Menginsafi bahawa kadar kemiskinan yang tinggi dan sekiranya tidak dibendung boleh memudaratkan kesejahteraan, kestabilan dan keselamatan negara,
Menginsafi bahawa meskipun pendapatan per kapita KDNK adalah setinggi BND 47,964 (2006), dengan KDNK negara berjumlah BND 15.9 bilion pada akhir RKN 8, namun negara Brunei Darussalam masih belum berupaya membebaskan diri dari isu dan permasalahan kemiskinan,
Menginsafi bahawa isu dan masalah kemiskinan yang ditokok pula oleh masalah pengangguran yang tinggi di kalangan para belia dan siswazah mempunyai impak sampingan yang luas yang boleh menjejaskan pencapaian Wawasan Brunei 2035 dan masalah-masalah sosial yang lain,
Menyedari bahawa sekarang ini dianggarkan lebih 20 ribu orang yang tersenarai dalam asnaf fakir dan miskin yang layak menerima bantuan daripada Baitulmal dan bantuan Kebajikan Masyarakat, dan dipercayai bahawa bilangan tersebut terus meningkat dari tahun ke setahun,
Menyedari bahawa Kerajaan Kebawah DYMM sentiasa memandang serius mengenai isu kemiskinan, dan pelbagai usaha dan strategi telah dibuat bagi menangani masalah ini, namun kadar kemiskinan belum berjaya dikurangkan,
Demi Menjunjung Dan Menyokong titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 12 November 2005 yang menyentuh persoalan kemiskinan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang berbunyi “kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan akar umbi, tidak syak lagi, adalah komponen yang penting dalam struktur kepimpinan sesuatu masyarakat. Mereka boleh berperanan menciptakan kesejahteraan di kalangan rakyat dan penduduk, khasnya siapa-siapa yang sememangnya menjadi sasaran khidmat yang terdiri daripada orang-orang yang susah atau yang bermasalah.”,
Demi Menjunjung Dan Menyokong titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-4 Majlis Mesyuarat Negara pada 4 Mac 2008 yang melontarkan sindiran berbunyi, “Semenjak Negara mencapai kemerdekaannya, pendapatan per kapita penduduk adalah memberangsangkan. Sepuluh tahun selepas merdeka, ianya terus meningkat. Ini, tidak diragukan lagi, dengan sendirinya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat. Sebagai contoh: Pada tahun 1944, pendapatan per kapita adalah sebanyak BND 23,502 dan naik lagi pada tahun-tahun berikutnya sehingga mencecah kepada BND 47,964 pada tahun 2006. Bertolak dari sini, sepatutnya kadar kemiskinan dengan sendirinya adalah menurun. Maka berdasarkan ini, apakah tidak terlintas di ingatan kita untuk menetapkan salah satu matlamat Wawasan ialah, untuk menjadikan kadar kemiskinan di Negara ke tahap sifar?”,
Demi Menjunjung Dan Menyokong titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Keberangkatan Baginda Ke Persidangan Majlis Ugama Islam pada 13hb Januari 2009 yang menegaskan, “Kita semua sedia maklum, bahawa di antara fungsi zakat itu ialah untuk mengeluarkan asnaf-asnaf fakir miskin daripada kepompong kefakiran dan kemiskinan. Mereka ini telah diletakkan paling depan sekali dalam susunan asnaf-asnaf, suatu isyarat tentang kelebihutamaan mereka itu untuk ditangani dengan zakat. Begitu juga untuk menolong asnaf penanggung hutang keluar daripada cengkaman hutang yang menyusahkan yang dianggap menyamai kesusahan yang dirasai oleh fakir miskin. Maka berasaskan inilah, beta telah terpanggil untuk mengetahui kedudukan beberapa perkara yang bersangkutan dengan asnaf fakir miskin dan orang-orang penanggung hutang (al-gharimin). Siapakah sebenarnya mereka itu? Di mana kedudukan mereka di segi hukum zakat? Bilakah mereka benar-benar berhak menerima zakat? Adakah zakat itu disegerakan pengagihannya atau boleh ditangguh-tangguh atau ditahan-tahan, sedangkan asnaf yang berhak adalah wujud dan masih memerlukan?”,
Menginsafi bahawa meskipun Kerajaan Kebawah DYMM telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah kemiskinan, namun langkah-langkah tersebut masih tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di negara ini,
Menginsafi bahawa Kerajaan Kebawah DYMM perlu mencari pendekatan baru dan mengambil langkah berani dengan mengenengahkan sistem jaminan sosial yang dianjurkan oleh Islam sebagai langkah yang praktikal dan pragmatik dalam mengangani isu kemiskinan,
1. Mengingati akan usul mengenai Kemiskinan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 29 - 30 April 2006;
2. Mengingati akan usul mengenai Kemiskinan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007;
3. Mengingati akan usul mengenai Kemiskinan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
4.Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Kemiskinan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 29 - 30 April 2006 di mana pada Kongres tersebut telah mengambil persetujuan dan ketetapan menyeru pihak-pihak berkenaan supaya melancarkan pelan pembangunan raksaksa meliputi jangka pendek dan jangka panjang yang boleh mewujudkan peluang peningkatan pendapatan rakyat dan sekali gus membasmi kemiskinan di kalangan rakyat; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan mengulangi sekali lagi akan usul Kemiskinan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007 yang mengambil persetujuan dan ketetapan meminta Kerajaan Kebawah DYMM mengklasifikasikan kemiskinan sebagai isu nasional dan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya membuat satu kajian yang komprehensif dan seterusnya mengambil langkah-langkah strategik dan proaktif bagi membasminya; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakui semula usul Kemiskinan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan supaya Kerajaan Kebawah DYMM mendedahkan indeks kemiskinan rasmi dan menetapkan objektif agar masalah kemiskinan dibasmi sepenuhnya menjelang akhir Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD 1) pada 2017 dengan menaikkan pendapatan serta taraf hidup individu dan keluarga dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi mengatasi masalah pengangguran melalui pendekatan pembangunan ekonomi rakyat yang berpegang kepada falsafah dan prinsip-prinsip rajin dan kuat berusaha, berdikari dan tidak bergantung kepada subsidi Kerajaan Kebawah DYMM sahaja dan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan sederhana, melalui perencanaan projek dan program kemajuan RKN9 dan RKN10 yang memberi kesan yang besar dan langsung serta mempastikan sistem penyampaian awam dibuat penambahbaikan untuk mempertingkatkan keberkesanannya; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengkaji dengan mendalam pendekatan dan aplikasi sistem jaminan sosial Islam untuk mengatasi masalah kemisikinan di negara ini secara menyeluruh dan saksama di mana setiap rakyat yang miskin, tanpa mengira agama atau bangsa akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.