Isu Kemiskinan perlu dilihat sebagai isu nasional

 
 

LIMBARUH HIJAU 08 NOVEMBER 2007 - Isu-isu sosial sudah semakin rumit, ibarat jalan yang berliku-liku, yang memerlukan lebih kepada komitmen dan penumpuan untuk membenteras nya, titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

"Misalnya sahaja orang-orang susah yang bergantung kepada bantuan kebajikan dan wang zakat, mereka itu dahulunya ialah fakir miskin yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang tua, penghidap-penghidap penyakit atau mereka yang cacat anggota dan akal".

"Tetapi sekarang tidak lagi semestinya begitu, di mana sudah ramai mereka yang menerima itu terdiri daripada orang-orang dalam lingkungan umur yang boleh bekerja, tetapi mereka bermasalah".

"Ada yang disebabkan terlibat dengan jenayah atau gejala sosial yang menjadikan mereka penganggur, sedang dari sudut tanggungjawab, mereka adalah menanggung isteri dan anak-anak".

"Sementara bagi mereka yang terdiri daripada wanita-wanita pula ada yang disebabkan penceraian atau suami bermasalah, dimana beban menyarai anak-anak terpaksalah dipikul oleh mereka".

"Tetapi mereka ini tidak mempunyai mata pencarian yang sudah barang tentu menyebabkan mereka mesti bergantung kepada bantuan kebajikan atau zakat".

"Di samping itu, ada pula sebahagiannya terdiri daripada anak-anak muda dan murid-murid sekolah yang juga turut bergantung kepada bantuan jenis ini".

"Masalah kita sekarang, sampai bilakah golongan-golongan tersebut terus-menerus bergantung kepada bantuan-bantuan?"

"Tidakkah kita ingin melangkah setapak lagi untuk melepaskan mereka daripada belenggu pergantungan?"

"Dalam keadaan hidup tersepit oleh kesukaran, sudah barang tentu mereka susah untuk mencari jalan keluar sendiri".

"Dan didalam situasi begini, kita mungkin sahaja menyesali akan sikap yang tidak berubah itu".

"Tetapi dalam masa yang sama, adalah pula adil jika kita berani bertanya kepada diri kita; Sejauh manakah skim-skim bantuan itu telah diprogramkan untuk mengatasi kemiskinan?"

"Di samping dengan bantuan, barangkali juga kita perlu kepada satu skim dan program sokongan untuk memandu, membantu, membimbing dan melatih mereka yang menerima bantuan tersebut khusus dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan usaha dan kreativiti meningkatkan taraf hidup".

"Dalam hubungan ini, agensi-agensi yang berkaitan dan juga para peserta sambutan yang terdiri daripada kalangan NGO, sewajarnya sama-sama memikirkan perkara ini".

"Ambillah langkah yang bersesuaian".

"Beta menyedari, sebarang inisiatif besar dan baru adalah memerlukan sokongan kewangan. Ianya bolehlah ditimbangkan".

"Oleh itu, Yayasan beta sendiri, Insya Allah bersedia menimbangkan sokongan kewangan kepada badan-badan NGO yang bersungguh-sungguh mengadakan program mereka mengatasi kemiskinan. Namun begitu, program tersebut hendaklah selaras dengan kehendak dan ajaran agama Islam".

Kenyataan-kenyataan yang dihuraikan diatas adalah cetusan perasaan, pandangan dan nasihat Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran YSHHB yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa pada 12 November 2005.

MASALAH KEMISKINAN BELUM SELESAI DITAMBAH DENGAN ISU ZAKAT

Empat hari lagi genaplah sudah 2 tahun berlalu sejak Baginda Sultan bertitah demikian.

Sepanjang 2 tahun ini apakah perkembangan-perkembangan yang sudah berjaya dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu demi menyahut seruan Baginda Sultan yang jelas tercetus dari kerisauan Baginda terhadap kebajikkan dan kesejahteraan rakyat Baginda yang miskin, kurang upaya dan kurang kemampuan.

