LIMBARUH HIJAU OGOS 12, 2007 -
TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOKIAH MU'IZZADDIN WADDAULLAH, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sabtu kemarin dimana Baginda mengajak kita semua untuk menjadi agen perubahan dalam keadaan umat Islam sekarang dibayangi dengan masalah akhlak yang semakin meruncing seharusnya kita insafi bersama.
Masalah sosial atau masalah akhlak dalam masyarakat kita, terutama sekali dikalangan belia-belia malahan diperingkat kanak-kanak belasan tahun semakin membimbangkan.
Baru-baru ini misalnya, telah didedahkan di dada akhbar tempatan mengenai penagkapan sekumpulan kanak-kanak belasan tahun yang terlibat dengan seks berkumpulan dan juga didapati bersama mereka filem-filem lucah.
Awal bulan ini sepasang suami isteri berumur dalam lingkungan 30 tahun telah ditahan untuk disoal siasat oleh pihak Polis atas tuduhan memukul sepasang suami isteri warga emas berumur lingkungan 70 tahun.
Kes-kes penyalah gunaan dadah melibatkan belia-belia juga masih masih menjadi isu yang sangat membimbangkan di negara kita. Kes curi, pecah rumah, pemugut dan kes-kes jenayah yang melibatkan belia-belia sudah semacam menjadi perkara lumrah di negara kita.
Begitu juga berhubung kes seks luar nikah melibatkan belia remaja, kes pembuagan bayi dan kelahiran anak luar nikah semuanya sudah menjadi semacam perkara biasa dalam masyarakat kita.
Pada tahun 2005 hampir 100 kes penderaan telah dilaporkan. Peningkatan kes-kes penderaan dan kes keganansan dalam rumah telah mendesak Kerajaan untuk menubuhkan unit khas dalam Polis Di-Raja Brunei beberapa tahun yang lalu untuk menangani kes-kes pederaan dan kes keganasan dalam rumah tangga ini.
Pada tahun 2005 sahaja
31 mangsa-mangsa rogol dan penderaan yang terdiri dari kanak-kanak berumur antara 9 ke 15 tahun telah mendapat perlindunagn di Taman Noor Hidayah.
22 kes rogol telah dilaporkan pada tahun yang sama.
Laporan terkini yang dikeluarkan pada tahun 2005 menunjukkan penghidap penyakit HIV dan AIDS di Brunei berjumlah seramai 30 orang yang terdiri dari anak-anak tempatan. 21 dari mereka terdiri dari lelaki dan selebihnya perempuan. Lapan puluh peratus dari jumlah tersebut dalam lingkungan umur 20 ke 49 tahun. 17 dari mereka telah meninggal dunia akibat penyakit maut itu.
Sementara itu isu keciciran penuntut-penuntut sekolah dalam umur yang masih muda juga sangat membimbangkan di negara kita.
Itulah gambaran masyarakat kita masa kini. Walaupun jumlah kes-kes yang disebutkan masih rendah dibanding dengan negara-negara lain namun ianya tetap membimbangkan kepada negara yang hanya mempunyai penduduk kurang dari 400 ribu orang ini.
Makanya wajar bagi kita menyahut seruan Baginda Sultan. Kita harus insaf dan sedar bahawa dengan hanya berdiam diri jadi penonton kepada masalah akhlak yang sedang dihadapi akan hanya mengundang kecelakaan dan kehancuran kepada negara dan bangsa.
Kita semua harus sedar penyakit sosial yang sedang membayangi masyarakat kita hari ini hanya merupakan simptom atau manifestasi kepada penyakit yang lebih besar yang sedang dihidapi oleh anggota badan bangsa dan negara kita akan tetapi kita gagal melihatnya.
Umpama seorang yang sering menghidap sakit kepala. Memakan panadol mungkin akan dapat melegakan sakit kepalanya akan tetapi sakit kepala itu akan berulang jika penyakit sebenar yang menyebabkan sakit kepala itu tidak diubati.
Seperti yang diperingatkan oleh Baginda Sultan, "segala amal kebajikkan dan perbuatan derhaka itu telahpun disediakan oleh Allah akan balasan-balasan nya".
Jelas dari peringatan ini anak-anak kita yang tersesat telah menerima padahnya. Dalam konteks kita bernegara dan berbangsa kita juga 'ampit' dosanya. Ia bukan sahaja menjadi beban kepada negara dan bangsa malahan menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan negara. Inilah merupakan bala yang menimpa negara dan bangsa.
Apa mungkin inikah yang dirisaukan oleh Baginda Sultan dan membuatkan Baginda terpanggil untuk mengingatkan negara bahawa ada lagi masalah besar yang sepatutnya tidak lepas dari pandangan kita semua?
