LAKSANAKAN PENGAUDITAN KEPERLUAN KAKITANGAN KERAJAAN

 
 
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 November. - Pengauditan secara terperinci bagi menilai dan menyukat semula keperluan kakitangan di setiap agensi kerajaan perlu dilaksanakan.

"Kita perlu tahu dengan pasti jumlah kakitangan yang optima yang diperlukan," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-14 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa di sini.

Baginda berharap, pengauditan itu juga perlu mengambil kira penilaian orang ramai yang menerima perkhidmatan daripada agensi-agensi kerajaan, pada misalnya, dengan melakukan 'Kajian Kepuasan Pelanggan'. Dalam makna, ukuran kecemerlangan itu hendaklah dinilai, bukan hanya dari kaca mata pihak yang memberikan perkhidmatan semata-mata, tetapi juga dari penilaian pelanggan.

Di antara ciri-ciri kecemerlangan itu titah baginda, apabila Perkhidmatan Awam (PA) berjaya membuat sesuatu keputusan dengan cepat lagi tepat.

"lnilah yang amat ditunggu-tunggu serta diharapkan, terutama, oleh orang ramai atau para pelanggan," jelas baginda.

Ke arah ini titah baginda, mekanisme PA seperti 'sistem penilaian prestasi' dan tatacara pemilihan, mestilah dikendalikan dengan cermat dan adil, supaya para pegawai dan kakitangan, benar-benar menjadi orang-orang yang berkaliber serta memiliki kecekapan.

Begitu juga dengan PA titah baginda, perlu melakar strategi-strategi yang betul sebagai persiapan menghadapi cabaran-cabaran mendatang.

Mengenai dengan strategi ini, baginda percaya, semua kementerian tentu saja telah memiliki pelan-pelan strategi masing-masing sebagai langkah menuju kecemerlangan.

Namun baginda berpendapat, memiliki pelan-pelan strategi saja belumlah memadai, apa yang perlu semua lapisan pegawai dan kakitangan hendaklah memahami dan menghayati pelan tersebut, sambil serentak bergerak ke arah pencapaian tujuan.

Satu lagi yang tidak kurang mustahaknya, titah baginda, persefahaman di antara kementerian-kementerian dan agensi-agensi PA pada amnya dalam mengendalikan rancangan-rancangan masing-masing, sehingga dilihat oleh orang ramai selaku sebuah jentera kerajaan yang bersatu, yang penuh dengan keselarasan tanpa percanggahan di antara mereka.

Ini, titah baginda, akan memberikan gambaran baik, betapa mesra dan muhibahnya warga PA dalam sebuah kerajaan kesultanan yang terunggul di dunia.

"Keunggulan dan keunikan kita bukan hanya pada sebutan di bibir, malahan juga menjadi kenyataan yang tidak dapat dinafikan lagi," titah baginda.

Baginda bertitah, PA yang berjaya tentu saja dari kepimpinan yang baik. Tanpa kepimpinan yang demikian itu, kita tidak akan dapat memilikinya.

Ke arah itu, baginda sangat menyambut baik tema sambutan yang berbunyi: ‘Menjulang Kepimpinan Laila Kesejahteraan’.

Melalui kepimpinan yang berjaya, titah baginda, tidak syak lagi, adalah jambatan yang menyampaikan kita kepada kesejahteraan.

Baginda menekankan, PA adalah sebuah institusi terpenting membantu kerajaan merancang dan merumuskan dasar-dasar serta peraturan-peraturan dan dalam masa yang sama, bertanggungjawab juga untuk melaksanakan hasil-hasil dari setiap perancangan itu.

"Peranan ini memanglah disedari bukan mudah. Ia memerlukan keupayaan tinggi dan kesanggupan menghadapi cabaran-cabaran. Di antara cabaran-cabaran itu ialah, pengharapan kerajaan dan rakyat untuk melihat PA berjaya menyediakan prasarana kemudahan bagi pelanggan-pelanggannya," titah baginda.

Di sinilah titik-tolak kecemerlangan yang kita cita-citakan. Kerana itu baginda sangatlah menyambut baik hasrat untuk menjadikan Perkhidmatan Awam kita berjaya dengan cemerlang.

Kecemerlangan yang dimaksudkan, titah baginda, tentu saja meliputi semua aspek perkhidmatan. Ia mesti difahami serta dijadikan matlamat oleh semua warga Perkhidmatan Awam.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.