Memang wajar bagi seorang raja dan pemimpin tertinggi negara berasa risau akan keadaan kebajikkan dan kesejahteraan rakyat yang dibawah naungannya apatah lagi di Negara Brunei Darussalam yang terbilang kaya dengan pendapatan per kapita negara melebihi $25,000 (anggaran pada tahun 2005) setentunya isu kemiskinan seharusnya bukan menjadi satu masalah besar dan terlalu rumit untuk pihak-pihak tertentu menyelesaikannya.

Malangnya sejak Baginda Sultan bertitah sedemikian belum nampak sebarang pentanda baik yang menunjukkan masalah kemiskinan sudah banyak berkurangan di negara ini.

Menurut statistik Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat di Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei sebanyak 3,747 keluarga yang terdiri daripada seramai 16,186 orang fakir miskin telah pun ditentukan sebagai penerima agihan wang zakat tahun 2007. Hasil kajian yang dijalankan sehingga 24 September 2007 juga menunjukkan sejumlah 876 keluarga layak diberi bantuan bulanan samada berupa barangan keperluan asasi, wang persekolahan anak-anak dan sewa rumah.

Statistik fakir miskin dan kurang upaya yang dicatatkan oleh Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei hanya menggambarkan sebilangan dari kumpulan orang fakir miskin dan kurang upaya di negara ini yang berdaftar sebagai penerima zakat.

Tidak diketahui dengan tepat berapa ramai lagi keluarga-keluarga dan orang-orang perseorangan yang juga menghadapi masalah yang sama yang telah didaftarkan sebagai penerima sumbangan kebajikkan dari Jabatan Kebajikkan Masyarakat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Apa yang jelas dalam masa sama kita bergelut dengan masalah kemiskinan ini, negara juga menghadapi masalah kutipan zakat. Dan apa yang sangat menyedihkan masalah kutipan zakat ini berpunca dari masalah pembayaran zakat dari kalangan orang berharta dan kaya raya. Apakah mereka lalai dan lupa akan tanggunjawab mereka membantu orang-orang miskin dan kurang upaya di negara ini?.

Wallahuwa'alam. Apa yang difahami masalah pengutipan zakat tersebut menyebabkan Jabatan Majlis Ugama Islam terpaksa mengambil bahagian asnaf yang tidak wujud semasa pengagihan iaitu daripada Asnaf Ibnu Sabil (Musafir) dan Asnaf Al-Gharimin serta daripada baki yang ada daripada Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam untuk mencukupkan peruntukkan bagi fakir miskin pada tahun 2007 yang berjumah $747,870.00 untuk diagih-agihkan kepada seramai 16,186 orang.

Perkara in didedahkan dalam ucapan Timbalan Menteri Ugama, Pehin Dato Haji Awang Badruddin di Majlis Ramah Mesra bersama penerima-penerima aguhan zakat pada 27 September lalu.

Menurut beliau sebanyak 3,747 keluarga yang terdiri daripada seramai 16,186 orang fakir miskin telah pun ditentukan sebagai penerima agihan wang zakat tahun 2007 ini. Jumlah yang akan diagihkan ialah sebanyak $9,722,310.00 ($9.72 juta).

Katanya peruntukan bahagian Fakir Miskin daripada hasil kutipan Zakat Fitrah hanya berjumlah $268,632.84 sahaja, sedangkan jumlah yang akan diagihkan kepada Fakir Miskin seramai 16,186 orang adalah sebanyak $747,870.00.

Menurut Pehin Dato Haji Awang Badaruddin untuk mencukupkannya diambil daripada bahagian asnaf yang tidak wujud semasa pengagihan ini iaitu daripada Asnaf Ibnu Sabil (Musafir) dan Asnaf Al-Gharimin serta daripada baki yang ada daripada Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam.

