Usul Mengatasi Masalah Banjir Di Ulu Tutong
Menginsafi bahawa dalam tahun 2008 sahaja daerah Ulu Tutong telah EMPAT KALI dilanda banjir,
Menginsafi bahawa banjir yang melanda ini telah banyak membawa kesulitan dan kesengsaraan kepada penduduk sama ada dari segi fizikal atau emosi,
Menginsafi bahawa banjir yang berulangkali ini sesungguhnya menjejaskan punca pendapatan dan usaha rakyat dan mengakibatkan beban kewangan,
Menginsafi bahawa kejadian banjir yang tidak terkawal menyebabkan rakyat sentiasa hidup dalam kebimbangan dan ketakutan,
Menyedari bahawa pihak-pihak yang berwajib gagal menangani masalah banjir ini dan memberikan perhatian dan bantuan yang sewajarnya,
Demi menjunjung dan menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Perayaan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari, 2009 yang menegaskan, “Seperti kita sedia maklum, baru-baru ini negara mengalami bencana agak luar biasa, di mana sebahagian kawasan dilanda banjir, tanah susur, gangguan bekalan eletrik dan sistem perhubungan. Ini, tidak syak lagi, adalah satu cabaran untuk menjadikan sebagai peringatan dan pembelajaran, bagaimana langkah-langkah perlu diambil serta dipersiapkan, bagi sekurang-kurangnya, mengurangkan kesan-kesan kejadian tersebut. Dasar belajar dan mengenali punca hendaklah dihidupkan terus. Jangan memadai setakat membuat kerja-kerja rutin sahaja, tetapi mesti dicari jawapan-jawapan tepat mengapa ia terjadi, dan kemudian bagaimana mengatasinya? Satu soalan mudah, misalnya: Mengapakah dahulu tidak berlaku dan sekarang berlaku? Dahulu, di kawasan-kawasan tertentu tidak pernah banjir tetapi sekarang banjir besar? Dahulu tidak berbangkit tanah susur tetapi sekarang banyak tempat yang berlaku tanah susur? Ini semua, memerlukan jawapan-jawapan tepat yang berfakta, bukannya setakat teori semata-mata.”,
Menginsafi bahawa masalah banjir ini masih berterusan dan belum ada tindakan penyelesaian bersifat jangka panjang oleh pihak berkuasa bagi mengatasinya,
Menginsafi bahawa perancangan yang komprehensif dan tindakan yang bersepadu adalah perlu dalam usaha mengatasi masalah banjir ini,
1. Mengingati akan usul mengenai Mengatasi Masalah Banjir Di Ulu Tutong yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
2. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Mengatasi Masalah Banjir Di Ulu Tutong yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa pihak-pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian-Kementerian yang berkaitan supaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan adil dan saksama, khususnya Kementerian Pembangunan, dan Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam perlu mengambil tindakan segera dalam melaksanakan projek pendalaman dan pembersihan Sungai Tutong dengan tujuan dan matlamat untuk mempastikan kejadian banjir tidak berulang lagi; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil langkah-langkah segera dan drastik dalam usaha mengatasi masalah banjir yang berulang dan melaksanakan penyelesaian jangka panjang demi menjamin keselamatan dan kebajikan penduduk setempat.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.
Usul Mengatasi Masalah Keciciran Penuntut
Menginsafi bahawa keciciran penuntut adalah satu simptom dan petanda kelemahan dalam sistem pendidikan negara yang mungkin menyumbang kepada pelbagai masalah dan penyakit sosial,
Menginsafi bahawa keciciran penuntut jika tidak dibendung sudah pasti akan menjejaskan kualiti dan produktiviti modal insan negara,
Menginsafi bahawa taraf pendidikan merupakan salah satu pra syarat kepada peningkatan taraf dan kualiti kehidupan rakyat. Tamadun bangsa adalah ditentukan oleh ilmu. Allah SWT mengingatkan manusia di dalam kitab suci Al Quran, “Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan pengetahuan dengan kelebihan beberapa darjat.”,
Menginsafi bahawa antara faktor-faktor yang menyebabkan keciciran penuntut ini ialah tidak mencapai tahap kelayakan akademik yang ditetapkan serta tidak berpeluang menyambung pelajaran akibat tempat yang terhad,
Menyedari bahawa harapan dan cita-cita untuk mencapai objektif Wawasan 2035 akan terjejas sekiranya masalah keciciran ini tidak ditangani dengan segera dan penuh bijaksana,
Menyedari bahawa pada tahun 2006, jumlah penuntut di Universiti cuma seramai 3,713 orang atau 0.97 peratus berbanding dengan bilangan penduduk seramai 383,000 orang dan ini merupakan satu kadar yang terlalu jauh dari sasaran sebuah negara maju,
Menyedari bahawa kekurangan prasarana pengajian di setiap peringkat menggambarkan kelemahan perancangan strategi pendidikan negara,
Mengamati akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-18 Tahun 2008 Masehi pada hari Sabtu 18 Oktober 2008 yang menyatakan, “Selaras dengan perkembangan, beta telah memperkenankan bagi Institut Teknologi Brunei (ITB) dinaikkan tarafnya kepada sebuah universiti dengan mengekalkan namanya ITB. Beta juga memperkenankan bagi sebuah politeknik baru ditubuhkan, dan memperkenankan Maktab Jururawat Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah ditempatkan di Institut Perubatan Universiti Brunei Darussalam serta dijadikan sebuah Jabatan Penjagaan Kesihatan.”,
Menginsafi bahawa dalam cita-cita untuk melahirkan generasi rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, Kerajaan Kebawah DYMM perlu komited dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi dan tenaga pengajar yang berkualiti dan mencukupi berserta dengan prasarana yang lengkap dan terkini untuk menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat,
1. Mengingati akan usul mengenai Mengatasi Masalah Keciciran Penuntut yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
2. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Mengatasi Masalah Keciciran Penuntut yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa pihak-pihak yang berkenaan khususnya Kementerian-Kementerian berkaitan supaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka secara dinamik, adil dan saksama, khususnya Kementerian Pendidikan, dan Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, perlu mengkaji semula dasar dan perlaksanaan Dasar Pendidikan Negara serta memfokus kepada masalah keciciran penuntut demi pembangunan anak-anak watan Bangsa Brunei yang tercinta dengan menyediakan pelan induk yang menggariskan strategi pendidikan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya merangka pelan kontinjensi untuk mengembalikan pelajar-pelajar yang keciciran ke arus pendidikan perdana dengan memberi penekanan kepada pendidikan teknik dan vokasional.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.