KENYATAAN MEDIA

SEMPENA KELULUSAN PENUBUHAN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (PARTI PEMBANGUNAN) DIKELUARKAN OLEH: HAJI AMINORRASHID HAJI GHAZALI SETIAUSAHA AGUNG PARTI PEMBANGUNAN

 
 

1. SEGALA puji bagi Allah SWT, Tuhan seru sekian alam. Salawat dan salam ke atas junjunganNya, Nabi Agung Muhammad SAW.

2. Syukur yang tidak terhingga, kami panjatkan kepada Yang Maha Berkuasa, kerana PARTI PEMBANGUNAN BANGSA, ringkasnya PARTI PEMBANGUNAN, telah diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah dibumi Brunei Darussalam yang bertuah ini pada 31 Ogos 2005 bersamaan 26 Rejab 1426 dalam surat Pendaftaran Pertubuhan BPD 25/1181

Menjunjung Kasih

3. Sehubungan ini kami merafak sembah menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah duli Yang maha mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan negara Brunei Darussalam, berterima kasih kepada Kerajaan Baginda khususnya Pendaftar Pertubuhan dan pegawai-pwgawainya atas keprihatinan dan kerjasama dalam memberi pertimbangan yang saksama dan seterusnya meluluskan pendaftaran Parti pembangunan dalam waktu yang singkat itu.

Cabaran Semasa

4. Sejak Negara Brunei Darussalam kembali merdeka dan berdaulat pada 01 Januari 1984, ianya tidak terlindung daripada tiupan gelombang hak asasi manusia, demokrasi dan globalisasiyang sarat menyebabkannya terpaksa mengemudi bahtera kenegaraan mengikut arus gelombang tersebut agar ia tidak kelihatan jelek pada pandangan dan pendapat umum dunia.

5. Dengan penuh rasa sedar dan insaf, Parti Pembangunan bertanggungjawab untuk menghadapi fenomena ini agar Negara Brunei Darussalam tidak terperangkap dengan tekanan dari mana-mana pihak juapun sehingga boleh membawa kesan negatif pada negara dan rakyat pada jangka masa yang panjang.

6. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, konsep pemerintahan yang “adil dan berihsan” adalah lebih unggul dan universal sifatnya dari konsep-konsep anjuran Barat yang hanya efektif sejauh mana ianya menguntungkan penganjurnya.

7. Kami rasa terpanggil mendirikan Parti Pembangunan Bangsa ini untuk menjadikan wadah dan wasilah kepada rakyat bagi menyalurkan khidmat sivik, politik, ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain, sesuai dengan aspirasi bersepadu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan rakyat Baginda dalam membentuk sebuah negara dan bangsa yang bermaruah dan berdaulat.

Senarai Ahli Jawatankuasa Penaja

8. Berikut saya senaraikan anggota Jawatankuasa Penaja Majlis Tertinggi parti terdiri daripada:

1. Presiden

Awang Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy


2. Timbalan Presiden

Mahmud Morshidi bin Awang Othman


3. Naib Presiden

Awang Haji Umar bin Awang Tamin (Daerah Brunei Muara)

4. Naib Presiden

Awang Sulaiman bin Metarsad (Daerah Seria/Belait)

5. Naib Presiden

Awang Haji Hanafi bin Md Daud (Daerah Tutong)

6 . Naib Presiden

Awang Haji Ibrahim bin Awang Haji Jumat (Daerah Temburong)

7. Setiausaha Agong

Awang Haji Aminorashid Hj Ghazali

8. Penolong Setiausaha

Awang Hj. Abdul Majid bin Hj. Abdul Agong Hamid

9. Ketua Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan

Awang Hj. Abdul Wahab bin Hj. Tengah

10. Ketua Penerangan Dan Hal Ehwal Awam

Awang Hj. Mohd Ali Noordin bin Md. Zain

11. Ketua Biro Kebudayaan Kesenian Dan Warisan

Pengiran Hj. Abu Bakar bin Pengiran Dato Paduka Hj. Muhammad

12. Ketua Himpunan Pemuda

Awang Aji bin Hj. Omarali

13. Ketua Himpunan Wanita

Dayang Hajjah Saemah binti Hj. Zulkefli

14. Ahli

Awng Hj. Mohammed Ali bin Hj. Yusof

15. Ahli

Awang Hj. Samad bin Jamaluddin

16. Ahli

Awang Hj. Adinin bin Hj. Mylin

17. Ahli

Awang Hj. Md Said bin Matnor

 

