Komitmen Asia Timur

 
 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama 15 lagi pemimpin Asia - termasuk China dan India - hari ini menandatangani pakatan alam sekitar dengan berjanji mengambil tindakan terhadap perubahan cuaca dan keluasan hutan dan menggalakkan penggunaan kuasa nuklear.

Anggota-anggota Persidangan Kemuncak Asia Timur memberi sokongan mereka terhadap usaha Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai "mekanisme tunjang" menangani masalah pemanasan global ketika mesyuarat mereka di Singapura yang berakhir hari ini, lapor agensi berita AFP.

Mereka memberi komitmen untuk bekerja lebih gigih membangunkan sumber tenaga alternatif dan teknologi minyak fosil yang lebih bersih dan mempertingkatkan keefisienan tenaga dan pemuliharaan.

Perjanjian pada Persidangan Kemuncak Asia Timur yang menggabungkan 10 buah negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bersama Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand menjadi latar belakang perbincangan perubahan cuaca global dukungan PBB di Bali, minggu depan.

Sementara itu Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya yang disiarkan di sini berkata Baginda Sultan berkenan menghadiri beberapa persidangan kemuncak ASEAN dengan Rakan Dialog yang terdiri daripada Jepun, Korea Selatan dan India ini.

Baginda Sultan turut berangkat ke majlis santap tengah hari bersama ketua negara dan kerajaan yang menghadiri Persidangan Kemuncak Asia Timur.

Pada mesyuarat ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog, Baginda Sultan bertitah melahirkan penghargaan atas pencapaian hubungan dialog masing-masing dan menyatakan hubungan berkenaan akan terus berkembang dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.

Baginda Sultan turut menyatakan hubungan ASEAN-Jepun mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak dan meningkatkan keamanan, kedamaian dan kemakmuran di kedua-dua rantau itu.

Kepentingan itu dipertingkatkan dengan perkongsian strategik yang berdasarkan kerjasama dan dialog yang komprehensif.

Di samping itu, Baginda Sultan turut melahirkan rasa puas hati atas penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi dua hala antara Jepun dan Brunei serta negara anggota ASEAN masing-masing.

Baginda Sultan turut bertitah menyentuh mengenai peluang negara anggota untuk bekerjasama dengan Jepun melalui perkongsian amalan terbaik dan sumbangan teknikal bagi meningkatkan keupayaan ASEAN seterusnya memberi sokongan terhadap inisiatif Cool Earth 50 Jepun.

Baginda Sultan bertitah ASEAN berpeluang bekerjasama dengan Jepun dalam bidang keselamatan tenaga seterusnya memaklumkan tumpuan Brunei dalam menggalakkan kegunaan teknologi yang cekap dan seterusnya menyampaikan rasa penghargaan kepada Jepun atas bantuan dan kerjasama yang diberikan kepada Brunei dalam bidang itu.

Pada persidangan kemuncak ASEAN-Korea Selatan, Baginda Sultan bertitah melahirkan rasa puas hati mengenai perkembangan positif di Semenanjung Korea dan menekankan sokongan ASEAN terhadap perbincangan enam hala.

Baginda Sultan menghargai hasil perundingan Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Korea serta pencapaian projek kerjasama ekonomi untuk meningkatkan usaha perpaduan dan berharap kedua-dua pihak terus menggalakkan inisiatif bagi mempromosikan hubungan kerjasama ekonomi yang lebih rapat. Mengenai perubahan iklim dan keselamatan tenaga, Baginda bertitah ASEAN berpeluang memperoleh pengetahuan dan pengalaman Korea terutama dengan usaha mempromosikan kecekapan tenaga melalui perkongsian amalan terbaik dan bantuan teknikal.

Baginda Sultan dan pemimpin-pemimpin lain ASEAN dan Korea Selatan kemudian menyaksikan majlis menandatangani Agreement on Trade in Services under the Farmework of the member countries of ASEAN and the Republic of Korea; and the Memorandum of Understanding on Establishing the ASEAN-Korea. Pada majlis itu, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng menandatangani bagi pihak Brunei.

Ketika sidang kemuncak ASEAN-India, Baginda Sultan bertitah melahirkan rasa puas hati terhadap usaha kedua-dua pihak untuk mempromosikan kerjasama rapat dalam pelbagai bidang ekonomi seperti perundingan perjanjian Langit Terbuka antara ASEAN dan India.

Baginda Sultan seterusnya bertitah melahirkan penghargaan mengenai bidang kerjasama ASEAN dan India yang lain termasuk teknologi dan maklumat, kesihatan serta sains dan teknologi.

Selain itu Baginda juga bertitah menyatakan India adalah rakan strategik penting ASEAN dengan kedua-dua pihak memupuk hubungan kerjasama yang rapat dalam pelbagai bidang. Baginda yakin ASEAN dan India mempunyai asas baik seperti hubungan ekonomi dan budaya yang wujud sekian lama untuk mendalamkan dan melebarkan kerjasama pada masa akan datang.

Baginda Sultan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar berangkat meninggalkan Singapura petang tadi.

Sebelum berangkat, doa selamat dibacakan Mufti Kerajaan Pehin Dato Paduka Haji Abdul Aziz Juned.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.