"Pada zaman kita ini, amal kebajikkan dan maksiat itu bercampur aduk. Dia dilakukan tanpa mengira peringkat umur, sama ada tua atau muda dan juga kanak-kanak belasan tahun"
"Ini amatlah merisaukan bukan sahaja dari segi akhirat malahan juga dari sudut keduniaan. Sesungguhnya sunah atau hukum Allah itu tidaklah mungkin dipinda-pinda. Bagi sesiapa yang melakukan ma'aruf pasti dibalasNya dengan kebajikkan sementara yang melakukan mungkar akan menerima azabnya."
Ketika bertitah Baginda Sultan seterusnya mengingatkan umat Islam bahawa bedasarkan janji Allah, mereka patutlah cemas dengan senario yang ada dimana gejala sosial atau masalah ahlak menjadi satu cabaran yang sengit.
Justeru Baginda bertitah umat Islam tidaklah boleh setakat menjadi penonton nya tetapi perlu bersikap sebagai pembawa perubahannya. Keadaan baik akan dikekalkan sementara yang disebaliknya mesti dibaiki dan diubah.
"Itulah namanya masyarakat membawa perubahan. Perubahan kepada yang baik dan lebih baik adalah sangat digalakkan oleh Islam. Oleh itu kita semua dituntut menjadi agen perubahan", seru Baginda Sultan.
Menurut Baginda Sultan Allah SWT yang amat menyukai hamba-hambaNya yang mahu berubah telah dengan kemurahanNya jua menyediakan satu konsep luhur lagi mulia iaitu konsep taubat.
Taubat, menurut Baginda Sultan adalah landasan untuk seseorang mengubah nasib dan dirinya sekalipun seburuk mana keadaan orang itu.
"Jadi marilah kita sama-sama mendokong konsep perubahan ini. Kita cari jalan yang berubah dari yang tidak atau kurang baik kepada yang baik dan lebih baik. Dalam perkara ukhrawi kita dituntut berubah dengan meninggalkan segala macam perkara munkar yang ditegah oleh Allah dan RasulNya sementara dalam perkara duniawi kita dikehendaki berubah untuk mencapai apa-apa yang terbaik dalam kehidupan", titah Baginda Sultan.
Jelas dari titah Baginda Sultan tersebut kita semua dituntut oleh Islam untuk menjadi agen perubahan dan landasan awal untuk menjadi agen perubahan tersebut ialah 'taubat'.
Dalam konsep taubat ini kita terlebih dahulu mestilah mempunyai perasaan insaf dan menyesali segala perbuatan-perbuatan mungkar yang telah dilakukan dan bertekad untuk meninggalkan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.
Dalam konteks kita bernegara dan berbangsa seruan Baginda Sultan agar kita semua berlumba-lumba untuk bertaubat dan menjadi agen perubahan mengamit jiwa dan fikiran kita untuk menginsafi bahawa kita semua mempunyai saham dalam masalah sosial yang sedang melanda negara kita.
Justeru marilah kita sama-sama melihat dimanakah salah dan silap kita sehingga meletakkan masyarakat kita dalam
keadaan berhadapan dengan penyakit sosial yang membimbangkan ini.
Pertama-tama yang perlu kita nilai semula ialah keberkesanan kita menanamkan konsep Melayu, Islam, Beraja (MIB) yang menjadi
krangka kehidupan kita bernegara dan berbangsa dalam jiwa masyarakat kita.
Apakah kita sudah berjaya menjadikan konsep MIB sebagai benteng pertahanan keutuhan bangsa dan negara kita?
Apakah roh MIB telah berjaya kita tanamkan dalam jiwa anak-anak dan belia-belia kita hingga ia menjadi satu kekuatan kepada mereka untuk menanggkis segala pengaruh-pengaruh negatif yang boleh membawa mereka hanyut dan hilang ditelan oleh arus kemaksiatan?
Aapkah kita sudah berjaya menjadikan MIB sebagai agen perubahan minda, sikap, budaya bekerja, penguasaan ilmu dan pendidikan, dan pelindung akhlak bagi melahirkan cara hidup baru untuk masyarakat Negara Brunei Darussalam yang merdeka?
Berjayakah sudah konsep MIB kita memberikan pendekatan yang berkesan untuk mewujudkan sistem keadilan sosial yang bersendikan keadilan Islam yang luas dan menyeluruh serta berjaya merencana dan melaksanakan program pembangunan insan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti.
Apa yang kita harapkan agar pendekatan konsep MIB dapat dimantapkan lagi dan menjadi satu konsep yang dinamik sehingga ianya boleh menjadi garis pandu yang berkesan dalam merangka strategi mencegah mungkar bagi memastikan semua pelan amal kebajikan dapat menjamin suasana dan keselesaan hidup dan beragama di Negara Brunei Darussalam mengikut konsep dan maksud ‘Darussalam’ sebagai wilayah yang selamat dan sejahtera.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yakin dengan memantapkan lagi konsep MIB ini, khususnya dalam aspek pendekatan
untuk menanamkan semangat dan roh konsep tersebut dalam jiwa masyarakat kita ianya akan berjaya membawa banyak perubahan kepada yang lebih baik seperti saranan Bagnda Sultan.
