Kesempitan hidup paksa ibu bapa berhutang beli keperluan sekolah anak

 
 

LIMBARU HIJAU 18 DISEMBER 2006: PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat terkilan dengan satu laporan yang mengambarkan ramai ibu bapa di negara ini sedang menghadapi kesempitan hidup dan terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan membeli buku-buku sekolah dan keperluan lain seperti pakaian seragam sekolah untuk anak-anak mereka yang akan mula bersekolah pada tahun hadapan dan juga yang akan kembali ke sekolah setelah selesai percutian akhir tahun persekolahan.

Menurut laporan yang disiarkan dalam akhbar tempatan hari ini, sebilangan kedai-kedai buku sedang melancarkan promosi besar-besaran 'Back To School' untuk menarik pelanggan berbelanja di kedai-kedai mereka. Ada kedai yang menawarkan potongan istemewa dan tawaran-tawaran lain dan ada pula yang menawarkan kihdmat pinjaman bank.

Apa yang 'membanggakan' kedai-kedai yang menghulurkan pinjaman bank ini ialah sambutan hangat ibu bapa dan penjaga. Mereka melaporkan ramai yang menghubungi mereka dan ada yang datang sendiri ke kedai-kedai mereka untuk membuat pertanyaan mengenai perkhidmatyan pinjaman bank itu.

Tidak diketahui dengan tepat berapakah jumlah pinjaman yang dihulurkan oleh bank-bank yang berkerjasama dengan kedai-kedai berkenaan.

Menurut laporan anggaran perbelanjaan bagi seorang murid sekolah ialah diantara $50 ke $100 seorang termasuk perbelanjaan untuk membeli pakaian seragam sekolah.

Laporan sama menunjukkan bajet yang diperlukan dianggarkan antara $20.05 bagi murid Darjah Satu untuk membeli 8 buah buku kerja dan $24.50 bagi murid Darjah 6 untuk membeli 10 buah buku kerja. Bagi penuntut Tingakatn 1 ialah $17.80 untuk 3 buah buku kerja dan bagi penuntut Tingkatan 3 ialah $18.70 untuk 4 buah buku kerja.

NDP sehubungan ini, melihat apa yang menjadi 'kebanggan' kedai-kedai yang menghulurkan skim pinjaman untuk membeli keperluan sekolah sebagai satu perkembangan yang sangat membimbangkan.

Perkembangan ini dari kaca mata NDP, mengambarkan betapa sebilangan ramai ibu bapa di negara ini sedang menghadapi kesulitan hidup sehinggakan mendorong mereka untuk berhutang untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.

Kita juga dapat merasakan keadaan yang menyedihkan ini semakin serious. Ini berdasarkan peluang yang terbuka luas bagi kedai-kedai dan bank-bank mengambil kesempatan meningkatkan hasil jualan dan meraih keuntungan dengan memberikan kemudahan berhutang kepada ibu-bapa dan penjaga yang jelas menghadapi kesulitan kewangan untuk membeli keperluan sekolah anak-anak.

Mungkin dari aspek meringankan bebanan ibu-bapa menyekolahkan dan memberikan pendidikan kepada anak-anak, skim pinjaman seperti ini adalah satu perkara yang wajar dan baik.

Akan tetapi apabila dilihat dari aspek lain ianya jelas mengambarkan bahawa sebilangan ramai rakyat dan penduduk negara ini sedang menghadapi masalah memenuhi keperluan hidup dan keluarga dibawah tanggungan mereka.

Di mankah silap nya hingga sebilangan masyarakat kita diletakkan dalam keadaan yang sentiasa terikat oleh beban hutang ini dan membukakan peluang untuk penghutang terus mengikat rakyat dengan hutang, tidak cukup dengan menghutangkan kereta dan keperluan seharian sekarang dengan buku dan pensil? (MHO)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.