Brunei - M'sia Setuju Bina Lebuh Raya Trans Borneo

 
 

24 Ogos 2006 -- Brunei dan Malaysi bersetuju untuk membina lebuh raya yang bakal dikenali sebagai Lebuh Raya Trans Borneo bagi memudahkan perjalanan ulang-alik antara rakyat kedua-dua negara pada masa depan.

Menurut agensi berita Bernama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri baginda Sultna Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullah, Sultan dan yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mencapai kata sepakat mengenai projek tersebut semasa pertemuan empat mata di Awana Kijal Golf, Beach and Spa Resort di Kemaman Trengganu.

Agensi berita Bernama melaporkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai brkata lebuh raya itu kelak akan menghubungkan Kuching di Sarawak dengan Brunei dan Sabah.

"Projek itu dilihat sebagai penting yang perlu dijayakan berkaitan dengan Lebuh Raya Trans Borneo. Ini adalah kemudahan infrastruktur atau kemudahan yang sangat baik kerana ia dapat menjalin hubungan antara rakyat dengan lebih baik lagi, satu kemudahan yang diperlukan," kata Perdana Menteri Malaysia.

Datuk Seri Abdullah juga dipetik sebagai berkata bagi jangka masa panjang, kerajaan juga bercadang membina lebuh raya yang akan menghubungkan lebuh raya itu sehingga ke Kalimantan, Indonesia.

Juga dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua ketua negara ialah untuk menetapkan kemudahan perjalanan tersebut tanpa menggunakan pasport.

Mengenai isu minyak membabitkan Malaysia dan Brunei di pesisir Pantai Sabah yang berlarutan sejak 2002, Datuk Seri Abdullah berkata perkara itu masih dibincangkan di peringkat pegawai kedua-dua negara.

"Isu berkaitan perkara itu masih perlu diteruskan perbincangan antara kedua-dua pegawai dan keinginan kami berdua ialah supaya perbincangan itu dijalankan dalam suasana persahabatan, apa jua keputusan itu biarlah baik untuk kedua-dua pihak," katanya.

Pertikaian dilporkan bermula selepas syarikat minyak negara Petronas menemui kawasan minyak kira-kira 150 meter dari pantai Sabah pada 2002 yang dianggarkan mempunyai simpanan sehinggga 700 juta tong.

Pada pertemuan itu, Baginda Sultan dan Perdaa menteri Malaysia juga melahirkan rasa amat dukacita terhadap peristiwa di Lubnan.

Brunei telah bersetuju untuk menghantar satu kontinjen kecil bersama pasukan tentera Malaysia ke negara itu (bagi menyertai pasukan pengamanan sementara UNIFIL).

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.