Usul Pembinaan Jalan Dan Jambatan Menghubungkan
Daerah Temburong Dengan Bandar Seri Begawan
Menginsafi bahawa dari segi geografi, daerah Temburong terpisah sepenuhnya dengan daerah-daerah lain di Brunei, dan bahawa kaedah perhubungan yang ada kini terhad kepada laluan air atau terpaksa melalui wilayah jiran yang memerlukan penggunaan paspot, dan ini menghalang kelancaran perhubungan dan pergerakan penduduk yang secara langsung memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan setempat,
Menginsafi akan pentingnya daerah Temburong dihubungkan dengan Bandar Seri Begawan melalui jalan darat bagi mempercepatkan perjalanan dan perhubungan dan sekaligus memecah tembok pemisah yang memberi kesan negatif akibat dari pemisahan geografi tersebut, dan seterusnya membuka ruang kepada kebolehcapaian agihan kekayaan dan pembangunan negara yang lebih seimbang dan meluas,
Menginsafi dengan bilangan penduduk yang begitu kecil iaitu sebanyak 9,400 orang sahaja, kuasa membeli agregat pastinya terhad, dan ini merupakan halangan yang besar kepada kadar pertumbuhan dan pembangunan, akibatnya tidak banyak peluang ekonomi yang wujud, justeru ini menyumbang kepada penghijrahan penduduk, kesannya, Temburong terus terperangkap di dalam kitaran ini dan terpinggir berbanding dengan daerah-daerah lain,
Menginsafi bahawa daerah Temburong adalah luas iaitu merangkumi 20 peratus dari keluasan keseluruhan Negara Brunei Darussalam, mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai pusat eco-tourism justeru di sana terletaknya Taman Negara Ulu Temburong, Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Kuala Belalong, Pusat Outward Bound, dan dimajukan sebagai jelapang makanan negara justeru adanya tanah pertanian yang belum diusahakan secara komersil dan sistematik,
Menginsafi bahawa halangan geografi dan fizikal yang sedia ada tidak sewajarnya dibiarkan terus menerus menjadi batu penghalang kepada perencanaan pembangunan setempat dan hambatan kepada interaksi rakyat,
Menginsafi bahawa pengwujudan infrastruktur yang menghubungkan Daerah Temburong dengan Bandar Seri Begawan merupakan pra syarat dan pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan Daerah Temburong,
Menginsafi bahawa apa jua pelaburan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Kebawah DYMM untuk menghubungkan Daerah Temburong dengan Bandar Seri Begawan akan memberi pulangan yang berlipat ganda sama ada dari aspek ekonomi mahupun sosial,
1. Mengingati akan usul mengenai Pembinaan Jalan Dan Jambatan Menghubungkan Daerah Temburong Dengan Bandar Seri Begawan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
2. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Pembinaan Jalan Dan Jambatan Menghubungkan Daerah Temburong Dengan Bandar Seri Begawan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mempertimbangkan dengan serius bagi membina jalan yang menghubungkan Kuala Labu ke Ayam-Ayam yang seterusnya dihubungkan pula ke Bandar Seri Begawan melalui pembinaan jambatan merentasi Sungai Brunei; dan bahawa cadangan ini tidak wajar dilengah-lengahkan memandangkan daerah Temburong selama ini terpinggir dan tersisih dari arus pembangunan perdana; dan bahawa cadangan ini juga mempunyai impak langsung terhadap strategi keselamatan Negara Brunei Darussalam, dan soal kekesanan kos atau cost effectiveness tidak seharusnya menjadi wajaran (weightage) kepada rasional dan pertimbangan ke atas cadangan ini; sebaliknya potensi kemajuan masa hadapan dalam berbagai kegiatan pertanian perladangan, pelancongan eco-tourism, industri hiliran yang berkaitan dan aliran kemasukan pelaburan yang boleh dijana melalui pembangunan ini, seharusnya dijadikan perangsang dan kriteria untuk mempercepatkan perlaksanaannya; dan bahawa cadangan ini boleh memberi kesan dan manfaat secara langsung kepada rakyat dan penduduk di Temburong secara khusus dan Negara Brunei Darussalam pada amnya, sekaligus menyumbang kepada pencapaian objektif Wawasan 2035; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya menyegerakan kajian kemungkinan (feasibility study) dan kajian kesan alam sekitar (environmental impact assessment) dengan hasrat untuk mempercepatkan pembinaan infrastruktur perhubungan yang dicadangkan.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.
