Menginsafi bahawa perjuangan kemerdekaan lazimnya mempunyai sejarah yang panjang dan penuh berliku, justeru banyak berlaku pertembungan dan pergeseran disebabkan perbezaan ideologi atau pendekatan di kalangan para pendukung perjuangan, namun demikian, matlamat mereka semuanya adalah satu iaitu untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bebas, merdeka dan berdaulat,
Menginsafi bahawa dalam kemelut perjuangan, disebabkan oleh perbezaan ideologi dan pendekatan, ada sebahagian para pejuang kemerekaan yang telah memberikan korban yang besar kepada negara, mungkin terpinggir dan dilupakan oleh sejarah dan generasi kini, menyebabkan wujud persepsi yang tidak adil yang telah ditanam oleh sistem pendidikan penjajah, seolah-olah mereka itu adalah penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara,
Menginsafi bahawa demi melahirkan sebuah negara yang rakyatnya mempunyai jatidiri dan memiliki kesedaran terhadap sejarah sebenar negara; perlunya pentafsiran semula sejarah dibuat dengan penuh keinsafan, fikiran dan hati yang terbuka untuk menerima kebenaran,
Menginsafi bahawa sejarah perjuangan bangsa adakalanya menghasilkan pengalaman pahit dan hitam sebagai sebahagian dari asam garam perjuangan, justeru dalam kelangsungan perjuangan itu kita hendaklah dengan berani dan bijaksana menghadapi kenyataan dan seterusnya membuka lembaran baru, mencari titik-titik persamaan yang boleh menyambung semula ikatan silaturrahim bangsa yang terputus dan merapatkan yang renggang untuk menoktahkan peristiwa hitam itu dan membawa kepada rekonsilisasi sebenar antara semua pihak demi kesejahteraan bangsa dan negara yang abadi,
Menginsafi bahawa menghubungkan silaturrahim di kalangan rakyat jelata adalah menjadi tuntutan Islam dan sebaliknya memutuskan hubungan silaturrahim atau tidak berusaha untuk menghubungkan jalinan yang terputus adalah tindakan yang dicela dan ditegah oleh Islam,
Menginsafi bahawa para pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan ikhlas demi bangsa dan negara tidak pernah berharap jasa mereka dikenang dan dijulang, namun bagi mana-mana bangsa yang bertamadun, jasa tersebut pasti dikenang dan dijulang bagi menyuburkan rasa kesedaran dan semangat patriotisme di kalangan rakyat yang kini menikmati kemerdekaan hasil daripada pengorbanan dan perjuangan para pejuang terdahulu,
Menyedari betapa pentingnya rakyat mesti berbangga dengan sejarah perjuangan bangsanya, dan perlunya dipupuk semangat patriotik dan jatidiri berbangsa dan bernegara yang sentiasa siap siaga memelihara serta mempertahankan kemerdekaan dan nilai-nilai kebangasaan yang unggul,
Mengingati akan kemuliaan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam yang adil lagi berihsan,
Menginsafi bahawa masih ada pejuang-pejuang kemerdekaan Brunei yang masih menumpang di negara jiran yang dikenakan sekatan persona non grata untuk kembali ke Brunei berikutan penglibatan mereka di dalam perjuangan kemerdekaan dari luar Negara di era pra kemerdekaan dahulu,
Menginsafi bahawa perpaduan nasional itu adalah asas kepada kekuatan sebuah negara dan kepulangan pejuang-pejuang kemerdekaan Brunei yang masih di perantauan akan menautkan kembali hubungan silaturrahim yang telah sekian lama terputus,
1. Mengingati akan usul mengenai Rekonsilisasi Nasional yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
2. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Rekonsilisasi Nasional yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan sesuai dengan semangat Manifesto Politik Parti Pembangunan Bangsa (NDP) 2006-2016, mencadangkan kepada Kerajaan Kebawah DYMM, supaya mengisytiharkan satu hari, sebagai Hari Pahlawan dan menyambutnya pada setiap tahun dengan mengiyistiharkan hari tersebut sebagai hari kelepasan am bagi mengenang jasa pejuang-pejuang kemerdekaan negara dan para pahlawan yang mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara dari semenjak dahulu lagi; dan mencadangkan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Sultan Dan Yang Di Pertuan, kiranya akan dapat menimbang dan memperkenankan semua pelarian politik yang berada di luar negara untuk kembali ke tanah air tanpa syarat dan tanpa melalui sebarang proses penahanan oleh pihak berkuasa dan memulihkan atau memberikan status kerakyatan kepada mereka yang terlupus status kerakyatannya atau ke atas anak-anak dan isteri-isteri mereka yang bukan berasal dari rakyat Brunei, ke arah mewujudkan sebuah masyarakat harmoni dan bebas prasangka bak kata pepatah biduk lalu kiambang bertaut, air dicincang tak akan putus, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua, kerana ke mana pulangnya sirih kalau tidak ke gagang dan ke mana pulangnya belut kalau tidak ke lumpur, dan tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mempercepatkan proses untuk membolehkan para pejuang kemerdekaan Brunei yang masih di perantauan yang masih setia kepada Kebawah DYMM dan Negara untuk kembali dan mengecapi nikmat kemerdekaan di bumi Brunei ini.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.