Menjunjung titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Perasmian Majlis Ilmu 2008 Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-62 Tahun Pada 23 Rejab 1429 Bersamaan 26 Julai 2008,
Menjunjung titah dan iltizam Kebawah DYMM yang menegaskan keazaman Baginda untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir yang sentiasa mengagungkan Allah,
Menginsafi bahawa dengan keyakinan mendalam Negara Zikir itu akan menjadi ‘tuah’ kepada semua, kerana ia pasti disukai oleh Allah, Tuhan Maha Pencipta, dan akan mendapat rahmat serta pertolongan-Nya,
Menyokong dengan sepenuh jiwa dan raga akan keazaman Kebawah DYMM bahawa konsep Negara Zikir akan memandu kita menuju ke arah kecemerlangan membangun negara dan kehidupan, dengan perkara-perkara yang dipandang baik serta bagus oleh Allah dan juga oleh manusia,
Menyedari bahawa Negara Zikir adalah negara yang bangsa dan masyarakatnya sentiasa ingat Tuhan dalam berfikir dan bertindak yang misinya untuk menjadi umat terbaik yang dilahirkan bagi menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan menuju matlamat negara yang aman makmur yang sentiasa mendapat keampunan Tuhan,
Teruja dengan cabaran Kebawah DYMM agar semua pihak mestilah sama-sama memahami karakteristik Negara Zikir itu, apa fundamentalnya dan bagaimana ruang lingkupnya, supaya kita benar-benar meyakininya sebagai acuan dan landasan yang sangat-sangat kita perlukan,
1. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar pelaksanaan Konsep Negara Zikir itu tidak disempitkan dan dibataskan kepada amalan-amalan rutin dan ritualistik semata-mata, tetapi mestilah diluaskan bertepatan dengan pengertian zikir sepertimana yang dijelaskan dalam Al Quran; dan bahawa meneliti dengan mendalam pandangan Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Kebawah DYMM Negara Brunei ke arah melahirkan siasah zikir, ekonomi zikir, sosial zikir dan pertahanan zikir; dan bahawa dilaksanakan maqasid syariah yang bertujuan memelihara akal, agama, harta, nyawa dan keturunan selaras dengan prinsip pemerintahan Islam yang menghormati hak rakyat untuk bebas bersuara, berfikir, beribadat, berniaga dan memiliki harta; dan bahawa menstruktur dan mentransformasikan segala aspek pemerintahan dan pentadbiran negara dan rakyat dengan berpaksikan Al Quran dan Sunah menuju matlamat Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafuur; dan bahawa memperkasakan dan mengaplikasikan pendekatan sistem sosial Islam dalam menangani masalah kemiskinan di kalangan umat Islam dan bukan Islam; dan bahawa memartabatkan dan memperluaskan skop dan tanggungjawab Kementerian Hal Ehwal Ugama Islam sebagai agensi tunggak yang berperanan sebagai pelindung dan penyelamat, pusat rujukan dan pemudahcara mengenai apa jua masalah rakyat dan penduduk tanpa mengira bangsa dan agama mereka; dan bahawa memperkasakan undang-undang syariah sehingga mampu menjadi sumber utama rujukan masyarakat non muslim untuk menyelesaikan masalah dan pertikaian isu-isu kekeluargaan mereka.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.