Pertubuhan Asean di jangka akan terus memberikan tekanan diplomatik keatas rejim Myanmar untuk mengambil langkah yang positif mengembalikan sistem demokrasi di negara itu.
Asean walaupun berpegang kuat kepada polisi tidak campur tangan dengan hal ehwal dalaman negara anggota-anggotanya terdesak memberikan tekanan diplomatik kepada rejim Myanmar semata-mata kerana pertubuhan 10 negara Asean ini juga sedang menerima tekanan pendapat umum dunia diketuai oleh Amerika Syarikat dan Eropah.
Myanmar yang merupakan ahli keluarga Asean telah dilihat sebagai batu penghalang kepada usaha meningkatkan hubungan Asean dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang mana telah mengambil langkah mengenakan sekatan ekonomi keatas Myanmar.
Baru-baru ini Menteri Luar Malaysia, Syed Hamid Albar dipetik sebagai berkata anggota-anggota Asean tidak akan dapat terus mempertahankan Myanmar kecuali rejim negara itu dapat menunjukkan langkah yang positif untuk mengembalikan sistem demokrasi di negara itu.
Sejauh ini katanya tidak ada tanda-tanda baru yang menunjukkan rejim Myanmar akan berbuat demikian. Dijangkakan isu Myanmar ini akan menjadi salah satu agenda hangat lagi dipersidangan tahunan Menteri-Menteri Luar Asean yang akan berlangung di Kuala Lumpur pada 23 hingga 28 Julai akan datang ini, terutama sekali apabila ASEAN Regional Forum (ARF), kumpulan keselamatan serantau terbesar di Asia Pasifik yang menggabungkan Asean, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan bersidang.
Jika sekiranya ini berlaku dan melihat dari isyarat Menteri Luar Malaysia selaku pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean, Asean kemungkinan akan megeluarkan setidak-tidaknya satu kenyataan rasmi yang keras berhubung isu Myanmar di Persidangan 5 hari itu nanti jika sekiranya rejim Myanmar gagal lagi mengambil langkah untuk mengembalikan sistem demokrasi di negara itu.
Sejauh ini rejim Myanmar tetap bertahan dengan pendiriannya walaupun terus menerima tekanan dan ancaman berhubung dengan ‘kegaggalannya’ memenuhi kehendak masyarakat antarabangsa untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia nya dan juga ‘kedegilannya’ mengambil langkah mengembalikan sistem demokrasi di negara itu.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP) akan terus memerhatikan isu Myanmar ini dengan serius bagi tujuan mempelajari dan mengambil iktibar dari pergolakan dan perkembangan politik di negara itu.
Isu Myanmar ini menarik perhatian ahli-ahli NDP walaupun senario politik Myanmar dan Brunei tidak sama. Walau bagai mana pun Brunei tidak semestinya terlepas dari tekanan dan campur tangan kuasa luar jika sekiranya Brunei dilihat dari kacamata mereka tidak menepati kehendak demokrasi yang mereka jaja diseluruh dunia.
Dalam hubungan ini Presiden NDP Ayahnda Yasin Affandy mengingatkan Ketua-Ketua Biro dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja supaya bergerak pantas dan menonjolkan aktiviti politik yang sihat di Brunei yang boleh menghantar mesej kepada dunia bahawa perkembangan politik di Brunei mulai subur menuju kearah reformasi politik menepati norma norma politik antarabangsa.
“Akan tetapi tugasan berat ini tidak dapat ditangani oleh parti-parti politik semata-mata melainkan mendapat kerjasama yang jitu dari semua pihak agar pembaharuan politik yang dihasratkan oleh KDYMM menjadi kenyataan justeru melepaskan Brunei dari disenarai hitamkan sebagai sebuah negara anti demokrasi”, tegas Ayahnda Yasin Affandy.
“Jika keadaan ini berlaku ia boleh mengundang ketidak selesaan kepada pimpinan pemimpin negara”, tambah beliau lagi. Dalam konteks politik negara dan antarabangsa tidak syak lagi kehadiran NDP ditengah-tengah masyarakat boleh dilihat sebagai relevan, tambahnya.
- Show progress towards democratic reforms, M'sia warns Myanmar