Kukuhkan semangat persaudaraan

 
 
SERIA 13 JAN 2007: PENTINGNYA AHLI-AHLI NDP diperingkat ranting agar sentiasa memupuk semangat persaudaraan dan persefahaman telah ditekankan oleh Timbalan Presiden NDP, saudara Mahmud Morshidi Othman semasa sesi suai kenal bersama ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Ranting Seria.

Sesi tersebut berlangsung di rumah Awang Haji Mohamad Ali Haji Yusof, Ketua Eksekutif Ranting Seria pada 10 Januari lalu.


"Tujuan kita berorganisasi bukan setakat menunaikan tuntutan berpolitik sahaja akan tetapi lebih dari itu untuk sama-sama membangun bangsa yang kuat melalui pengukuhan semangat persaudaraan, bemasyarakat dan semangat bernegara", jelas sdra Morshidi.

Melalui pelantar NDP, kita yakin usaha melahirkan semangat bermasyarakat dan persaudaraan yang tulen dikalangan masyarakat umum terutama dikalangan belia-belia atas kesedaran bernegara dan berbangsa dalam erti kata yang sebenar-benarnya akan berjaya, tambah sdra Morshid lagi.

Di sesi perjumpaan itu, sdra Morshidi juga mengambil kesempatan menerangkan mengenai perjalanan Kongres Agong ke dua yang akan berlangsung pada 18hb hingga 20hb Mei akan datang.

Katanya Kongres Agong yang akan datang ini merupakan perhimpunan tahunan perwakilan dan platform untuk ahli-ahli membentangkan dan membahaskan usul-usul antaranya, isu-isu pembangunan dan juga permasalahan yang dihadapi oleh rakyat selain dari membincagkan hal ehwal perjalanan dan perkembangan parti.

"Setiap ranting akan diminta menghantar seramai enam perwakilan untuk mewakli mereka di Kongres Agong kedua itu nanti. Melalui enam perwakilan tersebut salah seorang dari mereka akan diberikan peluang untuk membentangkan usul-usul yang difikirkan relevan, seperti usul berhubung isu pembangunan disekitar kawasan masing-masing atau dalam skop yang lebih meluas lagi kerisauan dan cadangan mereka berhubung isu pembangunan peringkat daerah dan juga peringkat nasional".

"Disinilah peluang kita menyuarakan kerisauan kita dan saranan-saranan yang membina kepada kerajaan sebagai sumbangan kita kepada usaha membangun bangsa dan negara. Sememangnya tidak semua usul-usul yang dibentangkan itu akan digunapakai oleh pihak-pihak tertentu", ujar sdra Morshidi.

"Akan tetapi Insya Allah usul-usul tersebut tidak mustahil akan diteliti dan dirujuk oleh pihak-pihak tertentu sebagai salah satu usaha mereka medapatkan maklumat mengenai kerisauan semasa dan hasrat rakyat", tambah Timbalan Presiden NDP lagi.

Menurut beliau kalau maklumat-maklumat yang diperolehi dari perbicaraan rakyat di kedai-kedai kopi dan juga yang disuarakan melalui surat pembaca di media-media tempatan serta di internet boleh dijadikan bahan rujukkan dalam proses penggubalan dasar dan juga pembentukkan rancangan kemajuan negara , tidak ada sebab kenapa usul-usul yang dibentangkan di Kongres Agong NDP tidak boleh dijadikan bahan rujukkan untuk perkara yang sama.


Ahli-ahli Eksekutif Ranting RPN Seria bergambar ramai bersama sdra Mahmud Morshidi Othman
"Atas kesedaran inilah NDP akan terus berusaha menjadikan Kongres Agong tahunan parti sebagai saluran yang tepat dan berwibawa bagi seluruh lapisan rakyat menyuarakan kerisauan mereka dan menyumbangkan idea-idea bernas kepada kerajaan", tegas sdra Morshidi.

Katanya lagi, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin NDP dari itu harus dapat melihat peri mustahaknya mereka memberikan kerjasama dan sokongan padu untuk menjayakan Kongres Agong yang akan datang ini dan sama-sama berusaha memancarkan imej NDP dan Konges Agong tahunan yang positif.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.