Timbalan Presiden NDP, sdr Mahmud Morshidi Othman pernah memberikan padangan mengenai perkara ini ketika menyambut dan menjujung titah Baginda Sultan sempena Hari Raya Aidil Fitri tahun 2006.
Baginda Sultan dalam titah tersebut berseru agar
jati diri bangsa Brunei perlu dipelihara sambil memperelokkan lagi.
Sehubungan dengan seruan baginda tersebut Sdra. Morshidi berpandangan perlunya kita menginsafi akan apa yang tersurat disamping coba menyelami apa yang tersirat disebalik titah Kebawah DYMM itu.
Apakah bentuk tuntutan jati diri rakyat Brunei sebenarnya?, ujar beliau dalam artikel tersebut.
Beliau seterusnya menjelaskan pada pandangan kita, jati diri yang mesti diunggulkan pada setiap saat oleh rakyat Kebawah DYMM ialah falsafah Negara itu sendiri.
Persoalannya, ialah bagaimana kita boleh mengisi falsafah Melayu Islam Beraja yang ditanai hari ini supaya ia ‘sustainable’ hidup, dan tetap releven untuk selama-lamanya?
Di peringkat Parti, Perlembagaan dan Manifesto Parti Pembangnan Bangsa (NDP) 2006 -2016 telah dengan jelas menggariskan dan mentafsirkan Misi dan Objektif Utama agenda perjuangannya untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang mendapat keampunan Allah SWT (Baldatun Thyibatun Warabun Ghafur).
"Perlembagan dan Manifesto NDP telah berusaha melakarkan pandangan dan hasratnya untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri; maju dari segi dakwah, politik, ekonomi, pendidikan, maju dari segala segi, tanpa perlu mengikut jejak langkah negara maju lain yang keliru dalam persoalan nilai dan budaya sehingga meruntuhkan masyarakatnya", jelas sdra Morshidi.
Beliau seterusnya mengingatkan, dalam menghadapi ancaman globalisasi dan order baru dunia, kita tidak lagi bersaing sesama kita di negara ini, sebaliknya bersaing dengan seluruh bangsa di dunia.
"Unggulkanlah unsur taat setia kepada Kebawah DYMM sebagai Ulul Amri dan Mujaddid, sebagai jati diri yang menjadi cemeti memacu seluruh rakyat dan Negara kearah kecemerlangan".
"Dengannya, kita bukan sahaja akan dapat mengisi kemerdekaan negara seperti yang dihasratkan oleh Kebawah DYMM dan rakyat baginda, malah, hikmah disebalik taat setia yang setulus-tulusnya terhadap baginda itu, Insyaallah akan dapat dijadikan benteng utama ketahanan nasional, kemerdekaan dan keselamatan negara dan bangsa".
Apabila persoalan jati diri ini dikaitkan dengan Islam, maka perlu kita sedari, tanpa memahami tuntutan taat kepada Allah, Rasul dan Ulil Amri serta tuntutan berlaku adil dan berihsan ‘Aladli Wal Ihsan’ nescaya umat Islam hanya boleh dilihat maju melalui pemilikan gedung-gedung dan kediaman-kediaman mewah didiami oleh insan-insan yang pada hakikatnya mati mata hati, tersekat minda, serta pudar nilai keinsanannya.
Maka, pada hemat NDP, jelasnya, telah sampailah masanya Majlis Tertinggi Kebangsaan Melayu Islam Beraja (MIB) yang bersifat bebas dengan ahli-ahlinya lantikan peribadi, dan sifatnya sekadar sebagai penasihat dan bukan sebagai sebuah badan yang rasmi seperti jabatan kerajaan dalam mana-mana kementerian diangkat, dilembagakan dan didarajatkan menjadi sebuah institusi yang setara dengan status sebuah kementerian yang mempunyai ketua pentadbir bertaraf menteri, para pentadbir, penyelidik dan penguat kuasa yang bertanggung jawab terus kepada Kebawah DYMM dan Kabinet baginda.
Beliau berpandangan dengan wujudnya institusi yang diperelok dan berwibawa itu kelak, tidak syak lagi ia akan berupaya berperanan mengembangkan pemahaman dan syiar Islam dan melindungi Islam, memantapkan lagi institusi kesultan Brunei Darussalam dan menjana ketaat setiaan rakyat terhadap Baginda dan zuriat-zuriat baginda, menjamin hak-hak orang Melayu dan berterusan menjamin kesejahteraan, keamanan dan keharmonian hidup seluruh rakyat yang bernaung dibawah payong daulat Kebawah DYMM sebagai Sultan dan Yang Di Pertuan dan Ulil Amri bagi Negara Brunei Darussalam.
Mantapkan Majlis Tertinggi Kebangsaan MIB