LIMBARUH HIJAU, JERUDONG, 11 RabiulAwal 1432 (Selasa, 15 Mac 2011)- PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) dengan rendah hati memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kehadrat Allah SWT atas langkah bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengembalikaan martabat perundangan Islam
di negara yang tericnta ini.
NDP juga dengan ini berdatang sembah kehadapan majlis baginda sultan untuk merakamkan ucapan tahniah atas kebijaksanaan baginda dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana mengambil langkah berani menegakkan semula Hukum Syarak dalam sistem perundangan negara.
Dalam hal ini juga NDP sangat-sangat rasa tersentuh dan terharu dengan titah baginda menegaskan pentingnya Negara Brunei, selaku negara Islam yang telah merdeka sepenuhnya dan diperintah sendiri oleh orang Islam, mengembalikan hukum Allah sepenuhnya yang dipaksa meninggalkan dan terpaksa ditinggalkan berikutan campur tangan kuasa asing.
NDP dikesempatan ini berazam akan terus menyokong dan membantu baginda Sultan kearah merealisasikan hasrat murni baginda Sultan itu yang sebenarnya selari seperti apa yang telah dicadangkan dalam Manifesto Politik NDP 2006-2016 dibawah Bab PENDEMOKRASIAN KEADILAN.
Dalam manifesto Politik NDP tersebut, parti telah mencadangkan dan berikrar untuk sedia menyokong sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk :
Mewujudkan pendemokrasian keadilan di Negara Brunei Darussalam di mana rakyat Kebawah DYMM serta penduduk Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam diberikan hak mereka untuk diadili sepenuhnya secara saksama mengikut Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW atau Syariat Islam di dalam semua aspek perundangan, termasuk sivil, jenayah dan lain-lain, melalui kaedah berperingkat-peringkat (tadarruj).
Hak ini dihadkan kepada rakyat Kebawah DYMM dan penduduk yang beragama Islam sahaja.
Dalam mewujudkan pendemokrasian keadilan kepada rakyat Kebawah DYMM serta penduduk Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam, Syariat Islam yang dimaksudkan itu tidaklah seharusnya terhad atau terbatas kepada mana-mana fahaman fiqah tetapi bersandarkan kepada kaedah-kaedah dan hukum-hukum asasi yang telah digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah;
Menjamin kebebasan kehakiman dan pelaksanaan keadilan, serta berpegang kepada prinsip:
o kesilapan membebaskan pesalah adalah lebih baik dari menghukum orang yang tidak bersalah;
o bagaimana hendak membebaskan yang dituduh dan bukannya bagaimana hendak menghukum yang dituduh;
Menubuhkan Jawatankuasa Tetap (Kehakiman dan Undang-undang) di dalam Majlis Mesyuarat Negara yang bertindak memantau sistem kehakiman dan keadilan di Negara Brunei Darussalam, serta memantau penerapan kesaksamaan di dalam keadilan dan kesaksamaan di bawah undang-undang, dan pengukuhan serta pelaksanaan peraturan undang-undang (rule of law) dengan penuh ketelusan yang berteraskan sistem keadilan Islam.
Dalam Manifesto Politik tersebut juga digariskan bahawa Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha untuk :
Menubuhkan sebuah panel guaman untuk memberi nasihat guaman dan membantu ahli-ahli dan orang awam yang menghadapi masalah perundangan;
mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa untuk membantu mempastikan perjalanan sistem dan roh keadilan menepati kehendak keadilan Islam, yang mutlak dan sejagat.
Meninjau Titah KDYMM Di Persidangan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB)
Dalam titah di Persidangan Majlis Ugama Islam (MUIB) baginda Sultan menyentuh pentingnya mengembalikan mertabat Hukum Syarak di negara Brunei Darussalam.
Kearah itu baginda menekankan perlunya negara mempunyai akta yang benar-benar merujuk kepada hukum syarak untuk menangani kes-kes jenayah syarak.
Dalam masa sama baginda menekankan perlunya juga akta yang ada sekarang dikekalkan untuk menangani sekiranya kes itu tidak sesuai atau tidak mencukupi syarat untuk ditangani dengan akta Syarak.