Visi Parti Pembangunan

9. Visi Parti Pembangunan seperti yang dimaktubkan dalam Bab Kedua, Artikel 3 perlembagaannya adalah: ‘Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Melayu, Islam, Beraja, aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah SWT.”

Misi Parti Pembangunan

10. Artikel 4 perlembagaan Parti Pembangunan menggariskan tujuh misi seperti berikut:

1. Mempertahankan Kedaulatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri di Negara Brunei Darussalam yang berkuasa dan memerintah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW.

2. Mempertahankan Kedudukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda sebagai pewaris takhta Kesultanan Negara Brunei Darussalam buat selama-lamanya.

3. Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda dalam menegakkan serta mempertahankan Islam dan Syariatnya sebagai Ad-Din, di Negara Brunei Darussalam, tanpa adanya sebarang diskriminasi atau ketidakadilan terhadap penganut agama yang lain.

4. Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda dalam menegakkan serta mempertahankan ketuanan Melayu-Muslim di Negara brunei Darussalam, tanpa adanya sebarang diskriminasi atau ketidakadilan terhadap bangsa-bangsa dan kaum-kaum yang lain.

5. Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda dalam mempertahankan dan mengekalkan kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan negara Brunei Darussalam.

6. Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda membangunkan Negara Brunei Darussalam dalam semua sektor, termasuk ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan, sehingga menjadi dan berterusan berkekalan sebagai sebuah negara Melayu Islam yang progresif, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain dan negara yang merdeka di arena antarabangsa.

7. Menyokong dan Membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda menegakkan dan mempertahankan prinsip keadilan dan ihsan.

Objektif Utama

11. Sementara Artikel 5 perlembagaan Parti pembangunan pula mendasarkan tujuh objektif utama parti iaitu:

1. Memupuk rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi di kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka seri baginda Sultan haji Hassanal Bolkiah Mu’Izzaddin Waddaulah terhadap Baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri Negara Brunei darussalam, dan terhadap zuriat keturunan Baginda.

2. Mendidik dan menyemai semangat patriotik, cintakan negara, dan kesedaran berpolitik secara aman dalam suasana madani di kalangan rakyat.

3. Berusaha membantu Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mewujudkan sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan yang adil dan saksama, telus, bersih, cekap, amanah, penuh ihsan dan kebajikan.

4. Bekerjasama dengan mana-mana jua pihak yang menghormati visi, misi dan objektif utama Parti Pembangunan dalam menjayakan wawasan Parti, selagi ia tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

5. Berusaha menjalin hubungan dan kerjasama dengan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, kerajaan dan bukan kerajaan, dan lain-lain demi kepentingan masional, terutama sekali bagi memajukan dan membangunkan negara dan bangsa Brunei yang merdeka.

6. Bergiat memartabatkan dan memajukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, disamping mengembangkan pengajian Bahasa Al-Quran dan penggunaan tulisan Jawi.

7. Pada amnya, menjalankan apa-apa jua kegiatan yang telah digariskan oleh Perlembagaan parti Pembangunan dan apa-apa jua kegiatan yang sah di sisi perlembagaan dan undang-undang negara demi menunaikan komitmen untuk membantu menbangun negara dan membina keutuhan bangsa.

Kekuasaan

12. Parti Pembangunan berpegang kepada prinsip, “Mana-mana Bab, Artikel atau Klausa di dalam Perlembagaan Parti Pembangunan yang percanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi Muhammad SAW adalah dengan sendirinya terbatal.”

