LIMBARUH HIJAU 21 MAC 2010 - AHLI-AHLI Majlis Tertinggi (MT) Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kelmarin meluahkan rasa kesal dengan sikap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang semacam menyalahakn pihak berkenaan yang tidak dapat mempertimbangkan permohonan bagi kenaikan tangga gaji dan pencen bagi anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat yang dihadapkan oleh kementerian beliau.
Ahli-ahli MT meluahkan rasa kesal ini ketika bersidang di Mesyuarat Khas MT bagi membincangkan langkah berterusan pihak Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tidak membenarkan ranting-ranting NDP mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan di rumah-rumah Ketua-Ketua Ranting. Langkah tersebut telah menghalang Ranting Belait 1 (Singa Menteri) untuk meneruskan Mesyuarat Agung Tahunan Ranting yang dijadualkan berlangsung pada hari ini.
Dipersidangan MT 'tergempar' itu isu cadangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri berhubung menaikan tangga gaji dan pencen anggota Pasukan Bomba yang ditolak oleh 'pihak berkenaan' turut diberikan perhatian. Juga turut dibahaskan ialah isu untuk menghalalkan arak bagi kepentingan industri pelancungan yang dibawa oleh Yang Berhormat Pehin Goh di Dewan Majlis Mesyuarat Negara ke-6.
Berhubung isu anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat, ahli-ahli MT NDP sependapat jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan itu sangat mendukacitakan.
Ahli-ahli MT NDP berpendapat jawapan tersebut seolah-olah mengambarkan terdapatnya ketidak seragaman dan tidak seriama antara Pehin Menteri (dalam hal ini sebagai pihak yang cuba mejuarai kemaslahatan anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat yang dibawah pentadbiran Kementerian beliau) dengan pihak berkenaan yang telah menolak sokongan beliau itu.
Apa yang juga turut membingungkan siapakah pihak berkenaan yang dimaksudkan beliau. Ia semestinya pihak yang lebih berkuasa dan tinggi dari Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Apakah yang dimaksudkan adalah pihak Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan? Sudah dimaklumi kedua-dua entiti ini dibawah portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dalam persidangan tersebut ahli-ahli MT NDP juga sependapat mungkin permohonan yang disokong penuh oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu tidak cukup mantap dan tidak cukup fakta hingga tidak dapat dipertimbangkan oleh pihak-pihak berkenaan.
Walau apapun, persidangan MT NDP kelmarin sebulat suara meluahkan rasa kesal kerana jawapan YB Pehin Menteri itu kurang elok dan mengambarkan beliau tidak seirama dengan 'pihak berkenaan'.
Sementara itu berhubung isu menyediakan zon khas bagi penjualan arak bagi kepentingan pelancung yang bukan Islam, ahli-ahli MT NDP sangat kesal dengan YB Pehin Goh yang jelas tidak memahami hasrat Kebawah DYMM untuk menjadikan Brunei sebagai sebuah Negara Zikir.
Persidangan MT Khas bersetuju YB Pehin Goh selaku rakyat Kebawah DYMM sepatutnya sudah memahami konsep Melayu Islam Beraja dan Negara Brunei sebagai sebuah Negara Islam dan Negara Zikir serta memahami hasrat baginda sultan untuk menjadikannya satu kenyataan, justeru beliau seharusnya mempertahankan dan menyokong kehendak baginda bukannya mencari ruang untuk 'menghalalkan' arak konon untuk kepentingan ekonomi negara di Dewan Majlis Mesyuarat Negara.
|