LIMBARUH HIJAU 28 JUN 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANAGSA (NDP) menyarankan agar pihak kerajaan memberikan keutamaan kepada pegawai dan kakitangan agensi pertahanan dan keselamatan di negara ini dalam perlaksanaan projek perumahan rakyat.
"Melihat kepada keazaman Kerajaan untuk menyegerakan pembinaan perumahan bersekala besar untuk keperluan rakyat, maka kita ingin mencadangkan supaya pasukan-pasukan keselamatan terdiri dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Polis, Bomba dan Penyelamat, Keselamatan Dalam Negeri dan Biro Anti Narkotik diberikan kuota perumahan untuk membolehkan anggota-anggota pasukan berkenaan memiliki rumah sebaik mereka memasuki pasukan berkenaan", saran Presiden NDP dalam teks ucapan dasar Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4 yang dibacakan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman di majlis perasmian kongres pada 19 Jun baru lalu.
"Perbendaharaan bolehlah menyediakan pinjaman perumahan kepada mereka sebaik sahaja mereka disahkan dalam jawatan masing-masing", tegas Presiden NDP.
Katanya dengan memiliki rumah sendiri di permulaan kerjaya mereka itu, mereka tidak akan dibebani lagi oleh hutang perumahan atau masalah tidak memiliki rumah di akhir dan selepas persaraan mereka.
"Kerajaan juga tidak perlu berbelanja besar bagi menampung sewa rumah sepanjang mereka bertugas", tambah Presiden NDP.
Menurut beliau skim ini secara langsung membawa maksud betapa kerjaya mereka yang penuh berbahaya dan mencabar itu seperti dihargai dengan mempastikan kehidupan mereka selesa dan terbela walaupun selepas mereka bersara.
"Skim ini juga tidak syak lagi akan menggalakkan warga muda kita untuk menceburi kerjaya sebagai anggota pasukan keselamatan. Jika perancangan ini berjaya, sudah tentu ianya boleh dilaratkan kepada sektor-sektor awam dan swasta yang lain", kata Presiden NDP.