Demokrasi

13. Pada amalannya Parti Pembangunan menerima pakai demokrasi selagi ia tidak bercanggah dengan Islam dan akan bergerak mengikut lunas-lunas perlembagaan dan undang-undang. Pemilihan pemimpin parti disemua peringkat akan melalui pemilihan langsung oleh ahli didalam Kongres di peringkat Pusat, Cabang atau Ranting.

Pendekatan Tiga Penjuru

14. Sesuai dengan falsafsah negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu, Islam dan Beraja, maka Parti Pembangunan akan bergerak melalui pendekatan tiga penjuru:

Pertama: Parti Pembangunan mempelopori gagasan Melayu Baru yang luas jangkauannya.

Kedua: Parti Pembangunan sebagai sebuah gerakan dakwah yang berpolitik dan sebuah badan politik yang berdakwah.

Ketiga: Parti Pembangunan berusaha menyebarluaskan penghayatan konsep Raja (Sultan) dan Ulul Amri sebagai Khalifah Allah di muka bumi yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Kearah Kesatuan Bangsa

15. Sukacita kami memaklumkan bahawa Parti Pembangunan tetap berpegang kepada Konsep Melayu sebagai rupa bangsa dan bahasa seperti yang telah diperlembagakan sesuai dengan fitrah majoriti penduduk Negara Brunei Darussalam, dan kedudukan geografinya dalam wilayah teras rumpun Melayu. Namun kaumminoriti yang menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam seprti Iban, Cina dan suku-suku lain tetap dijamin akan hak dan keadilan yang sama menurut undang-undang negara.

16. Parti Pembangunan tetap menerima hakikat bahawa kepelbagaian rupa bangsa, warna kulit, bahasa dan kebudayaan adalah ciptaan Allah SAW dan tanda kekuasaannya sebagai Maha Pencipta (Khaliq), justeru tidak wajar dicurigai atau dicemburui. Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain)...”. (Surah Al Hujuraat, ayat 13) Dan surah Ar Rum, ayat 22 yang bermaksud:

“Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan dan perbezaan bahasa kamu dan kulit kamu...”.

17. Justeru, Parti Pembangunan berpegang kepada prinsip bahawa tidak ada sesiapa jua pun boleh meminggirkan atau mengetepikan hak sesiapa jua dari kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan didalam arus pembangunan negara.

18. Berpandu kepada aspirasi ini Parti Pembangunan di asaskan sebagai parti untuk semua penganut apa jua agama, sama ada Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu, dan semua suku kaum dan dari semua peringkat lapisan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan.

19. Dengan ini Parti Pembangunan adalah parti untuk bangsawan dan ningrat, untuk orang awam yang berkelulusan tinggi dan ulamak, dan yang tidak terpelajar, untuk golongan kaya dan miskin, untuk yang berkedudukan dan berpangkat, dan juga untuk buruh, petani dan penganggur.

Kerjasama Kepada Pasukan dan Agensi Keselamatan

20. Parti Pembangunan memilih jalan sederhana, aman, sivil sepenuhnya, berunding dan berhemah dalam memikat hati rakyat. Parti Pembangunan menolak sebarang keganasan, kekerasan, ugutan atau ancaman. Kami yakin kepada sikap menyuburkan kebaikan dari membesarkan perselisihan didalam mencari keharmonian bernegara dan bermasyarakat.

21. Majlis Tertinggi Parti mengingatkan anggota dan penyokong Parti Pembangunan supaya menjaga peraturan dan disiplin yang digariskan oleh parti. Anggaplah semua anggota masyarakat di sekililing kita sebagai rakan dan sebahagian dari kita. Anggap dan terimalah mereka sebagai penyokong dan bakal penyokong kita serta yang akan bekerjasama dengan kita.

