Kehadiran NDP merobah pandangan dunia terhadap Brunei

 
 

LIMBARUH HIJAU 16 FEBRUARI 2007: UNIT INTELIGEN ECONOMIST (EIU), sebuah badan kaji selidik dan badan penasihat ekonomi terkemuka di dunia telah memberikan laporan yang agak menyenangkan mengenai senario politik Negara Brunei Darussalam berbanding dengan laporan-laporan yang pernah dikeluarkannya pada tahun-tahun terdahulu.

Pada tahun-tahun yang lalu, laporan mengenai perkembangan politik di Brunei selalunya tidaklah seberapa, hanya dua tiga rangkap keterangan mengenai senario politik yang lembab dan sedikit makumat mengenai kewujudan parti-parti politik berdaftar yang dilihat sebagai tidak aktif di Brunei.

Berbeza pula dengan tahun ini dimana laporan EIU mengenai perkembangan politik Brunei bagi tahun 2006 - 2007 sudah bertukar corak. Badan kaji selidik dan penasihat ekonomi terkemuka di dunia itu sudah mula mengesan perkembangan baru di arena politik Brunei.

Apa yang menjadi kenyataan, EIU melihat perkembangan ini berlaku berikutan dengan kehadiran Parti Pembanguna Bangsa (NDP) di arena politik Brunei sebagai sebuah parti politik berdaftar yang terbesar dan aktif.

EIU dalam laporannya mengakui terdapatnya usaha serius untuk memperkenalkan sistem demokrasi di Brunei sejak 2004 dan melihat pendaftaran NDP sebagai sebuah parti politik terbaru yang sah sebagai satu lagi petanda baik dalam perkembangan tersebut.

"Satu lagi langkah kehadapan kearah memperkenalkan sistem demokrasi ialah dengan pendaftaran Parti Pembangunan Bangsa sebagai parti politik ketiga yang sah. Parti Pembangunan dipimpin oleh Yasin Affandy, salah seorang pemimpin sebuah parti politik yang pernah memenangi pilihanraya umum pada 1962", jelas EIU dalam laporannya.

"Keputusan Sultan Hassanal Bolkiah untuk meluluskan pendaftaran Parti Pembangunan dibawah pimpinan Yasin telah menutup lembaran sejarah hitam Brunei dan menjadi satu lagi bahan bukti yang menunjukkan Brunei menuju kearah sistem politik yang lebih liberal", tegas EIU lagi.

Parti Pembangunan, tambah EIU dalam laporannya, telah mengadakan Kongres Agong pertama baru-baru ini dan kepimpinan Yasin ditetapkan dalam kongres tersebut, tambah EIU.

EIU dalam laporan yang sama juga dapat melihat keperihatinan Kerajaan untuk memperkenalkan institusi suara rakyat sebagai satu persediaan negara menghadapi masa hadapan dimana diramalkan kekayaan dari hasil minyak dan gas akan pupus, dan kerajan tidak lagi akan berupaya memberikan kemudaan-kemudahan seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan tanpa mengenakan cukai pendapatan.

"Belum ada tarikh ditetapkan bagi pilihanraya untuk memilih perwakilan rakyat ke Majlis Mesyuarat Negara, akan tetapi parti-parti politik sudah mula besedia. Parti Pembangunan telah mengadakan Kongres Agong pertama nya baru-baru ini", lapor EIU.

Bayangkan jika NDP hanya wujud pada nama sahaja. Bayagkan jika NDP ini tidak aktif. Sudah pasti laporan EIU mengenai senario politik Brunei bagi tahun 2006 - 2007 akan sama seperti tahun-tahun yang sudah. Mungkin sahaja berbagai andaian negatif yang akan dibuat dalam laporan antarabangsa mengenai senario politik di Brunei.

Laporan yang negatif ini boleh sahaja dijadikan sukat-sukat pelabor asing ke negara ini dan juga akan menjadi sukat-sukat masyarakat antarabangsa seperti pertubuhan hak asasi manusia, untuk memberikan tekanan dan mendesak KDYMM Baginda Sultan dan Kerajaa Baginda melaksanakan reformsai politik dengan segera seperti yang mereka harapkan walaupun apa yang mereka harapkan tidak semestinya sesuai dengan citarasa kita.

Seperti apa yang sedang berlaku sekarang, badan dunia seperti EIU mengandaikan kewujudan parti-parti politik di Brunei, termasuk Parti Pembangunan sebagai kewujudan pertubuhan politik atas kertas sahaja dan mengandaikan kehadiran mereka untuk mencukupkan syarat sahaja.

Mereka melihat kegiatan parti politik di Brunei berkala-kala.

NDP sehubungan ini melihat laporan tersebut kurang tepat. kerana setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan dan sepanjang tahun ada-ada sahaja kegiatan yang dijalankan oleh NDP.

Dalam hal ini NDP tidak pula heran kenapa teropong dunia gagal melihat kenyataan ini.

Persoalan ini kita serahkan kepada media-media tempatan yang nampaknya kurang memberkan sambutan kepada usaha rakyat akar umbi menyokong dan membantu KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Kerajan Baginda melaksanakan reformasi politik di negara ini.

Kita jua berharap pihak-pihak tertentu yang masih rimas dengan istilah politik dan 'alergik' dengan orang politik agar dapat menilai semula pendirian mereka agar segala tingkah laku mereka dan tindakan mereka tidak memudahkan pihak luar membuat andaian-andaian negatif yang kurang tepat terhadap usaha tulen Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda untuk memberikan peluang dan ruang kepada rakyat untuk berpartisipasi dalam usaha membangun bangsa dan negara melalui pelantar politik.

Kenyataannya kita tidak akan dapat terus membohongi dunia yang sentiasa meneropong 'keulahan' kita selaku ahli masyarakat antarabangsa yang menghormati hak asasi mausia untuk hidup dengan selesa, selamat, sejahera dan bebas dari penindasan fisikal, mental dan rohani.

Bagi NDP, ia akan terus berusaha untuk sama-sama memelihara nama baik negara yang kita semua miliki ini.

NDP menyedari hal ehwal negara adalah hal ehwal rumah tangga kita semua yang tidak boleh orang luar campur tangan, dan selaku ahli keluarga kami berasa bangga kerana walaupun kami masih kecil akan tetapi sudah dapat sedikit sebanyak memainkan peranan dalam merobah pandangan dan tanggapan dunia terhadap perkembangan politik dalam negara.

NDP melihat ini sebagai satu sumbangan yang bermakna dalam usahanya menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Baginda menangani cabaran melaksanakan reformasi politik di negara ini.

NDP juga melihat perkembangan ini satu sumbangan kearah mengurangkan tekanan antarabangsa kepada Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda untuk menyegerakan usaha reformasi politik di negara ini walaupun pada hakikatnya NDP sendiri sentiasa merasa tertekan dalam pelayarannya membantu melahirkan senario politik yang sehat di negara ini.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.