Menginsafi bahawa rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dari berbagai lapisan masyarakat mempunyai peranan, tanggungjawab dan penglibatan secara langsung dalam menentukan matlamat dan halatuju negara,
Menginsafi akan harapan rakyat untuk menikmati keselesaan kehidupan dan menikmati kestabilan politik sebenar,
Menyedari bahawa perencanaan kemajuan yang komprehensif adalah perlu bagi membantu rakyat dan penduduk menghadapi cabaran dunia moden dan keyakinan tentang masa hadapan keluarga dan masyarakat seluruhnya,
Menyedari bahawa apa jua perencanaan kemajuan hendaklah bersandarkan kepada nilai-nilai sosial, budaya, rohani dan sejarah negara bangsa,
Menginsafi bahawa kejayaan Wawasan 2035 adalah amat bergantung pada pemerkasaan reformasi institusi demi meningkatkan keupayaan dan tahap kecekapan agensi-agensi pelaksana,
Menginsafi bahawa pelaksanaan dasar pembangunan negara hendaklah diselaraskan dan digandingkan bersama Falsafah MIB demi menjamin pencapaian matlamat negara Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafuur,
1. Mengingati akan usul mengenai Wawasan 2035 yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
2. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Wawasan 2035 yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menyokong sepenuhnya Rancangan Kemajuan Jangka Panjang dan Wawasan Brunei 2035 yang dilancarkan Kerajaan Kebawah DYMM baru-baru ini dengan mengambil kira bahawa sistem pemantauan dan penyampaian Kerajaan Kebawah DYMM perlu kepada penambahbaikan bagi mempertingkatkan iltizam, istiqamah dan keupayaan; dan bahawa perencanaan kemajuan hendaklah mengambil kira hak-hak orang Melayu sebagai bangsa dan ketuanan di Negara Brunei Darusaalam dengan mempastikan mereka memperolehi sekurang-kurangnya 50% bahagian dalam kegiatan ekonomi; dan bahawa falsafah Melayu, Islam, Beraja haruslah ditampilkan dengan jelas dan dirasai kesan dan pengaruhnya dalam semua rencana pembangunan negara, justeru perencanaan kemajuan negara mestilah lengkap dan menyeluruh, iaitu merangkumi perencanaan fizikal dan bukan fizikal; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mempertimbangkan dan melaksanakan reformasi institusi bagi menjamin pencapaian projek-projek pembangunan negara dalam kerangka menuju Wawasan 2035.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.