BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengenai kutipan zakat harta sehingga tempoh 31 Ogos lalu yang menunjukkan penurunan ketara.
Dalam titah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2007 Baginda Sultan menggesa pihak yang berkenaan supaya menangani masalah itu dengan mengadakan kajian yang terperinci untuk mencari punca mengapa kemerosotan atau penurunan itu berlaku.
"Adakah ini merujuk kepada penurunan ekonomi ataupun ada kaitan dengan perubahan sikap kita dalam menunaikan zakat, titah Baginda Sultan malam ini.
Jika betul ia ada kaitan dengan perubahan sikap, titah Baginda Sultan mengapakah ia berubah?
Baginda Sultan seterusnya bertitah berpendapat, tentu ada faktor yang menyebabkannya berubah sama ada faktor dalaman daripada dalam diri masyarakat sendiri ataupun faktor lain.
Adapun faktor dalaman itu, titah Baginda Sultan mungkin saja bersebab daripada keyakinan masyarakat terhadap mekanisme zakat yang belum lagi mantap, yang menjadikannya satu daripada punca hasil kutipan zakat tidak tetap atau turun naik dengan ketara.
Sebagai misalan, titah Baginda Sultan lagi, statistik pada 2006 memaparkan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat hanya mengutip $8.8 juta berbanding pada 2005 dengan kutipan sebanyak $18.9 juta.
"Ini adalah suatu penurunan yang amat ketara dan besar, titah Baginda Sultan lagi.
"Jika betul ia berpunca daripada faktor dalaman yang bernama 'keyakinan', maka kita amat bimbang ia akan berlarutan jika tidak dipedulikan."
Sehubungan itu titah Baginda Sultan pihak berkenaan seharusnya tidak hanya setakat mengemukakan fakta dan data tetapi lebih penting lagi menanganinya dengan mengadakan kajian terperinci mengapa kemerosotan atau penurunan itu berlaku.
"Ini akan memberikan kita maklumat yang berguna dan seterusnya membuka jalan ke arah mengesankan lagi cara pengendalian zakat serta sekali gus mengatasi masalah," titah Baginda Sultan.
Dalam titah perutusan Baginda Sultan juga menyarankan seluruh umat Islam supaya menyambut awal Syawal dengan penuh bersyukur serta gembira.
"Bukan senang untuk menjadi orang yang pandai bersyukur, sekalipun perkataan 'syukur' itu mudah diucapkan sebab syukur amat tinggi nilainya disisi Allah," titah Baginda Sultan.
Titah Baginda Sultan seterusnya, bersyukur wajib dilakukan oleh semua peringkat dan golongan tanpa mengira kaya ataupun miskin kerana bersyukur adalah tangga kepada kebahagiaan.
Orang kaya yang bersyukur adalah orang yang berbahagia dan tanda serta cara bersyukur itu ialah dengan menggunakan hartanya di jalan kebajikan dan antara lain yang paling dituntut ialah dengan mengeluarkan zakat.
Adapun orang yang berzakat itu telah sedia dijamin Allah akan ditambah lagi serta dipelihara hartanya, titah Baginda Sultan.
Sementara bagi orang bukan kaya pula, titah Baginda cara bersyukur ialah dengan memiliki sikap 'berpada' terhadap apa yang dikurniakan Allah kepadanya.
Dengan cara ini, orang itu akan menjadi orang yang paling bersyukur dan sekali gus paling berbahagia.
Jadi, ternyata yang penting ialah sikap kita dan sikaplah yang menentukan kebahagiaan atau kesengsaraan seseorang itu, titah Baginda Sultan. |