LIMBARUH HIJAU 17 NOVEMBER 2007 -
ISU KUALITI DALAM PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PEKHIDMATAN AWAM di negara, minggu ini mendapat perhatian sirius dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Pada Sabtu 10 November lepas isu tersebut di sentuh oleh Baginda Sultan di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Ke-14 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa dan sekali lagi pada Kahmis 15 November di Majlis Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan Kesihatan dan Pelancaran Konvensyen Kesihatan 2007 di Pusat Persidangan Antarabangsa.Di kedua-dua majlis tersebut Baginda Sultan mengambil kesempatan bertitah mencurahkan pandangan Baginda terhadap kualiti perkhidmatan awam yang Baginda hasratkan dari jentera pentadbiran dan pengurusan yang antara lain berperanan memastikan perkhidmatan yang diberikan mudah, cepat, cekap, bersih, berkualiti tinggi dan menepati ekspektasi pengguna.
Contohnya di Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Baginda memfokuskan titah Baginda mengenai perlunya pengauditan secara terperinci dilaksanakan bagi menilai dan menyukat semula keperluan kakitangan di setiap agensi kerajaan.
"Kita perlu tahu dengan pasti jumlah kakitangan yang optima yang diperlukan," titah Baginda Sultan sambil menambah pengauditan itu juga perlu mengambil kira penilaian orang ramai yang menerima perkhidmatan daripada agensi-agensi kerajaan, pada misalnya, dengan melakukan 'Kajian Kepuasan Pelanggan'.
"Dalam makna, ukuran kecemerlangan itu hendaklah dinilai, bukan hanya dari kaca mata pihak yang memberikan perkhidmatan semata-mata, tetapi juga dari penilaian pelanggan", titah Baginda Sultan lagi.
Selain itu Baginda Sultan juga menekankan pentingnya Perkhidmatan Awam melakar strategi-strategi yang betul sebagai persiapan menghadapi cabaran-cabaran mendatang.
Mengenai dengan strategi ini, baginda percaya, semua kementerian tentu saja telah memiliki pelan-pelan strategi masing-masing sebagai langkah menuju kecemerlangan.
Namun baginda berpendapat, memiliki pelan-pelan strategi saja belumlah memadai, apa yang perlu semua lapisan pegawai dan kakitangan hendaklah memahami dan menghayati pelan tersebut, sambil serentak bergerak ke arah pencapaian tujuan.
Juga ditekankan Baginda Sultan ialah pentingnya diwujudkan persefahaman di antara kementerian-kementerian dan agensi-agensi Perkhidmatan Awam pada amnya dalam mengendalikan rancangan-rancangan masing-masing, sehingga dilihat oleh orang ramai selaku sebuah jentera kerajaan yang bersatu, yang penuh dengan keselarasan tanpa percanggahan di antara mereka.
Ini, titah baginda, akan memberikan gambaran baik, betapa mesra dan muhibahnya warga Perkhidmatan Awam dalam sebuah kerajaan kesultanan yang terunggul di dunia.
"Keunggulan dan keunikan kita bukan hanya pada sebutan di bibir, malahan juga menjadi kenyataan yang tidak dapat dinafikan lagi," titah baginda.
Baginda bertitah, Perkhidmatan Awam yang berjaya tentu saja dari kepimpinan yang baik. Tanpa kepimpinan yang demikian itu, kita tidak akan dapat memilikinya.
Ke arah itu, baginda sangat menyambut baik tema sambutan yang berbunyi: ‘Menjulang Kepimpinan Laila Kesejahteraan’.
Melalui kepimpinan yang berjaya, titah baginda, tidak syak lagi, adalah jambatan yang menyampaikan kita kepada kesejahteraan.
Baginda menekankan, Perkhidmatan Awam adalah sebuah institusi terpenting membantu kerajaan merancang dan merumuskan dasar-dasar serta peraturan-peraturan dan dalam masa yang sama, bertanggungjawab juga untuk melaksanakan hasil-hasil dari setiap perancangan itu.