Demikian juga peruntukan bahagian Fakir Miskin daripada hasil kutipan Zakat Harta hanya berjumlah $2,956.070.54 sahaja, jelas Timbalan Menteri Ugama.

Menurut Pehin Dato Haji Awang Badaruddin lagi jumlah ini tidak mencukupi bagi pengagihan kepada seramai 16,186 orang fakir miskin yang berjumlah sebanyak $8,974,440.00.

Maka bagi mencukupkannya diambil daripada bahagian Asnaf Ibnu Sabil dan Al-Gharimin yang tidak wujud semasa pengagihan dan lebihan Asnaf Amil dan Muallaf serta baki daripada Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam.

Timbalan Menteri Ugama juga menjelaskan kutipan zakat fitrah tahun 1427H/2006M adalah meningkat sebanyak 3.05% dari tahun sebelumnya menjadikan jumlahnya sebanyak $804,575.10 iaitu bertambah sebanyak $23,785.13

Tetapi zakat harta yang diterima dalam masa setahun sehingga pada 31 Ogos 2007, menurut Pehin Dato Haji Awan Badaruddin adalah menurun sebanyak 41.43% dari tahun sebelumnya iaitu berjumlah sebanyak $8,868.211.54 iaitu menurun sebanyak $6,271,926.34 ($6.27 juta).

Pendedahan ini setentunya merisaukan Baginda Sultan yang turut bertitah menyentuh mengenai penurunan kutipan zakat harta ini dalam titah perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2007 yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei pada 12 Oktober yang lalu.

Baginda amat terkilan dengan penurunan itu yang baginda sifatkan amat ketara.

Persoalannya mengapakah ianya menurun? Adakah ianya berpunca daripada penurunan ekonomi ataupun ianya ada kaitan dengan perubahan sikap kita dalam menunaikan zakat harta.

"Pada hemat beta, ini tentu sahaja ada faktor yang menyebabkannya berubah, sama ada ia faktor dalaman daripada masyarakat sendiri ataupun faktor lain. Adapun faktor dalaman itu mungkin sahaja ia bersebab dari keyakinan masyarakat terhadap mekanisme zakat belum mantap, yang menjadikannya satu daripada punca hasil kutipan zakat tidak tetap, atau turun naik dengan ketara."

Dalam hubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mahu agar pihak berkenaan yang diamanahkan agar menanganinya dengan bijaksana dan menanganinya dengan kajian-kajian terperinci lagi berkesan.

Jika ianya berpunca daripada kelemahan mekanisme pengutipan zakat harta sehingga membawa kutipan menurun, pihak berkenaan dalam kerajaan yang diberi tanggungjawab mengendalikannya mustahak merangka strategi baru yang lebih berkesan dalam menanganinya daripada terus berlarutan.

NDP MENYAHUT SERUAN BAGINDA SULTAN BERHUBUNG ISU KEMISKINAN

Perkara ini penting memandangkan hubungkait rapat antara sistem pengutipan dan pengagihan zakat dengan isu kemiskinan di negara ini.

Kita merasakan sangat pelik memandangkan meskipun pendapatan per kapita negara Brunei Darussalam adalah tinggi sehingga melebihi $25,000, akan tetapi Brunei Darussalam masih belum berupaya membebaskan diri dari isu dan permasalahan kemiskinan ini.

Justeru Parti Pembangunan Bangsa (NDP) berpandangan sudah tiba masanya isu ini diklasifikasikan sebagai isu nasional yang perlu ditangani dengan segera dan menyeluruh kerana dibimbangi boleh memberi implikasi kepada permasalahan sosial lainnya seperti keciciran pendidikan, pengangguran dan jenayah yang semuanya boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.


