BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 9 Januari. - Agensi-agensi kerajaan digesa supaya mengambil langkah-langkah dalam membuat atau membawa perubahan bagi menyelesaikan isu penting yang minta ditangani.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam membuat gesaan itu semasa bertitah sempena menyambut Tahun Baru Hijrah 1429 yang disiarkan ke seluruh negara melalui Radio dan Televisyen Brunei di sini.
Baginda bertitah, negara sebenarnya sudah banyak mendepani masalah, bahkan sudah banyak wawasan yang mampu mendahului orang lain, tetapi dalam mencari penyudahnya kita sering terlambat.
Banyak benar isu penting yang minta ditangani titah baginda, antaranya ada yang mustahak disegerakan, seperti isu banjir kilat atau kawasan-kawasan yang mudah ditenggelami air.
Baginda bertitah, ada pendapat, bahawa perkara tersebut berpunca daripada sistem perairan atau perlongkangan yang kurang diberikan perhatian, yang ditumbuhi oleh rumput-rampai yang menyebabkan air tersekat atau tidak lancar mengalir.
Jika ini betul, titah baginda, apakah ia tidak mustahak untuk diambil berat dan dibuat perubahan segera?
Baginda menambah titah, banjir itu juga boleh berlaku disebabkan faktor pembangunan, seperti jika ada projek-projek yang tidak dikawal ‘ketat’ oleh sebarang peraturan atau akta, di mana kontraktor-kontraktor dengan sesuka hati boleh meruntuh bukit, mengorek dan memunggah tanah serta melonggok-longgokkan sampah, yang risikonya nanti boleh menjejaskan longkang dan parit serta alam sekitar.
Perkara ini titah baginda, kelihatannya seperti kecil saja, tetapi sebenarnya bukan. Ia berkait rapat dengan pelbagai kepentingan, seperti perundangan, pengurusan, etika dan disiplin. Manakala semua ini ada pada kita, sudah barang tentu segala masalah akan dapat ditangani.
Baginda menyeru rakyat dan penduduk supaya bersikap lebih maju tanpa mengabaikan ‘langkah-langkah perlu’ untuk mengatasi masalah ini termasuk melalui peraturan khas atau akta.
Jika terdapat isu yang memadai hanya dengan pengurusan biasa, maka bolehlah kita mengurusnya dengan cara biasa. Ataupun, ada isu yang memerlukan ‘peraturan-peraturan khas’ atau akta, maka mengapakah tidak diluruskan pengurusannya dengan kuat kuasa peraturan atau akta tersebut?
“Ataupun, jika kita belum lagi mempunyai peraturan atau akta mengenainya, maka apakah salahnya jika kita menggubal peraturan dan akta berkaitan?
“Begitulah caranya untuk merintis sebarang perubahan dan kemajuan tanpa terperangkap dengan fikiran-fikiran sempit atau jalan buntu,” titah baginda.
Dalam titah perutusan itu baginda dan keluarga dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1429. Semoga kehadirannya akan memarakkan lagi ‘kesedaran berbakti’ kepada Allah dan agama-Nya, maju jaya serta aktif membawa perubahan-perubahan bermakna bagi negara.