"Peranan ini memanglah disedari bukan mudah. Ia memerlukan keupayaan tinggi dan kesanggupan menghadapi cabaran-cabaran. Di antara cabaran-cabaran itu ialah, pengharapan kerajaan dan rakyat untuk melihat Perkhidmatan Awam berjaya menyediakan prasarana kemudahan bagi pelanggan-pelanggannya," titah baginda.
Di sinilah titik-tolak kecemerlangan yang kita cita-citakan. Kerana itu baginda sangatlah menyambut baik hasrat untuk menjadikan Perkhidmatan Awam kita berjaya dengan cemerlang.
Kecemerlangan yang dimaksudkan, titah baginda, tentu saja meliputi semua aspek perkhidmatan. Ia mesti difahami serta dijadikan matlamat oleh semua warga Perkhidmatan Awam.
Mesej yang serupa Baginda tekankan sekali lagi ketika berkenan bercemar duli di Majlis Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan Kesihatan dan Pelancaran Konvensyen Kesihatan 2007 di Pusat Persidangan Antarabangsa pada Khamis 15 November lepas.
Di majlis tersebut Baginda Sultan bertitah menkankan bahawa pelaksanaan sesuatu projek kerajaan hendaklah dibuat bukan sahaja sekadar melalui perancangan kemas dan teliti akan tetapi melalui perlaksanaan yang efisyen dan efektif.
Baginda Sultan bertitah projek infrastruktur kesihatan yang sedang dilaksanakan melalui Rancangan Kemajuan 5 Tahun Negara bagi meningkatkan kemudahan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) adalah satu contoh projek yang mencabar kebijaksanaan semua.
"Tujuan projek adalah untuk menambah kemudahan di Hospital RIPAS tetapi apabila sudah siap kelak, mungkin lebih banyak lagi kekurangan didapati di sana," titah baginda.
Kekurangan itu mungkin disebabkan perancangan kurang kemas dan wawasan lemah, titah Baginda Sultan ketika berkenan melancarkan Majlis Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan Kesihatan dan Pelancaran Konvensyen Kesihatan 2007 di Pusat Persidangan Antarabangsa.
Dari kedua-dua titah Baginda Sultan tersebut jelas melihatkan kepada kita betapa Baginda Sultan sangat perihatin terhadap kemaslahatan rakyat dan penduduk di negara ini sebagai penerima dan pengguna setiap perkhidmatan-perkhidmatan awam yang di sediakan melalui jentera perkhidmatan awam kerajaan.
Sejumah tujuh saranan yang dibuat oleh Baginda Sultan yang perlu di berikan perhatian dan perlu tindakan segera pihak-pihak berkenaan bagi memastikan jentera perkhidmatan awam dapat dikemaskinikan dan ditingkatkan keberkesanannya.
7 saranan Baginda Sultan tersebut ialah:
1 - Perlunya pengauditan secara terperinci bagi menilai dan menyukat semula keperluan kakitangan di setiap agensi kerajaan.
2 - Perlunya (dalam pengauditan tersebut) mengambil kira penilaian orang ramai yang menerima perkhidmatan daripada agensi-agensi kerajaan, pada misalnya, dengan melakukan 'Kajian Kepuasan Pelanggan'.
3 - Perlunya Perkhidmatan Awam melakar strategi-strategi yang betul sebagai persiapan menghadapi cabaran-cabaran mendatang.
4 - Perlunya semua lapisan pegawai dan kakitangan memahami dan menghayati pelan tersebut, sambil serentak bergerak ke arah pencapaian tujuan.
5 - Perlunya diwujudkan persefahaman di antara kementerian-kementerian dan agensi-agensi Perkhidmatan Awam pada amnya dalam mengendalikan rancangan-rancangan masing-masing, sehingga dilihat oleh orang ramai selaku sebuah jentera kerajaan yang bersatu, yang penuh dengan keselarasan tanpa percanggahan di antara mereka.
6 - Perlunya kepimpinan yang berjaya sebagai jambatan yang menyampaikan rakyat dan negara kepada kesejahteraan.
7 -
Perlunya pelaksanaan sesuatu projek kerajaan dibuat bukan sahaja sekadar melalui perancangan kemas dan teliti akan tetapi melalui perlaksanaan yang efisyen dan efektif.
