Menginsafi betapa tingginya risiko keselamatan, ancaman ke atas kedaulatan bangsa dan negara akibat terlalu bergantung kepada negara-negara luar untuk mendapatkan keperluan bekalan makanan asas,
Menginsafi betapa setiap penduduk berhak mendapat bahan makanan terjamin cukup, berkhasiat, halal dan bermutu tinggi,
Menginsafi bahawa usaha menyediakan makanan yang cukup untuk rakyat adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sama ada semasa aman atau semasa krisis,
Menyedari betapa semua pihak perlu lebih inovatif dan agresif mengungkayahkan bidang pertanian dan ternakan bagi penghasilan bahan makanan untuk keperluan Negara sebagai strategi komersial dan keselamatan yang perlu diterokai dan diceburi,
Mengamati akan titah Kebawah DYMM Sultan dan Di Pertuan Negara Brunei Darussalam yang bertitah sempena Persidangan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kedua Majlis Mesyuarat Negara pada 15 Mac 2006 bersamaan 15 Safar 1427, supaya sektor pertanian dipertingkatkan bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan-bahan makanan import,
Mengamati akan amaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai krisis makanan yang dihadapi dunia pada hari ini dan ancaman berterusan kekurangan makanan
akibat pengeluaran negara-negara pengeluar yang terjejas dengan perubahan iklim dan bencana alam yang tidak dapat diramal kini,
Menyedari terdapat kawasan-kawasan lembah terbiar seperti Lembah Ukong, Rambai dan Kuala Balai yang boleh dimanfaatkan sebagai kawasan tanaman rumbia, untuk menjadi tanaman sampingan kepada padi,
1. Mengingati akan usul mengenai Keselamatan Permakanan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 29 - 30 April 2006;
2. Mengingati akan usul mengenai Keselamatan Makanan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
3. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Keselamatan Permakanan yang telah di luluskan dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 29 - 30 April 2006 yang mengambil persetujuan dan ketetapan mendesak Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama mengambil langkah-langkah strategik bagi menghasilkan bekalan makanan yang cukup, berkhasiat dan bermutu demi keselamatan dan kesejahteraan negara dan rakyat sama ada semasa aman atau krisis; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Keselamatan Permakanan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM merangka dan membangunkan dasar pertanian makanan bagi menjamin pengeluaran bahan-bahan makanan terutama sekali makanan asas khususnya beras dan sagu yang mencukupi; dan bahawa Kerajaan Kebawah DYMM, disarankan membangun industri asas tani bagi pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan secara komersial dan sekaligus mengurangkan pergantungan negara kepada bekalan import; dan bahawa pihak-pihak berkenaan menggiatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi pertanian yang berdaya maju bagi memanfaatkan setiap bidang tanah yang ada, serta memacu dan merangsang industri asas tani yang berdaya maju dan menarik untuk diterokai secara komersial melalui usaha-usaha tambah nilai dengan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara pemerosesan dan pengeluaran makanan halal untuk pasaran tempatan dan antarabangsa; dan bahawa membangunkan daerah Temburong dan Lembah Ukong di Daerah Tutong sebagai lembah pertanian dan jelapang bekalan makanan negara dengan menyediakan segala kemudahan infrastruktur, pembiayaan, bantuan pemasaran, galakan, bimbingan dan sokongan logistik yang bertepatan demi menjana inisiatif pertanian perladangan berskala besar ke arah melahirkan generasi petani moden yang dinamik dan berdaya saing; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya mengambil inisiatif untuk menerokai penanaman pokok sagu atau rumbia sebagai tanaman sampingan kepada padi memandangkan terdapat kawasan-kawasan lembah terbiar seperti Lembah Ukong, Rambai dan Kuala Balai yang boleh dimanfaatkan sebagai kawasan tanaman rumbia.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.