Kesetiaan kepada raja biar kukuh jangan seperti 'pongsu'

 
 

LIMBARUH HIJAU FEBRUARI 17, 2007: AHLI-AHLI PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) yang merupakan bekas pejuang-pejuang kemerdekaan diseru agar istiqamah didalam pendirian dan semangat juang untuk mempertahankan kedaulatan KDYMM Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan zuriat Baginda sebagai Sultan dan Ulil Amri.

Pemimpin-pemimpin seperti Ayahnda Yasin Affandy dan teman-teman beliau tidak pernah mendidik pengikut-pengikut mereka menjadi pengkhianat bangsa dan penderhaka kepada raja, tegas Timbalan Presiden, sdra Mahmud Morshidi Othman disesi perjumpaan dengan bekas-bekas pejuang kemerdekaan yang seangkatan dengan Ayahnda Yasin Affandy.

Lebih 50 orang ahli-ahli NDP seangkatan dengan Ayahnda Yasin Affandy hadir di majlis tahlil anjuran NDP yang didakan sebagai salah satu program bulan perayaan Hari Kebangsaan. Majlis tahlil dikhusukan kepada Al Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien dan Al Marhumah Raja Isteri Pengiran Anak Damt serta bagi pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain yang telah pergi meninggalkan kita.

Juga turut hadir bersama Ayahnda Yasin Affandy ialah beberapa orang ahli-ahli Majlis Tertinggi dan pegawai-pegawai dari Jabatan Setiausaha Agong (JASA).


Ayhanda Yasin Affandy, Presiden NDP mengenang kisah lama

Didalam kesempatan itu, sdra Morshidi mengimbas kembali sedikit mengenai sejarah perjuangan mereka mempertahankan kedaulatan raja, bangsa dan negara mereka.

"Didalam undang-undang dasar parti yang pernah dipimpin oleh Ayahnda Yasin Affandy dan teman-temannya ditahun-tahun 50an - awal 60an, dibawah fasal 4 ada menyebutkan tujuan parti iaitu: untuk 'mempertahankan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Maulana Sultan Brunei dengan keturunan-keturunannya menduduki tahta Kerajaan Brunei dengan dasar constitution'", jelas sdra Morshidi.


Sdra Morshidi berucap di majlis perjumpaan dengan pejuang-pejuang seangkatan dengan Ayahnda Yasin Affandy
"Demikian juga dengan manifesto parti 1956 telah dengan jelas menyebutkan antara lain matlamat parti untuk: mempertahankan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Maulana Sultan Brunei di atas kerajaan sehingga kepada segala keturunan dan mengakui secara mutlak atas hak kerabat Diraja, baik ekonomi mahu pun politik", tambah sdra Morshidi.

Dari itu, ujarnya, yakinlah bahawa Ayahnda Yasin Affandy dan teman-temannya tidak pernah menyuruh pengikut-pengikutnya menderhaka jauh sekali untuk mengheret atau 'membunuh' raja. Semua tuduhan buruk yang dilontarkan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu adalah fitnah sejarah semata-mata.

"Generasi selepas 1962 telah diindoktrinasikan (ditanamkan dengan fahaman dan taggapan tertentu) dengan gambaran sejarah hitam mengenai perjuangan kita. Penjajah telah memberus dan mencat muka-muka kita dengan fitnah sejarah sehingga kita dihinakan dan dipinggirkan begitu rupa oleh kuasa pentadbir British ketika itu, sehingga terjaraklah hubungan antara istana dengan rakyat", kata sdra Morshidi lagi.


Alhamdulliah berkat taufik dan hidayah Allah SWT, Raja dan rakyat Brunei tetap terlepas dari fitnah syaitan dengan sedikit pun tidak menaruh pransangka dan dendam kesumat antara satu dan lain, tambah sdra Morshidi.

Tegasnya inilah kesitemewaan rakyat Brunei yang begitu beruntung mempunyai seorang raja yang adil lagi berehsan dan sebaliknya mempunyai rakyat yang teguh setia ketaatannya kepada ulil amri.

Menyentuh mengenai perjumpaan dimajlis tahlil tersebut, sdra Morshidi menjelaskan tujuannya adalah semata-mata untuk saling ingat mengingati supaya "kita tidak goyah dengan perkembangan semasa politik globalisasi yang sentiasa mengambil kesempatan untuk memecah belahkan masyarakat yang tidak menuruti glombang globalisasi yang mereka asakkan dan sogokkan.

"Harapan kita semua ialah untuk melihat semua ahli-ahli NDP terutama sekali pejuang-pejuang veteran mempunyai semangat juang dan kesetiaan kepada raja bangsa dan negara yang kukuh dan kental bukannya seperti 'pongsu' (busut) yang indah dari luar sahaja akan tetapi didalamnya bergerohong dek menjadi sarang anai-anai yang boleh membawa keruntuhan dan kerosakkan bukan sahaja kepada parti akan tetapi kepada bagsa sendiri".

"Justeru sempena dengan Hari Kebangsaan ini marilah kita semua membaharui tekad dan azam kita semua untuk terus berdiri teguh dibelakang KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan dan zuriat Baginda sehingga berupaya manjadikan NDP sebagai 'powerbase' kepada KDYMM Baginda Sultan dan zuriat Baginda yang kuat dan kukuh buat selama-lamanya Insaya Allah".

"Kita melihat 'powerbase' yang kukuh yang kita sediakan untuk KDYMM Baginda Sultan dan zuriat Baginda tidak syak lagi akan menjadi sumber kekuatan yang sejati dan bermakna kepada Baginda sebagai ulil amri untuk memacu negara menghadapi cabaran membawa bangsa dan negara kearah kecemerlangan dan keagongan".

Sementara itu, menurut sdra Morshidi, NDP juga mempunyai program pertemuan dari hati kehati dengan ahli-ahli non-Muslim dalam parti untuk mengirimkan mesej yang sama iaitu NDP mesti menyediakan 'powerase' yang kukuh untuk Baginda Sultan dan zuriat Baginda agar tidak seorang pun dikalangan ahli-ahli NDP yang memalingkan kesetiaan yang setulusnya kehadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan.

Sdra Morshid juga menyeru ahli-ahli NDP agar tidak terperangkap dengan tulisan-tulisan oleh sarjana-sarjana yang membawa mesej yang boleh menjarakkan antara istana dengan rakyat.

"Kita hendaklah mencari nilai-nilai murni yang mempunyai persamaan antara istana dengan rakyat dan menyuburkannya. Umpananya, istana dan rakyat sama-sama mahu menyahkan penjajah dari tanah air kita. Istana dan rakyat sepakat untuk memelihara keutuhan wilayah dan keselamatan negara", tambah sdra Morshidi.

"Nilai-nilai murni dan persamaan inilah yang mesti kita suburkan hingga ianya menjadi elemen pengukuh yang penting dalam memperkuatkan lagi kecintaan kita dan kesetiaan kita kepada raja dan menjadi elemen penting dalam usaha mengeratkan hubungan antara istana dengan rakyat", jelas dra Morshidi.

Beliau juga menyeru ahli-ahli NDP seangkatan dengan Ayahnda Yasin Affandy untuk membawa lebih ramai lagi teman-teman seperjuangan mereka masuk menjadi ahli NDP dan menyumbangkan idea dan buah fikiran mereka melalui pelantar NDP demi untuk kemajuan parti, bangsa dan negara.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.