Pada dasarnya apa yang disarankan oleh Baginda Sultan tersebut adalah juga menjadi harapan kepada Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
Sehubungan dengan saranan-saranan Baginda Sultan tersebut NDP dalam manifesto politiknya bagi tahun 2006 hingga 2016 juga telah mengariskan antara lain perlunya memastikan Perkhidmatan Awam bertindak sebagai sebuah institusi yang dianggotai oleh para pegawai dan kakitangan Kerajaan Kebawah DYMM yang bersih, cekap, amanah, memiliki integriti dan hemah yang tinggi.
NDP melihat perlunya langkah-langkah diambil bagi mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan awam iaitu melalui inovasi dan latihan bagi mewujudkan sistem penyampaian (delivery system) yang benar-benar cekap demi pembangunan.
Untuk memastikan jentera perkhidmatan awam terpelihara dari elemen-elemen negatif yang boleh mencemarkan nama baik Perkhidmatan Awam dan juga bagi memastikan 'akauntabiliti' yang tinggi dalam Perkhidmatan Awam, NDP mencadangkan agar sebuah Tribunal Perkhidmatan Awam yang mempunyai kuasa melampaui mana-mana kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang sedia ada ditubuhkan.
Tujuannya ialah bagi mengadili kes-kes pelanggaran tatatertib yang dilakukan oleh kakitangan Perkhidmatan Awam seperti membelakangkan tugas-tugas awam, tidak bertanggungjawab, cuai, mencemarkan nama baik Perkhidmatan Awam, tidak jujur, kurang cekap, ingkar perintah dan seumpamannya.
Menyentuh isu perkhidmatan awam ini lagi, Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affabdy juga pernah mengenengahkan pandangan NDP mengenai isu yang sama semasa berucap di Majlis Persmian Kongres Agung NDP kedua pada 23 Jun 2007 lepas.
Antaranya beliau menyentuh perlunya setiap organisasi kerajaan lebih kreatif dan mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa, current practice needs change.
Beliau juga menekankan perlunya mengamat-amati best practices negara-negara jiran dan dijadikan perbandingan dan teladan sebagai salah satu usaha untuk menuju ke arah urus tadbir yang baik atau good governance.
Katanya lagi NDP juga melihat perlunya langkah-langkah kehadapan diambil untuk memodenkan lagi Perkhidmatan Awam dengan mewujudkan beberapa management tools khusus untuk menggerakkan lagi mekanisme Kerajaan.
Satu lagi program yang perlu diberikan perhatian segera menurut pandangan Ayahnda Yasin Affandy, ialah program pensejajaran
Menurutnya program ini melibatkan setiap kementerian dan jabatan supaya menyediakan perancangan strategik organisasi masing-masing.
"Ini dapat mensejajarkan atau ‘syncronise’ kesemua usaha dan tindakan setiap Kementerian dan Jabatan selaras dengan hasrat, wawasan dan aspirasi Negara".
"Dari sudut amalan bernegara yang diterima pakai umum, ini merupakan satu ‘political will’ untuk memastikan bahawa Negara ini terus berada dalam suasana aman, makmur, sejahtera, seiring dengan warga dan bangsa lain, di samping menikmati kesetabilan Negara".
Insyaallah, tambah Ayahnda Yasin Affandy, sebagai sebuah Negara yang berdaulat lagi aman, kesemuanya ini setentunya mudah dicapai jika benar-benar wujud ‘political will’ yang sedemikian rupa, di antara ‘players penting’ terdiri dari Kerajaan, swasta dan organisasi siasah, apa lagi jika ianya dijalin dengan kesefahaman dan kerjasama yang erat dan tulus ikhlas.
Menurut beliau lagi sebahagian besar rakyat masih tetap melihat dan merasakan seperti terdapat pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam sistem penyampaian Perkhidmatan Awam.
Dari perspektif siasah, keadaan seumpama ini mungkin terjadi kerana ketiadaan institusi siasah yang mewakili rakyat yang berani menegur dan mengkritik apa jua kepincangan dan kelemahan dalam konteks sekatan dan imbangan atau ‘check and balance’, katanya.