Seterusnya titah baginda, jika tidak begitu, semua kes boleh dibatalkan begitu sahaja dan ini tentu akan mengundang kepada keadaan-keadaan yang tidak menentu di dalam masyarakat di mana semua tangkapan-tangkapan, misalnya, di bawah Bab-bab 177 dan 178 Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 tidak boleh berjalan dan jika tidak boleh berjalan ertinya jenayah-jenayah khalwat dan zina berleluasa jadinya.
Walau bagaimanapun titah baginda, akta yang ada pada masa ini masih relevan untuk dikekalkan di samping perlu juga ada akta jenayah syarak sebagai 'reserved' bagi masa-masa tertentu dan boleh dipakai.
Dengan cara itu Allah akan melepaskan kita daripada azabnya kerana tidak melaksanakan undang-undang, tegas baginda.
Pengunaan istilah Hukum Syarak bukan isu
Istilah atau nama bagi undang-undang jenayah syarak itu titah baginda, tidaklah mesti dipanggil hudud atau undang-undang hudud atau mahkamah hudud, tidak mesti perkataan hudud mengandungi makna yang umum sebagai aturan-aturan atau batasan-batasan di dalam Al-Qur'an ada beberapa ungkapan yang berbunyi 'hududullah' ertinya aturan-aturan hukum Allah atau batasan-batasan hukum Allah atau syariat Allah.
Ia sebenarnya meliputi semua hukum hakam termasuk di antaranya hukum puasa, hukum bersatu dengan isteri dalam bulan puasa, hukum nikah kahwin dan pendeknya semua hukum hakam untuk mengatur kehidupan dalam ibadat akidah dan syariah. Semuanya itu adalah mendukung maksud hududullah.
Dalam konteks hukum jenayah syarak istilah hudud itu, baginda seterusnya menyatakan sudah tidak digemari dan malah dibenci oleh orang-orang yang jahil dan ia dijadikan sebagai 'momok' dan alasan untuk menolak undang-undang jenayah yang dikanunkan oleh Allah.
"Jadi kalau kita tidak mahu memakai istilah ini pun pada hemat beta tidaklah ia jadi masalah. Kita boleh namakan dengan lain-lain seperti misalnya undang-undang jenayah syarak atau undang-undang jenayah Islam atau undang-undang jenayah Allah Ta'ala dan lain-lain asal sahaja selari dengan hududullah atau aturan atau batasan hukum-hukum Allah," ujar baginda.
Baginda juga menyarankan pihak-pihak berkaitan untuk mengambil keputusan yang bijaksana dalam mencapai matlamat penting demi keredaan Allah.
Dua sistem perundangan bukan satu masalah
Terdahulu dari itu, baginda bertitah, dengan mempunyai dua sistem perundangan dan dua sistem kehakiman iaitu syarak dan sivil adalah tiada masalah jika ia dikekalkan berjalan seiring.
Baginda bertitah, yang sivil sahaja, sudah banyak mensesuaikan dengan kehendak ugama lagipun bukan semua sivil itu bertentangan dengan syarak.
Mana-mana yang tidak bertentangan dengan syarak, titah baginda, kita kekalkan ia, sementara yang bertentangan sahaja kita sesuaikan dengan kehendak syarak.
Baginda bertitah, matlamat kita cuma untuk mencari yang terbaik di dunia dan di akhirat, manakala undang-undang jenayah syarak hanya itu sahaja lagi yang kita masih menelitinya.
Pada hemat baginda, akta jenayah syarak tidak ada masalah jika kita memilikinya di samping terus mengekalkan apa yang ada.
Mengembalikan martabat Perundangan Islam
Baginda seterusnya bertitah agar kita perlu memilikinya dengan alasan-alasan, antaranya, kerana ia adalah undang-undang Allah dan kita dituntut supaya melaksanakannya.
Kita selaku hamba yang beriman tidak ada pilihan lain melainkan wajib mentaati suruhan itu, tegas baginda.
Selain itu Brunei, titah baginda bukanlah baru dengan undang-undang Allah tetapi sejak sebelum abad ke-17 lagi sudah pun memakainya hanya oleh kerana campur tangan dari kuasa asing maka Brunei terpaksa atau lebih tepat dipaksa untuk meninggalkannya.
Negara Brunei Darussalam, titah baginda, adalah merupakan sebuah negara tua menjadi negara Islam semenjak dari sultan pertamanya lagi, Sultan Muhammad Shah, tahun 1363 hingga 1402 Masehi sekitar sebelum 200 tahun setelah zaman baginda, Brunei mulai menggubal undang-undangnya sendiri yang dikenali sebagai hukum kanun Brunei.