5. Usul Menaiktaraf Dan Membangunkan Daerah Temburong
Mengingati bahawa Manifesto Parti Pembangunan Bangsa (NDP) 2006 – 2016 telah mempersembahkan wawasannya agar Daerah Temburung dijadikan sebagai Kota Kampus atau Kota Ilmu,
Menginsafi bahawa Daerah Temburung adalah sebuah daerah yang diapit oleh dua wilayah Malaysia iaitu Lawas dan Limbang, dan dari segi pembangunan ianya ketinggalan jauh berbanding kedua-dua wilayah Malaysia tersebut, dan bahawa pembangunan daerah Temburong dan khususnya Pekan Bangar akan merapatkan jurang pembangunan setempat dan seterusnya membuka peluang-peluang kegiatan ekonomi yang baru yang mampu menyaingi dan mengimbangi pembangunan kedua-dua bandar kejiranan itu dan sekaligus mengurangkan aliran keluar tukaran asing,
Menginsafi bahawa Pekan Bangar yang mempunyai kedudukan sebagai pusat transit laluan Miri, Brunei, Limbang ke Sabah dan laluan dari Sabah, Lawas ke Limbang, Brunei atau Miri, mempunyai potensi yang tidak diterokai sepenuhnya bagi menjana pembangunan daerah Temburong secara keseluruhannya,
Menginsafibahawa keciciran Daerah Temburong dari arus pembangunan perdana merupakan titik hitam kepada usaha Kerajaan Kebawah DYMM dalam mengungkayahkan pembangunan yang seimbang dan meluas bagi manfaat yang menyeluruh kepada setiap rakyat Brunei, apatah lagi apabila dibandingkan dengan pembangunan yang begitu pesat di daerah negara jiran,
Menginsafi bahawa dalam kerangka menuju sebuah negara maju di bawah matlamat Wawasan 2035, seharusnya setiap daerah di dalam negara ini menikmati pembangunan yang seimbang dan mampan,
Menginsafi bahawa potensi sebenar Daerah Temburong hanya akan terserlah apabila Kerajaan Kebawah DYMM merintis langkah-langkah pembangunan dan infrastruktur yang terancang yang membuka peluang kepada kemasukan pelaburan asing dan swasta ke daerah tersebut,
1. Mengingati akan usul mengenai Menaikkan Taraf Pekan Bangar Kepada Bandar Bangar yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007;
2. Mengingati akan usul mengenai Menaiktaraf Dan Membangunkan Daerah Temburong yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
3. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum akan Usul Menaikkan Taraf Pekan Bangar Kepada Bandar Bangar yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007 di mana pada Kongres tersebut telah mengambil persetujuan dan ketetapan supaya Kerajaan Kebawah DYMM mempertimbangkan untuk menaik taraf Pekan Bangar kepada Bandar Bangar sebagai bandar persinggahan dengan jolokan “Bandar Bangar - Kota Kampus”; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum akan usul mengenai Menaiktaraf Dan Membangunkan Daerah Temburong yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil pendekatan strategi pembangunan menyeluruh dalam memajukan daerah Temburong supaya tidak ada lagi kawasan yang terus tercicir dari arus pembangunan, mencadangkan penubuhan Lembaga Kemajuan Daerah Temburong atau Development Authority of Temburong singkatannya DART, yang akan bertanggungjawab merangka Pelan Induk Pembangunan Temburong 2035 yang akan merangkumi pembangunan zon-zon Kota Kampus, zon pertanian komersil, zon penempatan moden, zon perbandaran dan komersil, zon warisan alam semulajadi dan Taman Negara, merangka strategi kependudukan untuk memastikan Daerah Temburong mempunyai penduduk seramai sekurang-kurangnya 100,000 orang menjelang 2035 sebagai prasyarat menjadi pembandaran yang self-sufficient dan bukannya pembandaran satelit, dan seterusnya bertanggungjawab untuk memantau perlaksanaan projek-projek pembangunan di samping menarik pelaburan tempatan dan luar; mencadangkan supaya Kerajaan Kebawah DYMM membina sebuah Istana Hinggap bagi melambangkan kehadiran Kebawah DYMM Sultan di daerah Temburong yang akan menambah rasa kecintaan dan jatidiri rakyat dan penduduk di daerah ini terhadap Baginda, dan bahawa kewujudan Istana ini seharusnya dijadikan pemacu kepada pembangunan yang pesat (fast track development), supaya jurang yang memisahkan Temburong dengan daerah-daerah lain di Brunei dan daerah-daerah di negara jiran dapat dirapatkan menjelang Wawasan 2035; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya menyegerakan penyediaan konsep dan Pelan Induk Pembangunan Temburong 2035 yang memberi ruang kepada semua pihak untuk memberi input dan pandangan ke arah penghasilan sebuah pelan pembangunan yang komprehensif dan mapan.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.