NDP menyedari dan memang tidak disangkalkan Kerajaan KDYMM sentiasa memandang serius mengenai isu kemiskinan, dan pelbagai usaha dan strategi ekonomi telah dibuat bagi menangani masalah ini, namun kadar kemiskinan terus meningkat dari tahun ke tahun malahan sekarang ini kita berhadapan pula dengan masalah pengutipan zakat.

NDP dalam hal ini rasa terpaggil dengan titah Baginda Sultanpada 12hb November 2005 sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Yayasan Sultan Hj. Hassanal Bolkiah dalam mana Baginda menyeru pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan untuk memainkan peranan masing-masing dalam usaha membenteras kemiskinan ini.

Di Kongres Agung Pertama NDP pada 29–30 April 2006 satu ususl telah diluluskan dimana NDP menyeru pihak-pihak berkenaan supaya melancarkan pelan pembangunan raksasa meliputi jangka pendek dan jangka panjang yang boleh mewujudkan peluang peningkatan pendapatan rakyat dan sekali gus membasmi kemiskinan di kalangan rakyat yang diluluskan dan disahkan oleh

Usul ini disusuli lagi di kongres agung kedua yang bersidang pada bulan Jun lalu dengan ketetapan meminta kerajaan mengklasifikasikan kemiskinan sebagai isu nasional dan menggesa kerajaan supaya membuat satu kajian yang komprehensif dan seterusnya mengambil langkah-langkah strategik dan proaktif bagi membasminya.

NDP melihat perkara ini sangat perlu dilaksanakan memandangkan dewasa ini dianggarkan lebih 25,000 orang rakyat dan penduduk tetap yang dikategorikan sebagai miskin yang menerima bantuan Baitulmal di bawah asnaf fakir dan miskin dan bantuan kebajikan dari Agensi-agensi Kerajaan yang lainnya. 

Sebagai sebuah negara Islam yang menekankan soal kebajikan rakyat, dan sebagai sebuah Negara kecil, perangkaan ini hendaklah dilihat sebagai satu angka yang besar dan membimbangkan.

NDP juga melihat bahwaa Negara Brunei sebagai sebuah negara yang kaya dengan kadar pendapatan tahunan negara dari hasil minyak dan gas yang melebihi BRD 4 billion berbanding dengan penduduk seramai 374,557 (anggaran tahun 2007) orang dan dengan pendapatan per kapita melebihi $25,000, sewajarnya kadar kemiskinan Negara ialah diparas sifar.

Jika kita teliti peruntukkan RKN 8 yang berjumlah $4.631 billion telah memberikan keutamaan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat akan sentiasa terpelihara di samping sebagai penggerak utama dalam projek-projek pembangunan.

Perangkaan belanjawan itu berdasarkan pada wawasan, objektif dan perancangan strategik setiap kementerian. Justeru NDP melihat perancangan, pengurusan dan sistem penyampaian yang baik akan membantu usaha mengurangkan kadar kemiskinan.

Walaupun tahap kemiskinan bukan bersifat tegar namun ianya perlu ditangani dengan pendekatan dan perancangan yang menyeluruh dan tidak sekali-kali ditanggapi secara ‘ad-hoc’. Inilha yan sebenarnya diharapkan oleh Baginda Sutan.

Keadaan ini menuntut kepada satu kajian yang mendalam untuk mengenal pasti sebab-sebab dan pola kemiskinan yang berlaku.

Dengan adanya kajian sedemikian dan berdasarkan dapatan kajian itu nanti, apa jua program pembasmian kemiskinan hendaklah disasarkan kepada sebab dan bukannya kepada ‘symptom’.

Matlamat akhir bagi apa jua program yang digubal hendaklah berorientasikan untuk membawa keluar golongan fakir dan miskin dari kelompok kemiskinan.

Usaha kearah itu bukannya melalui bantuan semata-mata tetapi dengan mengambil kira dan memanfaatkan apa jua potensi setiap individu yang sekarang ini tergolong sebagai miskin.

