Kepimpinan KDYMM dikagumi

 
 

LIMBARUH HIJAU 09 MACH, 2007: Ketokohan dan karisma Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai pemimpin rakyat Baginda sangat digkagumi.

"Saya mengkagumi kepimpinan KDYMM Sultan yang saya lihat sangat berjiwa rakyat. Di beberapa acara-acara besar yan saya hadiri saya berkesempatan melihat sendiri dan merasakan kewujudan hubungan erat yang tulen antara seorang pemimpin dengan rakyatnya", jelas Justin Firedman, Charge de Affairs dari Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Brunei semasa membuat kunjungan muhibbah ke Limbaruh Hijau, markas NDP di Jerudong dan bermuzakarah dengan Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy.

Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman, Awang Haji Aminorashid, Setiausaha Agong NDP dan Malai Hassan Othman, Ketua JK Perhubungan Antarabangsa dan Keamanan juga turut hadir di sesi perjumpaan tersebut.



Justin Friedman, Charge de Affairs menanda tangani buku pelawat
Menurut Justin Friedman tujuannya berkunjung ke NDP ialah untuk memahami lebih mendalam lagi sistem dan perkembangan politik di Brunei dari presepektif pelaku-pelaku politik tanah air sendiri yang berluai di padang bersama rakyat.

Jelasnya selain melihat KDYMM Sultan sebagai seorang pemimpin yang berkaliber, Brunei juga diakui mempunyai sistem pemerintahan yang unik.

Amerika Syarikat, tambahnya mengambil baik dan mengalu-alukan langkah-langkah yang telah diambil dan sedang dilaksanakan oleh KDYMM dan Kerajaan Baginda dalam usaha memberikan ruang dan peluang bagi rakyat berpartisipasi dengan semangat demokrasi dalam membangun bangsa dan negara.

Beliau juga menyentuh mengenai penubuhan semula Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang sekarang mengadakan persidangan untuk membincangkan belanjawan negara dan juga usaha mengemaskinikan institusi perundingan mukim dan kampong.

Pada pandangan beliau semua ini, dan menilai titah-titah KDYMM Sultan yang banyak menekankan pentingnya akauntabiliti dalam pentadbiran negara, mengambarkan terdapatnya langkah-langkah pendemokrasian dalam sistem pemerintahan sekarang.


Sesi muzakarah antara Ayahnda Yasin Affady dan Justin Fiedman

"Semua ini menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dari aspek proses penghayatan sistem demokrasi di negara ini", tambanya.

Sementara itu sdra Mahmud Morshidi Othman dalam sesi tersebut juga turut menjelaskan bahawa KDYMM Sultan amat serius dalam usaha mereformasi sistem politik di negara ini.

Beliau menegaskan penubuhan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah mendapat restu dari KDYMM walaupun pada hakikatnya separuh dari pengasas-pengasas NDP terdiri dari pejuang-pejuang kemerdekaan dan bekas tahanan politik yang telah di senarai hitamkan dalam sejarah politik negara.



Justin Friedman menermima cendera hati dari Ayahnda Yasin Affandy

"Menurut perjanjian pembebasan yang kami tanda tangani kami sepatutnya diharamkan untuk bergiat aktif dalam politik akan tetapi Alhamdullilah apabila kami mengutus surat untuk memohon restu Baginda, kami dibenarkan untuk menubuhkan NDP. Ini mengambarkan keikhlasan Baginda Sultan dalam usaha merealisasikan hasrat mereformasi sistem politik di negara ini", jelas sdra Morshidi.

Tegasnya lagi NDP ditubukan atas semangat untuk menyahut semboyan Baginda Sultan yang ingin melihat rakyatnya memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyumbangkan khidmat bakti mereka kepada negara dan bangsa.


Bergambar ramai dari kiri, Dayang Sti Mahmud, Pegawai tempatan di Pejabat Kedutaan Amerika, Ayahnda Yasin Affandy, Justin Friedman, sdra Mahmud Morshidi Othman, Awang Aminorashid dan Malai Hassan Othman

NDP, tambahnya Alhamdullilah telah berkembang dengan pesatnya sejak ianya ditubuhkan hampir 2 tahun lalu dengan keahlian sekarang hampir mencecah 2000 orang.

"Banyak cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha NDP meyokong dan membantu KDYMM Sultan untk menjadikan hasrat Baginda melihat rakyatnya menjadi rakyat yang aktif dan matang dalam bernegara dan berbangsa. Cabaran yang paling besar ialah 'tekanan' dari sebilangan elit pentadbir dan birokrat yang kurang faham akan hasrat KDYMM".

"Kita selaku rakyat dapat membaca isyarat KDYMM Sultan dan Baginda sendiri memaham hasrat rakyatnya. Akan tetapi masalah timbul apabila sebilangan elit pentadbir ang kurang memahami isyarat lantas mengambil inisiatif yang hanya boleh memberikan gambaran negatif dan menyulitkan proses pembaharuan politik di negara ini".

"Walau bagai manapun kita melihat semua ini satu cabaran dalam konteks kita melalui proses pembelajaran ditengah-tengah usaha mereformasi sistem politik negara. Dari itu kita memerlukan banyak masa dan kesabaran. Kita perlu memberikan masa kepada KDYMM sendiri untuk mengimplementasikan hasrat Baginda itu secara berperingkat-peringkat tanpa desakan dan tekanan dari kuasa-kuasa asing", jelas sdra Morshidi memberikan pandangannya.

"Dalam konteks NDP, kita akan terus berusaha membantu memberikan peluang kepada semua lapisan rakyat untuk melalui proses pembelajaran ini dengan baik yang akhirnya akan dapat menjamin sistem politik negara ini mantap dan matang", tambahnya.

Pada hakikatnya, tambah sdra Morshidi, hubungan antara KDYMM dan rakyat sentiasa erat dan kukuh justeru NDP juga sedang giat berusaha untuk memantapkan lagi parti dengan objektif menginstitusikan hubunagn erat yang sedia ada ini dan dapat menjadi 'powerbase' yang kukuh kepada KDYMM Sultan dan zuriat baginda untuk terus memimpin negara ini kearah kecemerlangan dengan adil dan saksama.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.