|
|
Sdra Morshidi merasmikan Kongres pertama Himpunan Pemuda, Wanita dan Non Muslim
|
BANDAR SERIBEGAWAN 29 HB APRIL 2006: kita mesti menjadikan NDP sebagai organisasi yang action oriented , yang berkeupayaan dan berdaya tinggi untuk mengetengahkan segala permasalahan mereka, agar mereka-mereka yang diamanahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka dapat memberikannya perhatian yang sewajarnya, sebagai mana jua yang dinilai dimahukan oleh Baginda.
Perkara ni ditekankan oleh Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dalam ucapan beliau diperasmian Kongres pertama Himpunan Pemuda, Wanita Dan Non Muslim pagi ini yang berlangsung di Dewan Utama Bangunan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) di ibu kota.
“Harapan dan jangkaan rakyat yang tinggi tidak mampu untuk kita sekat dan bendung. Sebagai sebuah organisasi politik yang berjuang untuk rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, kita mestilah berusaha untuk membantu mereka bagi mencapai harapan dan jangkaan mereka itu”.
“Ini tidak boleh dibuat dengan kata-kata, tetapi hendaklah dizahirkan dengan tindakan. Jadinya, kita mesti menjadikan NDP sebagai organisasi yang action oriented , yang berkeupayaan dan berdaya tinggi untuk mengetengahkan segala permasalahan mereka, agar mereka-mereka yang diamanahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka dapat memberikannya perhatian yang sewajarnya, sebagai mana jua yang dinilai dimahukan oleh Baginda”, tegas sdra Mahmud Morsidi Othman.
Katana kita mesti menjadikan diri kita pada setiap masa sebagai ahli NDP yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan.
“Kita mesti menjadikan diri kita sebagai ahli NDP yang rajin dan kuat bekerja. Kita mesti menjadikan diri kita sebagai ahli NDP yang pada setiap masa siap siaga untuk turun ke padang berbasah berkering bersama rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Kita mesti menjadikan diri kita sebagai ahli NDP yang pada setiap masa siap siaga berada di barisan hadapan untuk sentiasa bersama Sultan kita yang tercinta”, seru sdra Morshidi.
Tambahya pada setiap saat, ahli NDP hendaklah siap siaga menunggu panggilan ibu pertiwi untuk berada di barisan hadapan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Sultan, bangsa dan negara.
“Di peringkat parti, kita meletak harapan dan jangkaan yang tinggi kepada pemuda dan wanita. Kita mahu pemuda dan wanita membawa parti ke tahap yang disegani dan disenangi rakyat. Kita mahu pemuda dan wanita NDP tersohor kerana tindakan-tindakan yang berhemah dan bijaksana, bukan sekadar petah berbicara lunak berbahasa”, kata sdra Morshidi.
Ini, tambahnya, bermakna pemuda dan wanita perlu memikul dua bebanan serentak, iaitu menanai harapan dan jangkaan pimpinan parti dan dalam pada masa yang sama menanai harapan dan jangkaan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang menggunung. Bagi memenuhi harapan dan jangkaan yang tinggi itu, barisan pemuda dan wanita perlulah berganding bahu dengan saf pimpinan di peringkat pusat. Setiap dari kita mestilah bersedia menjadi team player , bekerja sebagai satu team , dan bertindak sebagai satu team , tambahnya.
“Kalau kita kembali kepada tamsilan sayap, kita lihat burung terbang dengan penuh perimbangan justeru kerana kekuatan kedua-dua sayapnya adalah sama. Daya serta rentak kibasannya juga sama. Dalam kata-kata yang ringkas, kedua-dua sayap itu digerakkan dengan penuh bertenaga, harmonis dan concerted .”
“Jadi pemuda dan wanita juga perlu mengambil iktibar darinya. Kita tidak mahu salah satu sayap yang patah kerana parti kita tidak punyai masa untuk membawa slogan “patah sayap terbang jua”. Kita juga tidak mahu kedua-dua sayap yang patah kerana kita tidak mahu bergerak dengan hanya “bertongkat paruh” sahaja. Mana mungkin kita mampu membawa dan mengetengahkan harapan dan jangkaan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia kalau begitu keadaannya”, katanya lagi.
|