Ini bersesuaian dengan titah Baginda Sultan menyeru,"di samping dengan bantuan, barangkali juga kita perlu kepada satu skim dan program sokongan untuk memandu, membantu, membimbing dan melatih mereka yang menerima bantuan tersebut khusus dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan usaha dan kreativiti meningkatkan taraf hidup".

Soal kemiskinan hendaklah dilihat kepada kumpulan sasaran sebenar iaitu asnaf fakir miskin dan kumpulan-kumpulan masyarakat lain yang juga menghadapi masalah kemiskinan bagi memastikan tiada satu keluarga pun yang akan terlepas dari pandangan dan pemerhatian pihak-pihak berkenaan.

Mengikut pangamatan berbagai kalangan, pesara kerajaan yang menabung di bawah Tabung Amanah Pekerja (TAP) kemungkinan akan jatuh miskin sebaik sahaja mereka bersara kerana jumlah sumbangan kepada tabung adalah terlalu kecil untuk menampong keperluan kehidupan selepas persaraan.

Di Kogres Agung Kedua NDP, usul mengenai kemiskinan telah mensyorkan lebih 20 program dan pendekatan yang perlu diambil dalam menangani isu kemsikinan di negara ini.

Antaranya ialah perlunya satu kajian dijlankan untuk menentukan kumpulan dan sasaran untuk mengatasi jurang kemiskinan dengan ‘time frame’ sekali dengan dukungan dan kesepaduan pihak agensi-agensi kerajaan, swasta, NGO dan rakyat.

Dengan mengenalpasti kumpulan sasaran ini satu program pembangunan insan dan rohani bercorak menjana diri disediakan bagi kumpulan sasaran ini secara berterusan dan dipantau sehingga mencapai objektif mengurangkan kemiskinan dan kebergantungan kepada bantuan pihak berkenaan.

NDP juga melihat perlunya latihan kemahiran ‘bermentor’ (berdampingan dan bimbingan) secara berterusan disediakan bagi membantu mereka berdikari melalui program tertentu oleh pihak kerajaan, dengan penglibatan dan penyertaan pihak swasta dan NGO serta didukung oleh rakyat.

Selain itu kempen kesedaran berterusan, iaitu mengamalkan sifat jimat cermat dan membudayakan ‘menabung sebelum jatuh miskin’ atau persediaan awal bagi jangka masa kesusahan di hari mendatang juga perlu terus diusahakan.

Dalam masa yang sama pihak-pihak tertentu perlu mewujudkan satu mekanisma pemantauan untuk memastikan pengurusan kebajikan dan kesejahteraan rakyat diselenggarakan dengan baik tanpa ketirisan.

Lain-lain program dan pendekatan yang juga perlu diberikan perhatian ialah:

  • Pemberian bantuan secukupnya bagi memungkinkan kumpulan sasaran tersebut mengusahakan ikhtiar dan peningkatan pengupayaan dalam bidang pertanian/pengeluaran produk pertanian dan asas tani, atau perniagaan yang boleh membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan termasuklah biaya modal, latihan dan bimbingan yang konsisten.

  • Pembukaan ladang pertanian/ternakan terancang dan pembangunan pertanian komersial luar bandar dan peningkatan hasil pertanian sara diri sebagai strategi serampang dua mata.

  • Pembangunan modal insan melalui latihan kemahiran bagi melahirkan tenaga mahir yang berdaya saing dan ‘marketable’ di kalangan ahli keluarga yang dikategorikan miskin.

  • Bantuan pendidikan dan bimbingan pelajaran untuk anak-anak  fakir dan miskin bagi menghentikan kitaran ‘vicious circle’ kemiskinan.

  • Penubuhan Tabung Amanah Pelaburan warga miskin dari hasil minyak dan gas yang melayakkan mereka menikmati dividen tahunan.

  • Mengadakan projek-projek yang boleh membantu meningkatkan ekonomi golongan fakir miskin seterusnya boleh mengurangkan tahap kemiskinan yang dihadapi.

