Oleh Jamhariah Jaafar (BERITA HARIAN)
Negara Asean buktikan persengketaan boleh diselesaikan secara aman DUNIA
Islam terus menjadi perhatian sepanjang tahun lalu.
Diari sejarah negara 2006 diakhiri dengan penggantungan bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang mungkin menyebabkan jurang kebencian umat Islam terhadap kuasa Barat terutama Amerika Syarikat semakin melebar yang dikhuatiri berterusan sepanjang tahun ini.
Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, adalah orang bertanggungjawab mendesak Saddam digantung secepat mungkin, tetapi tindakannya menggantung Saddam ketika umat Islam meraikan Aidiladha, membuatkan dia perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku kejadian tidak diingini antara umat Islam dan Barat selepas ini.
Kemarahan umat Islam bukan isu baru, bahkan ia ibarat api membara selepas Bush melancarkan kempen menentang keganasan yang menjadikan umat Islam sebagai sasaran utama.
Kebencian dan kemarahan kerana diperlekeh, dipandang rendah serta dianggap golongan pelampau, tanpa mengambil kira kejayaan dan kecemerlangan serta sumbangan kepada dunia keseluruhan, membuatkan semakin ramai umat Islam bukan saja tidak puas hati, malah ada yang meluahkan kemarahan dengan pelbagai kejadian tidak diingini.
Justeru, suara keamanan perlu disebarkan seluas mungkin. Api kemarahan antara Islam dan Barat perlu disiram dengan semangat cintakan kedamaian.
Warga dunia tidak mahu melihat mahupun membiarkan kuasa dunia seperti Amerika Syarikat menyemarakkan kebencian sesama manusia.
Kita lihat dahulu konflik membabitkan umat Islam di Selatan Thailand, kini semakin terbuka luas untuk penyelesaian secara damai.
Tumbangnya Thaksin Shinawatra dan naiknya Surayud Chulanont, menyaksikan semua usaha ke arah keamanan di tiga wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam semakin cerah.
Isu konflik serantau terutama membabitkan agama sering diambil serius negara anggota Asean.
Walaupun berpegang teguh kepada dasar tidak campur tangan, namun bantuan dan kerjasama mencari penyelesaian adalah penting bagi memastikan Asean terus kekal aman dan bebas.
Konflik umat Islam berlaku di Selatan Thailand dan Filipina, menyaksikan bukan hanya Kerajaan Malaysia memberi bantuan atau diminta menjadi orang tengah, malah tokoh dan kumpulan terkemuka daripada pelbagai negara anggota turut menghulurkan sumbangan bagi memastikan rantau ini tidak terus bergolak – kerana tempiasnya turut memberi kesan serius kepada negara jiran.
Indonesia, negara yang dihuni umat Islam paling ramai di dunia, kelihatan tidak surut daripada dilanda masalah dan isu.
Antara yang mendapat perhatian dunia ialah isu pengganas dan keganasan.
Keputusan Mahkamah Tinggi Indonesia membebaskan ulama terkemukanya, Abu Bakar Bashir, daripada tuduhan keganasan adalah bukti negara Islam seperti Indonesia tidak tunduk kepada tekanan kuasa Barat yang menganggap majoriti umat Islam berjubah dan bertudung sebagai kumpulan pelampau dan pengganas.
Abu Bakar, 69, dibebaskan selepas menghabiskan dua setengah tahun di penjara atas tuduhan bersubahat dalam kejadian pengeboman di Bali yang menyebabkan 202 orang terbunuh termasuk 88 warga Australia.
Keputusan itu dikutuk Kerajaan Australia dan Amerika Syarikat, yang menuduh ulama itu sebagai seorang daripada pemimpin utama rangkaian Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah (JI).
“Proses perundangan terhadap Abu Bakar dilakukan sebuah badan bebas, adil dan telus seperti dikehendaki sistem demokrasi,” tegas jurucakap Kementerian Luar Indonesia.
