Menginsafi bahawa rumah merupakan salah satu daripada keperluan asas dan justerunya menjadi tanggungjawab Kerajaan Kebawah DYMM menyediakan rumah yang bersesuaian kepada setiap rakyat yang memerlukannya,
Menginsafi masalah rakyat tidak berumah adalah isu sosial yang kritikal dan perlu ditangani segera oleh Kerajaan Kebawah DYMM kerana ianya adalah sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan Kebawah DYMM Islam yang tidak boleh sama sekali diabaikan,
Menginsafi bahawa ketidakupayaan Kerajaan Kebawah DYMM menyediakan kemudahan perumahan yang diperlukan akan menjejaskan pencapaian objektif untuk mewujudkan kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi di bawah Wawasan Brunei 2035,
Menyedari bahawa statistik sejak 20 tahun lalu, khususnya dalam RKN8 menunjukkan prestasi dan keupayaan agensi pelaksana untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat adalah rendah dan jauh dari sasaran yang ditetapkan,
Menyedari bahawa di bawah RKN9 (OSPD 2007 – 2012) sebanyak 9,000 unit rumah dirancang untuk dibina, walhal di bawah RKN8, dari jumlah 9,000 unit rumah yang dirancang, cuma sebanyak 969 unit atau 10.8% sahaja yang mampu disiapkan,
Menyedari bahawa keperluan perumahan rakyat dan permohonan tapak rumah tidak mungkin dapat dipenuhi dalam tempoh Rangka Strategi dan Dasar Pembangunan (OSPD) Pertama berdasarkan ketidakupayaan agensi pelaksana memenuhi permintaan sebelum ini, dalam masa yang sama permohonan rumah di seluruh negara kini kian meningkat melebihi 43,000 dan permohonan tanah Kerajaan Kebawah DYMM bagi tapak rumah yang tertunggak mencecah 13,000,
Menginsafi bahawa anggota-anggota pasukan-pasukan keselamatan yang terdiri dari ABDB, Polis, Bomba dan Penyelamat, Keselamatan Dalam Negeri dan Biro Anti Narkotik sewajarnya diberikan kuota perumahan untuk membolehkan mereka memiliki rumah sebaik mereka memasuki pasukan berkenaan,
1. Mengingati akan Usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 29 - 30 April 2006,
2. Mengingati akan Usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007,
3. Mengingati akan Usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
4. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 29 - 30 April 2006 yang mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada Jabatan Perumahan Negara supaya merangka pelan jangka panjang perumahan rakyat mengikut konsep perumahan keluarga Islam bagi memungkinkan setiap keluarga memiliki rumah sendiri; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakui semula akan Usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007 yang mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada Kerajaan Kebawah DYMM supaya menubuhkan sebuah Syarikat Perumahan Negara bagi mempercepat penghasilan perumahan untuk dijual kepada rakyat, di samping itu, Jabatan Kemajuan Perumahan pula dipertanggungjawabkan mengendalikan urusan penghasilan perumahan rakyat jati; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakuai semula usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa supaya agensi pelaksana menyegerakan pembinaan rumah-rumah kediaman seperti yang dihasratkan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, untuk memenuhi keperluan rakyat Baginda yang meningkat dari masa ke semasa, bagi memastikan rancangan perumahan negara dilaksanakan secara berkesan agar setiap keluarga mempunyai tempat kediaman yang selesa, dalam persekitaran yang menggalakkan perkembangan minda dan akhlak yang sihat, melalui strategi pendekatan pelbagai yang melibatkan perkongsian pintar sektor awam dan swasta (public - private smart partnership), tanpa terus bergantung kepada kaedah konvensional yang terbukti tidak berkesan; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada Kerajaan Kebawah DYMM supaya anggota-anggota pasukan keselamatan yang terdiri dari ABDB, Polis, Bomba dan Penyelamat, Keselamatan Dalam Negeri dan Biro Anti Narkotik diberikan kuota perumahan khas untuk ditawarkan kepada anggota-anggota berkenaan sebaik mereka memasuki mana-mana pasukan keselamatan yang dimaksudkan, di samping menyediakan kemudahan pinjaman untuk membolehkan mereka memiliki rumah sendiri di bawah skim ini di awal perkhidmatan mereka lagi.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.
|