Banjir yang melanda lembah Ukong, daerah pendalaman Tutong merupakan fenomena biasa bagi penduduk di kawasan terbabit. Keadaan seumpama itu berlaku setiap musim tengkujuh sejak puluhan tahun lagi. Keadaan yang dilihat ‘biasa’ oleh setengah kalangan itu sebenarnya adalah penderitaan tahunan yang terpaksa dihadapi dengan tabah oleh penduduk terlibat sementara menantikan perhatian dari pihak-pihak berwajib untuk menanganinya secara berkekalan.
Banjir yang menimpa lembah Ukong tidak syak lagi telah menyebabkan kesulitan dan kerugian harta benda kepada penduduk yang terlibat.
Bagi pandangan penduduk yang terlibat, banjir tersebut boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya boleh dikurangkan jika sekiranya infrastruktur seperti sistem perparitan / pembentungan dibuat dan di selenggara dengan baik.
Walaupun lembah Ukong adalah kawasan terpencil yang jauh dari pembangunan namun ia tetap perlu diberi perhatian dan dibangunkan sewajarnya. Keprihatinan NDP turun padang memberi bantuan kepada mangsa banjir bukanlah disebabkan mereka ‘lapar’ tetapi mengirim satu mesej bahawa lembah Ukong perlu diberi perhatian segera oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Menurut penduduk di lembah Ukong, banjir yang melanda di beberapa kawasan itu adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya sungai yang semakin cetek, anak-anak sungai yang tidak dibersihkan, ketiadaan parit besar di kiri kanan jalan utama dan jalan kecil di kawasan tersebut sedangkan permukaan jalan raya lebih tinggi dari permukaan lain.
Antara impak disebabkan banjir yang kerap berlaku kemungkinan boleh menyebabkan pencemaran, hakisan, kerosakan pada struktur bangunan, kerosakan sistem saliran dan kerencatan aktiviti ekonomi, kerosakan harta benda, pencemaran makanan dan air, penyakit berjangkit, gangguan aktiviti sosio-ekonomi dan persekolahan anak-anak, gangguan pada sistem pengangkutan dan komunikasi dan kerosakan pada tanah pertanian dan kebun penduduk.
Penyelenggaraan sungai-sungai, tali-tali air dan parit-parit hendaklah dilakukan secara berjadual terutama sekali di kawasan-kawasan mudah banjir. Kealpaan dalam menyelenggara boleh mengakibatkan banjir, banjir kilat yang berulang dan mungkin lebih teruk dari semusim ke semusim.
Semua pihak hendaklah secara bersepadu mengurus fenomena ini dengan penuh tanggungjawab seperti mencegah pemendapan dan hakisan tebing-tebing sungai, mendalamkan dasar sungai, membisaikan (mencantikkan) pemandangan sekitar sungai, membina kunci-kunci air di tempat-tempat perlu dan seumpamanya untuk mencegah banjir.
Satu contoh yang boleh dijadikan inspirasi kepada kita semua ialah sistem pertahanan banjir yang dilaksanakan oleh Negara Belanda yang permukaan buminya lebih daripada 60% terletak di bawah aras laut.
Menyedari pentingnya perlindungan tersebut telah menyebabkan Belanda menubuhkan sebuah Kementerian khas yang bertanggungjawab dalam perlindungan terhadap banjir. Badan-badan berkaitan pengurusan air di peringkat kerajaan tempatan/daerah/mukim begitu pro aktif dan penuh tanggungjawab, berfungsi sebagai elemen penyokong kepada usaha kerajaan mengurus sumber air dan taraf perlindungan banjir.
Kesepaduan di kalangan elit-elit ini telah menghasilkan tahap perlindungan banjir yang amat tinggi malah telah berupaya menjadikan lembah-lembah yang satu ketika dulu menyakitkan dan menyiksakan penduduk seperti di lembah Ukong ketika ini menjadi lombong emas kepada petani-petani, peladang-peladang, penternak dan penanam bunga-bungaan.
Tentulah harga pengurusannya mahal, tetapi dengan sistem pengurusan yang cekap, usaha itu amat berbaloi.
Dua projek terbesar dalam pengawalan banjir di Belanda ialah Zuiderzee Works dan Delta Works.
Zuiderzee Works merupakan satu sistem pengurusan banjir buatan manusia yang terdiri daripada empangan-empangan, penebusan tanah dan kerja-kerja pengaliran air dan lebihan/limpahan dari daratan. Komponen terbesar projek tersebut ialah empangan Afsluitdijk yang dibina pada tahun 1932 yang berjaya mengawal banjir dan membolehkan berlakunya penebusan tanah secara besar-besaran. Keseluruhannya projek ini dijalankan secara berperingkat di antara tahun 1920 hingga 1975.
Delta Works pula terdiri daripada kerja-kerja pembinaan bersangkutan pengurusan laut dan air pada amnya yang dijalankan antara tahun 1950-1997 di barat daya Belanda. Projek tersebut termasuklah empangan-empangan, sluis-sluis, kunci-kunci air, tambak-tambak dan benteng-benteng penahan ombak. Struktur-struktur tersebut bertujuan untuk mengecilkan pinggir pantai Belanda dan mengurangkan bilangan tambak-tambak yang perlu di tinggikan.
Segala usaha ini menyumbang kepada kejayaan ekonomi Belanda sehingga mendapat kedudukan sebagai ekonomi yang ke 16 terbesar dunia. Pertanian moden dijalankan secara intensif sehingga lebih daripada 27% keluasan tanah di Belanda daripada sejumlah 41,526 KM persegi dengan lebih 60 peratus buminya di bawah paras laut terlibat dalam aktiviti pertanian bermusim atau tetap. Dengan ini Belanda menjadi negara ketiga terbesar dunia dalam nilai eksport agrikultur, dengan hasil tahunan sebanyak $55 billion selepas Amerika dan Perancis.
Kesimpulannya, banjir hanya menjadi satu masalah jikalau ia berlaku di kawasan penempatan manusia dan mengganggu kehidupan biasa manusia. Masalah banjir boleh dikawal dan dikurangkan malah lembah Ukong yang dianggap menyiksakan dan menyakitkan ini boleh bertukar wajah menjadi pengeluar padi dan lain-lain hasil pertanian terbesar negara sekali gus menjadi lombong emas jika ada kemahuan dan “political will” untuk mentransformasikan keadaan itu sebagai peluang atau oportuniti.