Menginsafi bahawa Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah menitahkan sempena sambutan tahun baru 2005 betapa mustahaknya proses pengembangan sektor swasta negara, dan negara tidaklah akan dapat maju dengan cepat dan sempurna tanpa sektor swasta yang teguh dan dinamik,
Menginsafi bahawa di bawah Wawasan 2035 telah digubal Strategi Pembangunan Perniagaan Tempatan yang menekankan pendekatan untuk membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan membolehkan rakyat Melayu Brunei untuk menjadi pemimpin dalam perniagaan dengan lebih kompetetif,
Menginsafi bahawa betapa PKS memberikan sumbangan yang penting kepada pertumbuhan ekonomi yang mantap dan memberansangkan melalui ‘produktiviti faktor-keseluruhan’ (total-factor productivity) yang tinggi, yang berupaya menjana kegiatan ekonomi melalui peningkatan pengeluaran untuk memenuhi permintaan dalam negeri dan mengurangkan keperluan negara untuk mengimport,
Menyedari bahawa betapa PKS merupakan wadah bagi usahawan baru untuk memulakan perniagaan dalam pengeluaran dan seterusnya berkembang maju sebagai penggerak ke arah menjadikan Brunei sebagai negara yang mempunyaii ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan di antara sepuluh negara teratas dari segi pendapatan per kapita menjelang 2035,
Menyedari bahawa pembangunan PKS menyumbang secara langsung kepada pembukaan peluang pekerjaan, meningkatkan jumlah simpanan negara dan menjimatkan tukaran asing, mewujudkan agihan pendapatan yang lebih baik kepada penduduk, membantu dalam melahir dan meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja yang terlibat serta memperkukuhkan struktur asas pembangunan industri negara,
Menyedari bahawa PKS adalah industri pelengkap kepada keperluan dan pembangunan bagi mempelbagaikan sektor industri negara, justeru PKS yang aktif dalam pelbagai sektor akan menjadi asas industri yang mantap dan kukuh, juga sebagai alternatif untuk mengurangkan peranan syarikat gergasi antarabangsa,
Menyedari bahawa PKS mampu berperanan sebagai penyerap dan pengimbang kepada pergolakan dan krisis ekonomi, justeru sifat PKS yang anjal dan versatile,
Menyedari bahawa pertumbuhan PKS tidak hanya bergantung kepada pelupusan halangan pentadbiran (administrative barriers), tetapi juga kepada pengwujudan persekitaran pelaburan yang baik, reformasi institusi, asas kewangan, kestabilan politik dan ekonomi makro, dan pertalian dengan syarikat gergasi antarabangsa,
Menyedari bahawa pertumbuhan PKS perlu mendapat sokongan Kerajaan Kebawah DYMM dari segi R&D, pusat penyelidikan dan pembangunan teknologi, latihan sambil kerja, dan kemampuan pihak berkuasa tempatan untuk membantu pembangunan PKS dalam kawasan masing-masing,
Mengingati bahawa di dalam titah Kebawah DYMM Sultan Dan Yang Di Pertuan sempena sambutan tahun baru 2005, bahawa Baginda sangatlah berharap supaya setiap agensi Kerajaan Kebawah DYMM akan dapat menyokong sektor swasta, serta memberinya keutamaan, khusus bagi penubuhan dan pengendalian perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana yang dimiliki oleh rakyat jelata, dan perkara tersebut mestilah diungkayahkan dengan semangat kenegaraan yang tinggi, sebagai satu proses ke arah layanan Kerajaan Kebawah DYMM yang transparent lagi munasabah,
Menginsafi bahawa PKS adalah merupakan pintu masuk untuk orang Melayu Brunei menyertai bidang perniagaan dan pembuatan kerana skop dan skala SME/IKS itu berada dalam tahap kemampuan mereka,
Menginsafi bahawa penyertaan orang Melayu Brunei ke dalam bidang PKS adalah penting kepada kestabilan dan keselamatan negara justeru adanya agihan kekayaan dan ekonomi yang adil,
1. Mengingati akan usul mengenai SME/IKS yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007;
2. Mengingati akan usul mengenai Pembangunan PKS yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
3. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di Pusat Perdagangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula Usul SME/IKS yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007 yang mengambil persetujuan dan ketetapan mendesak Kerajaan Kebawah DYMM supaya memberi perhatian khas kepada pembangunan SME; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakui usul mengenai Pembangunan PKS yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan sesuai dengan semangat Manifesto Politik Parti Pembangunan Bangsa (NDP) 2006 - 2016, menyokong sepenuhnya Strategi Pembangunan Perniagaan Tempatan yang terkandung dalam Rangka Strategi Dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007-2017 untuk mempertingkatkan peluang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta juga memudahkan rakyat Melayu Brunei untuk menjadi pemimpin dalam perniagaan dan industri menerusi kekuatan daya saing, dengan melaksanakan langkah-langkah memperkenalkan program yang direka dengan sempurna dan lengkap dengan pembiayaan, dan memperkenalkan kaedah kemudahan kewangan yang berkesan bagi perusahaan tempatan untuk membantu PKS mendapat kemahiran perniagaan dan menjadikan mereka lebih berdaya saing; dan bahawa memajukan lagi pusat incubation untuk membantu dan menggalakkan PKS dalam bidang ICT, memaksimumkan manfaat dari pelaburan langsung asing (FDI) untuk PKS; dan bahawa menggalakkan peniaga dan industri besar untuk menggunakan produk tempatan, menswasta, mengkomersilkan dan outsourcing perkhidmatan Kerajaan Kebawah DYMM sebagai cara menambah peluang perniagaan bagi PKS, mengurangkan kos menjalankan perniagaan bagi PKS; dan bahawa mengambil persetujuan dan ketetapan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan Kebawah DYMM supaya pentakrifan PKS adalah merujuk dan dikhaskan kepada syarikat-syarikat perniagaan yang dimiliki 100 peratus oleh orang Melayu, supaya Kerajaan Kebawah DYMM membuat takrifan yang jelas bagi mengkategorikan sesuatu syarikat atau perusahaan sebagai perusahaan kecil (small industry) atau perusahaan sederhana (medium size industry) dan menggariskan bentuk-bentuk insentif, faedah dan kemudahan yang boleh diterima oleh setiap kategori; dan bahawa memperkasakan BINA sebagai agensi serenti (One Stop Agency) yang berperanan menyelaras khidmat bimbingan dan latihan, pembangunan dan pemasaran, bantuan teknikal dan kewangan, pemantauan dan penguatkuasaan; dan bahawa mewujudkan jawatankuasa induk bersama antara Kerajaan Kebawah DYMM dan swasta yang melibatkan pihak institusi kewangan, Shell Brunei, BEDB, wakil-wakil PKS dan pihak-pihak yang berkepentingan; dan bahawa meletakkan PKS sebagai Agenda Nasional Bangsa Melayu Brunei demi mempertahankan kedaulatan Bangsa Melayu ke arah menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara dalam menuju matlamat Wawasan 2035; dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa Kerajaan Kebawah DYMM supaya mengambil langkah-langkah yang konkrit untuk merangsang pembangunan SME/IKS dengan memberi penekanan kepada penyertaan orang-orang Melayu Brunei yang aktif melalui galakan, bimbingan dan bantuan yang sewajarnya.
Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan ke-4 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada 25-27 Jamadil Akhir 1430 bersamaan 19-21 Jun 2009, menerima dan mengesahkan usul di atas dengan sebulat suara.