Menyedari bahawa hasrat untuk membawa perubahan politik demi memberi suara kepada rakyat secara langsung telah pun dibayangkan seawal tahun 1994 melalui titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan sempena menyambut perayaan hari ulangtahun ke 10 Kari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari 1994,
Menyedari bahawa pembukaan semula Majlis Mesyuarat Negara sebagai wadah syura rakyat adalah pada hakikatnya satu kurniaan yang harus diterima dan dijunjung dengan penuh takzim daripada Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan, justeru pengisytiharan pembukaan semula Majlis Mesyuarat Negara itu dititahkan sempena dengan sambutan perayaan keputeraan Baginda yang ke-58 tahun pada 15 Julai 2004,
Menyedari bahawa segala peruntukan perundangan ke arah pembaharuan politik dan pemilihan wakil rakyat secara langsung ke dalam Majlis Mesyuarat Negara telah disempurnakan melalui pindaan perlembagaan pada 29 September 2004 dan telah diperkenankan oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan melalui titah pemasyhuran pindaan perlembagaan pada tarikh yang sama,
Menyedari bahawa perlaksanaan pembaharuan politik adalah komponen penting dan bersepadu yang mesti dibangun dan bergerak sama dalam kerangka pencapaian Wawasan Brunei 2035 sebagai prasyarat kepada penerimaan dan pengiktirafan Negara Brunei Darusalam sebagai salah satu negara sepuluh terbaik dunia oleh masyarakat antarabangsa bersandarkan kepada nilai-nilai sejagat,
Menyedari bahawa perkembangan dan pergolakan politik serantau dan antarabangsa khususnya di negara Bhutan dan Nepal yang dari segi kedudukan ekonomi, tahap pendidikan dan taraf hidup, jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Brunei, namun keberanian raja dan rakyat negara tersebut melaksanakan perubahan politik, seharusnya diambil iktibar dan dijadikan cabaran kepada semua pihak untuk mempercepatkan langkah-langkah pembaharuan politik yang dipelopori oleh Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan,
Menyedari akan perkembangan semasa dan ancaman kekurangan makanan dan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh semua negara di dunia, maka telah tiba masanya untuk Kerajaan Kebawah DYMM mengongsi masalah ini dengan rakyat dengan melibatkan rakyat secara langsung untuk menggalas tanggungjawab bagi mencari penyelesaian dalam menentukan halatuju negara kerana permasalahan tersebut menyentuh kehidupan rakyat secara langsung,
Menyedari bahawa rakyat Brunei sesungguhnya memiliki kematangan untuk melaksanakan tanggungjawab di bawah sistem pemilihan perwakilan memandangkan selama ini mereka secara langsung terlibat di dalam pemilihan ketua kampung dan penghulu di peringkat kampung dan mukim, dan kini bersedia untuk menjalankan tanggungjawab yang sama di peringkat nasional,
Menyedari bahawa perlunya seluruh lapisan rakyat dengan penuh iltizam dan keinsafan diberi tempat dan hak untuk berdiri teguh di belakang Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan untuk sama-sama menghadapi apa jua cabaran yang mendatang, dan memperkasakan NDP sebagai aras kuasa (powerbase) dan saluran aspirasi rakyat di peringkat akar umbi,
Menginsafi bahawa perkembangan pembaharuan dan kesedaran politik di negara ini masih berada di tahap yang rendah meskipun langkah ke arah tersebut telah dirintis oleh Kebawah DYMM Paduka seri baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan sejak 1994 lagi,
Menginsafi bahawa proses pembaharuan dan kesedaran politik itu adalah pra syarat untuk membolehkan penyertaan rakyat yang aktif dan bermakna dalam pemerintahan negara dalam menuju Wawasan 2035,
1. Mengingati akan usul mengenai Pembaharuan Politik yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
2. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Pembaharuan Politik yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan merafak sembah dan menjunjung kasih ke atas kurnia dan anugerah yang besar ertinya kepada rakyat, melalui pembaharuan politik yang telah dicetus dan dilaksanakan sehingga kini oleh Kebawah DYMM Sultan, khususnya pembukaan semula Majlis Mesyuarat Negara, dan pemasyhuran serta perkenan Baginda ke atas pindaan perlembagaan 29 September 2004, selari dengan titah dan hasrat Baginda untuk mewujudkan satu struktur penglibatan rakyat yang lebih formal, yang membuka ruang kepada sistem pemilihan wakil rakyat secara langsung, ke arah mewujudkan iklim poltik yang sihat melalui pendekatan terbuka, mesra dan berhemah selari dengan nilai-nilai amalan politik Islam dan norma-norma politik antarabangsa, demi mempergiat dan menstruktur semula sistem syura dalam pemerintahan negara dengan menambah bilangan ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dipilh secara terus oleh rakyat; dan bahawa langkah ini mesti disegerakan tanpa sebarang kelengahan; dan bahawa elit penguasa dan pentadbir hendaklah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Baginda demi melicinkan proses perubahan yang selaras dengan titah dan hasrat Baginda, dan seterusnya mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik berteraskan tuntutan semasa yang mengarah kepada ketelusan, keadilan, kesaksamaan, dan keterlibatan rakyat secara menyeluruh dalam semua sistem dan proses politik berpaksikan akauntabiliti, dan bahawa keputusan perlaksanaan perubahan politik itu adalah bergantung kepada kebijaksanaan dan perkenan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam jua; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil langkah-langkah yang lebih berani dan mewujudkan suasana yang lebih kondusif bagi menggalakkan dan menyuburkan penyertaan dan kegiatan politik yang sihat di kalangan seluruh rakyat negara ini.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.