22. Jangan sekali-kali kita berprasangka buruk, berdendam dengan sesiapa jua pun kerana ianya adalah bertentangan dengan prinsip perjuangan Islam. Terimalah anggota-anggota pasukan dan agensi keselamatan kita sebagai teman seperjuangan di dalam aturan-aturan keselamatan negara yang menjadi tunggak perjuangan kita. Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa...” (Al-Hujuraat : 12)

“...sukakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya...” (Al-Hujuraat : 12)

23. Kita hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pasukan dan agensi keselamatan dalam menjaga keselamatan, keamanan, kestabilan dan keharmonian masyarakat di dalam Negara Brunei Darussalam. Dengan wujudnya persekitaran yang aman damai dan kondusif tidak syak lagi akan menggalakkan pelaburan asing seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara.

24. Seperti kita, pasukan-pasukan dan agensi-agensi keselamatan juga menanai amanah Allah SWT untuk memelihara bumiNya dari kehancuran. Justeru itu jika kita berhadapan dengan sebarang masalah keselamatan, huraikanlah dengan pihak-pihak berkenaan dengan penuh hikmah seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

25. Atas keyakinan diri dan sikap terbuka ini kita melangkah untuk berkhidmat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda dan Yang Di-Pertuan, negara dan masyarakat kerana Allah SWT jua. Sebarang khidmat baik kami nanti adalah dari Allah, dan sebarang kelemahan adalah dari kami sendiri yang memerlukan teguran, pembetulan dan kerjasama dari setiap pihak.

Pelancaran Perlembagaan, Manifesto dan Kongres Agung

26. Insya Allah, sedikit masa lagi Parti Pembangunan akan mengadakan pelancaran Perlembagaan Parti, kemudiannya nanti akan disusuli dengan pelancaran Manifesto Parti. Selepas itu, Insya Allah kongres Agung penubuhan dan pelancaran Parti Pembangunan Bangsa akan diadakan pula, yang kesemua tarikhnya akan diumumkan kelak.

27. Apabila sampai masanya, Majlis Tertinggi Parti menjemput orang ramai menghadiri ke Kongres Agung ini tetapi hanya ahli yang berdaftar sahaja yang boleh memilih, dan dipilih sebagai, pemimpin parti. Dalam Kongres Agung itu nanti Majlis Tertinggi Parti yang sekarang bertaraf penajaan akan dibubarkan. Ahli-ahli parti yang hadir pada Kongres Agung pelancaran itu akan memilih Ahli-Ahli Majlis Tertinggi yang baru secara langsung dan mereka itu kelak akan memimpin dan menguruskan pentadbiran parti untuk tiga tahun ke hadapan.

Pendaftaran Keahlian

Mulai dari hari ini Parti Pembangunan Bangsa secara rasmi membuka keahliannya kepada semua warganegara Brunei Darussalam yang memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan.

2. Berumur lapan belas tahun ke atas.

3. Tidak menjadi ahli sebarang parti politik yang lain.

4. Menerima perlembagaan parti serta peraturan-peraturan yang diperbuat di bawahnya.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dasar-dasar perjuangan Parti Pembangunan dan mereka yang ingin menjadi ahli bolehlah mendaftar sebagai ahli melalui penaja-penaja parti di setiap peringkat dan daerah. Atau langsung datang ke Ibu Pejabat Parti Pembangunan:

Ibu Pejabat Parti Pembangunan

Limbaruh Hijau
Simpang 323,
Jalan Jerudong Kampung Jerudong
Brunei Muara
BG3122 NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

30. Kita berazam untuk menubuhkan Cabang-Cabang di setiap Daerah, Ranting-Ranting di setiap desa dan skim-skim perumahan, dan meletakkan sasaran supaya parti dianggotai oleh sekurang-kurangnya seorang ahli dari setiap rumah menjelang Kongres pelancaran nanti. Insya Allah.

BISMILLAHI TAWAKKALTU A’LALLAH. Wallahu A’lam.

Terima Kasih. Tandatangan :

...............................................

(Haji Aminorrashid B. Haji Ghazali) Setiausaha Agung (Penaja)
Parti Pembangunan Bangsa.
Tarikh : 12 September 2005
Tel : 006738-711075

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.