| |
 |
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini bertitah mengenai pentingnya kepaduan guru dan penuntut dalam melahirkan generasi bangsa.
Baginda Sultan bertitah guru mempunyai kedudukannya tersendiri sebagai tenaga manusia dalam perkhidmatan pendidikan dan pelajar pula adalah anak didik yang sama-sama menjadi penjana kemajuan masa depan.
Keadaan masa depan tidak dapat diramalkan dan adalah perlu semua orang bergerak ke arah kemajuan supaya dapat mencapai taraf hidup lebih tinggi daripada yang sedang dinikmati, titah Baginda Sultan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Pusat Persidangan Antarabangsa hari ini.
Yang turut berangkat pada majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan anggota-anggota kerabat diraja.
Usaha orang tua-tua yang memberikan pelajaran, titah Baginda Sultan, telah melahirkan generasi muda yang terpelajar dan dengan berkat pelajaran itu bangsa dan negara dapat menikmati kemajuan.
Kunci kejayaan itu ialah usaha dan azam yang pada hari ini rakyat dan penduduk Brunei harus berasa bangga apabila di kalangan rakyat Brunei, terdapat mereka yang berjaya menerima ijazah kedoktoran dan ada yang memegang jawatan tinggi, profesional dan kepakaran dalam teknologi tinggi seperti di bidang industri minyak dan gas.
Akan tetapi semua kejayaan yang dicapai, tidak akan diperoleh tanpa memberikan pelajar dan murid kemudahan pelajaran yang kemudiannya disusuli dengan perancangan atau skim tertentu dengan memberikan peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi," titah baginda.
Sehubungan itu, Baginda Sultan menyeru supaya semua orang harus lebih yakin dan optimistik dalam merancang masa depan bangsa menerusi generasi pelajar hari ini. Baginda Sultan bertitah, dunia dan manusia akan terus menyaksikan kemajuan ilmu pengetahuan kerana kecemerlangan sesuatu bangsa itu akan ditentukan sejauh mana mereka menguasai ilmu dan kemahiran.
Baginda Sultan bertitah menegaskan bangsa yang maju ialah bangsa yang dapat mengekalkan jati dirinya kerana bangsa yang mempunyai jati diri akan dihargai dan dihormati semua orang.
"Sehubungan itu, kita sebagai bangsa yang memang sedia mempunyai jati diri hendaklah tidak mengabaikan aspek-aspek jati diri kita sebaliknya hendaklah bersikap memelihara, sambil memperelok jati diri kita yang ada, bukan dengan sewenang-wenang mengubahnya dengan alasan menyesuaikannya dengan zaman," titah Baginda Sultan.
Jati diri, titah Baginda Sultan, harus sentiasa nampak, dipakai dan dihayati kerana jati diri tidak boleh dicampur-adukkan dengan perkara yang sia-sia serta bercanggah dengan pegangan dan adat resam bangsa Brunei.
Baginda Sultan bertitah menegaskan: "Mencampuradukkan itu adalah satu kerja yang mudah dan boleh terjadi melalui pelbagai cara dan saluran seperti menerusi saluran hiburan dalam upacara-upacara perayaan dan seumpamanya."
"Kadang-kadang kita sampai hilang punca sehingga melupakan jati diri sendiri, seperti tidak menghiraukan lagi batasan agama serta membuat perkara yang boleh dilihat sebagai melampaui adab sopan beraja dan berbangsa, padahal jati diri orang Brunei adalah penuh dengan Awar Galat serta perbuatan Suruk Langkah juga menjadi ukuran penting dalam pergaulan," titah baginda.
Bagi memastikan jati diri bangsa Brunei terus kekal memerlukan pendidik dan pemimpin yang juga mempunyai jati diri, Baginda Sultan bertitah supaya guru dan pihak terbabit mengambil berat dan bergerak menghalang unsur-unsur yang tidak sesuai dengan jati diri bangsa daripada meresap dan mencemar budaya bangsa Brunei. (Media Permata) |
|