim perniagaan yang lebih kondusif.
"Misalnya baru-baru ini kerajaan baginda telah memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Pandu 'Ease of Doing Business' bagi tujuan untuk memudah cara bisnes di negara ini dan juga untuk meningkatkan kedudukan negara dalam indeks pencapaian 'Ease of Doing Business'.
Baginda juga menyeru ahli MMN supaya dapat meneruskan serta melipatgandakan usaha masing-masing dalam memeduli permasalahan rakyat dan penduduk di negara ini sama ada mereka yang bermastautin di kawasan bandar mahupun di kawasan-kawasan pendalaman. Apa jua permasalahan itu kita tangani dengan baik dan sempurna dengan jalan berunding dan hati yang terbuka dalam dewan yang mulia ini.