Undang-undang ini titah baginda dipercayai telah pun ditulis pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Hassan, tahun 1582 hingga1598 Masehi dan sempurna dilaksanakan serta dikuatkuasakan dalam zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalilul Akhbar tahun 1598 hingga 1659 masehi.
Titah baginda undang-undang tersebut diteruskan lagi sebagai menjunjung wasiat daripada Sultan Abdul Jalilul Jabar tahun 1659 - 1660 masehi.
Jelas titah baginda, ini menunjukkan hukum kanun Brunei pernah menjadi undang-undang dasar kepada Brunei dalam makna undang-undang ini telah pernah berjalan dengan luasnya di negara ini sehingga sampai kepada kedatangan dan campur tangan inggeris.
Kemudian titah baginda, ini turut diakui oleh orang inggeris sendiri yang datang ke Brunei pada tahun 1871 masehi.
Kandungan hukum kanun Brunei itu,menurut para pengkaji jelas baginda adalah berasaskan undang-undang Islam di samping juga terdapat unsur undang-undang adat Melayu yang terdiri daripada lebih 40 asal dan lebih separuh adalah mengandungi unsur-unsur Islam antaranya termasuk juga undang-undang jenayah (syarak) .
Sekarang Brunei pun sudah merdeka, berkuasa penuh untuk menguruskan dirinya sendiri dan dengan kuasa memerintah pula berada dalam tangan orang Islam, maka tidakkah bagi penguasa Islam dan umat Islam yang bernaung di bawahnya wajib untuk mengembalikan semula undang-undang Allah itu dibumi ini?.
"Kalau tidak, bererti kita semua berdosa dan akan ditanya di akhirat kelak," jelas titah baginda.
Jika Brunei memiliki undang-undang jenayah syariahnya sendiri, titah baginda, ia boleh terus mengekalkan undang-undang yang sedia ada malah ia adalah mustahak.
Ke arah pelaksanaan undang-undang jenyah syarak itu bukanlah satu perkara yang mudah tetapi amat sukar, kerana syarat-syaratnya terlampau ketat, di samping syarat keterangan bagi pensabitan satu-satu kes ia sungguh susah untuk dipenuhi..
Baginda memberikan contoh seperti jenayah zina, di mana mesti ada empat orang saksi, lelaki Islam yang adil yang mengaku menyaksikan perzinaan tersebut, yakni keempat-empat saksi itu mestilah sama-sama melihat keadaan dan perkara itu. Jika tiga saksi sahaja misalnya yang melihat dan seorang lagi tidak maka ini tidak dianggap memadai.
Begitulah, ketatnya syarat-syarat kesaksian bagi jenayah syarak itu sehingga yang ada yang menganggapnya sebagai mustahil untuk dapat memperolehinya, titah baginda.
Walau bagimanapun baginda yakin semua kesusahan itu adalah sebagai rahmat Allah kepada manusia untuk menutupi aib mereka.
Walaupun ia tidak mudah dilaksanakan atau seperti mustahil untuk dapat dilaksanakan namun ia tetap dituntut untuk kita mempunyainya akta jenayah syarak itu, tegas baginda. Jika tidak pun dapat dilaksanakan dalam keadaan biasa tetapi mungkin dalam keadaan luar biasa yang tidak diduga.
Walaupun sukarnya undang-undang jenayah syarak itu, untuk dapat dilaksanakan, titah baginda, tetapi ianya masih relevan dengan masa kini sementara undang-undang yang sedia ada sekarang masih boleh dikekalkan.
Mana-mana kes jenayah syarak akan dinilai terlebih dahulu sama ada boleh sesuai, mencukupi syarat syarak untuk ditangani dengan akta jenayah syarak ataupun tidak.
Kalau tidak, jelas baginda, ia akan ditangani dengan undang-undang biasa, iaitu setelah ia dirujuk kepada undang-undang syarak terlebih dahulu.
Perkara ini berbeza dengan keadaan sekarang, di mana kita sekarang belum ada lagi mempunyai akta jenayah syarak, makanya apabila ada kes, kita akan terus sahaja menangani dengan undang-undang biasa yang ada, padahal undang-undang syarak ada di dalam nas Al-Qur'an dan dituntut kita melaksanakannya, tegas baginda.