Bencana tsunami pada 26 Disember 2004, membawa perubahan besar kepada konflik menuntut kemerdekaan Aceh dari Indonesia.
Dua tahun selepas bencana itu, bekas pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Irwandi Yusuf, memenangi pilihan raya pertama untuk jawatan gabenor di wilayah berkenaan, bulan lalu.
Di Malaysia sendiri, walaupun konflik dan peperangan tidak berlaku, rakyat negara ini diberi pendedahan secukupnya mengenai akibat konflik dunia dan kesannya ke atas Malaysia.
Kumpulan seperti Aman Malaysia yang berada di bawah payung Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, tidak pernah sunyi daripada pelbagai program kemanusiaan, bagi memastikan rakyat negara terutama golongan muda tidak teragak-agak dan pantas menghulur bantuan kepada warga dunia, tanpa mengira siapa.
Antara program disertai kumpulan ini ialah Forum Sosial Dunia di Karachi, sebelum bergegas sekali lagi ke Pakistan untuk membantu mangsa gempa bumi termasuk membina tempat perlindungan (Improvised Rapid All-weather Shelter) untuk berlindung sepanjang musim sejuk.
Aman Malaysia turut menghantar pasukan penyelamat dan media ke Lubnan ketika negara itu diceroboh Israel dan membuka klinik bergerak bagi membantu dan merawat mangsa serangan Israel, sebelum berkejar ke Yogyakarta bagi membantu mangsa satu lagi gempa di sana.
Di Asia Barat, konflik sudah menjadi darah daging warga Palestin dan pada 2006, menyaksikan Israel memburu kumpulan Hizbullah sehingga menceroboh Lubnan yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Walaupun mereka berundur dalam tempoh 31 hari, jumlah kematian dan kemusnahan harta benda cukup besar.
Amerika Syarikat juga tidak puas hati dengan pencerobohan ke atas Iraq yang mengorbankan lebih 600,000 nyawa rakyat negara itu, tidak termasuk 3,000 lagi rakyatnya sendiri dan 2006 mencerminkan sikap angkuh keterlaluan Amerika apabila Iran pula diberi tekanan sama.
Sekali lagi isu nuklear negara itu menjadi alasan.
Bush menerima tamparan paling hebat pada 2006 apabila Kumpulan Kajian Iraq diketuai bekas Setiausaha Negara, James A Baker III, membuat kesimpulan dasar perang Presiden Amerika itu hampir keseluruhannya gagal.
Walaupun Setiausaha Pertahanannya, Donald H Rumsfeld, melepaskan jawatan, ia tidak dapat menyiram api kemarahan warga dunia apa lagi umat Islam.
Bagaimanapun, persoalannya apa yang boleh dibuat warga dunia dan umat Islam bagi memastikan Bush dan sekutunya, Tony Blair, mengambil serius pandangan mereka.
Apa yang berlaku hari ini, semakin dicemuh dan dimaki, semakin bermaharajalela mereka membuat keputusan yang boleh menggugat keamanan dunia keseluruhan.
Berapa ramai lagi umat manusia perlu maut disebabkan keputusan angkuh pemimpin dunia ini?
Tindakan terakhir Bush ketika umat Islam menyambut Aidiladha, memastikan Saddam menemui ajal di tali gantung, hanya untuk membalas dendam kerana gambar bapanya pernah menjadi ejekan rakyat Iraq ketika Saddam berkuasa.
Dendam Bush mungkin sudah tertebus, tetapi bagaimana pula dengan dendam disemai di hati rakyat Iraq yang kehilangan anak, suami, isteri dan keluarga tercinta?
Justeru, kita hanya mampu berdoa agar dendam, kebencian dan kemarahan dirasai umat Islam sepanjang 2006, tidak menjadikan 2007 sebagai ‘tahun berdarah’.
Kita harap tahun ini dilalui dengan tenang dan harmoni. |