  • Menganjurkan kursus-kursus untuk membina keyakinan diri dan motivasi supaya golongan fakir miskin ini bersemangat untuk mengubah kehidupan mereka.

  • Membina rumah kediaman selayaknya bagi keluarga-keluarga miskin yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan asas supaya mereka tidak tercicir dari arus pembangunan negara.

  • Agihan zakat dijadikan satu sarana bagi memodali orang-orang yang berkemampuan-upaya dalam bidang usahawan atau urus niaga, bidang perkhidmatan yang bersesuaian, supaya di masa mendatang mereka tidak lagi berada dalam golongan  penerima zakat atau pemohon bantuan di kalangan umat Islam atau bukan umat Islam di negara ini sebaliknya sebagai pembayar zakat dan penyumbang dana Baitul Mal.

  • Penyediaan kemudahan mudah modal  tanpa faedah dan bimbingan pengurusan bagi projek usahawan/perniagaan kecil yang dinilai berdaya maju seperti  perniagaan di tamu, gerai makan, berbagai-bagai jenis perkhidmatan seperti jahitan, pencucian kenderaan, perkhidmatan pembersihan gedung perniagaan, kedai runcit, restoran dan sebagainya yang mana kebanyakan sektor ini dikuasai oleh pekerja asing.

  • Membanyakkan penyediaan kemudahan pembangunan asas bagi kegiatan industri kecil termasuk, penyediaan bangunan, kemudahan kredit, penyewaan mesin-mesin, pemasaran dan khidmat juru perunding percuma kepada warga miskin yang mempunyai pontensi diri.

  • Mengadakan/mewujudkan sumber dan pusat penyelenggaraan projek dan bimbingan industri desa dalam bentuk latihan pengalaman dalam memudah cara kegiatan dan memastikan pihak swasta turut komited untuk mendukung perlaksanaannya.

  • Mengadakan/menyediakan  kemudahan ruang-ruang promosi dan pengiklanan barangan tempatan termasuk di stesen-stesen Radio dan TV tempatan dengan kadar sewaan yang berpatutan sebagai sumber laluan pemasaran produk tempatan yang lebih luas.

  • Mewujudkan ruang atau kawasan perniagaan yang menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara.

  • Memulihkan skim berpencen bagi kaki tangan awam.

Itulah program-program dan pendekatan-pendekatan ang telah dicadangkan oleh NDP dalam usul yang dibentagkan di Kongres Agung NDP kedua tempoh hari.

NDP melihat melalui program dan pendekatan ini insya Allah usaha kita untuk sama-sama membasmi kemiskinan di negara ini akan lebih efektif.

Kita menyedari sasaran untuk menuju negara aman makmur dan mendapat keampunan Allah (Baldatun Thaiyyibatun Warabbun Ghafuur) tidak akan memberi apa-apa erti sekiranya sekelompok rakyat masih bergelut dan bergelumang dengan kemiskinan walhal kekayaan negara melimpah ruah.

Kemiskinan pada dasarnya adalah sesuatu yang subjektif dan sukar ditakrif secara menyeluruh, apatah lagi dengan sifat kemiskinan itu sendiri yang tidak statik.

Oleh kerana itu takrifan dan ukuran kemiskinan akan sentiasa dikaji dan disemak mengikut peralihan masa. Pihak-pihak berkenaan hendaklah mengambil langkah-langkah untuk membantu golongan yang miskin dan membuat langkah proaktif bagi memastikan golongan yang berkemungkinan jatuh miskin dapat diselamatkan.

Usaha menangani kemiskinan, seperti yang diharapkan oleh Baginda Sultan memerlukan pendekatan mantap dan secara praktikal bagi menghalusi dan mengatasi isu ini di peringkat akar umbi.

ARTIKEL BERKAITAN
 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.