LIMBARUH HIJAU 22 JUN 2009 - BARISAN kepimpinan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang baru perlu melakukan 'mind transplant' dalam berhadapan dengan iklim pembaharuan politik yang mencabar di negara ini
"Barisan kepimpinan baru NDP hendaklah sentiasa insaf bahawa realiti dan status perkembangan politik di dalam negara kita ibarat perjalanan seorang pengambara yang kehausan di padang pasir yang gersang".
"Ia mengejar fata morgana yang disangkanya air. Kalau tadi dia hanya kehausan kini ditimpa pula dengan keletihan. Justeru, mampukah NDP terus bertahan dalam persekitaran yang meletihkan seumpama itu?', jelas Presiden NDP dalam teks ucapan dasar yang dibacakan oleh Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman, di majlis perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4.
"Insyallah, saya yakin kita boleh!" tegas Presiden sambil menambah "malah kita akan melangkah dengan langkauan yang jauh ke hadapan andainya para pemimpin parti di semua peringkat bersedia melakukan mind transplant untuk berubah in toto".
Ke arah itu, katanya, pemikiran dan pendekatan kita dalam semua hal hendaklah berasaskan kepada prinsip bijaksana, mengutamakan kerjasama, musyuwarah, mempermudahkan segala urusan, cintakan ilmu, pendekatan berhikmah dan berhemah, membela kebenaran dengan berani, dan bertindak bersandarkan pengetahuan dan integriti.
"Untuk mendukung dan menjayakan prinsip-prinsip transformasi minda yang dimaksudkan, para pemimpin hendaklah mempunyai beberapa kualiti kepimpinan tersendiri".
Ibnu Khaldun, jelas Presiden NDP, menggariskan antara sifat-sifat kepimpinan yang diperlukan oleh sesebuah organisasi ialah seseorang pemimpin itu mestilah tegas dalam kebenaran, cekap bertindak dengan rasional, menghormati dan dihormati, hebat, berkebajikan dan menghargai bantuan dan sumbangan orang bawahan.
"Seorang pemimpin juga hendaklah mempunyai kelebihan untuk menjadi pendorong dan pembimbing, adil serta saksama dan berpegang kepada amalan syura atau musyuwarah", tegasnya lagi.
Menurut pandangan beliau, para pemimpin yang cintakan parti pasti akan terdorong untuk mentransformasi gaya kepimpinan diri dan organisasi kepada yang lebih baik.
"Ini berdasarkan premis bahawa kalau kita tidak melakukan perubahan pembaharuan in toto atau mentransformasi gaya bawaan kepimpinan kita, nescaya organisasi kita akan berkubur!"
"Ini bermakna melakukan transformasi bukanlah suatu yang optional tetapi sesuatu kemestian", tegas Presiden lagi.
Ke arah itu, tambah Presiden, transformasi hanya boleh berlaku dan berdaya maju apabila pimpinan dapat mencipta wawasan luar biasa dengan matlamat untuk mewujudkan masa depan yang baru dan lebih maju melalui pendekatan yang baru.
PRA SYARAT TRANSFORMASI
Menurut pandangan beliau lagi ada dua syarat penting yang perlu ada sebelum melakukan transformasi tersebut iaitu kKesedaran dan hasrat.
"Kedua-dua syarat penting ini mesti ada untuk melakukan sebarang bentuk transformasi.
"Sekiranya para ahli NDP mempunyai kesedaran untuk melonjakkan parti ke arah memenuhi harapan baru, tetapi dalam masa yang sama tidak pula berhasrat untuk melakukan perubahan yang luar biasa dengan mentransformasi gaya dan bawaan lama kepada yang baru, maka natijah yang diharapkan hampir pasti tidak akan berlaku. Semua bentuk transformasi mesti bermula dengan kesedaran dan dituruti dengan hasrat".
Dalam konteks yang lebih luas, tekannya, transformasi politik itu hanya boleh berlaku sekiranya rakyat seluruhnya mempunyai kesedaran politik dan keinginan yang tinggi untuk turut membangun negara bersama-sama pembangunan politik, bukannya sekadar berpolitik untuk suka-suka atau cuba-cuba.
Sementara itu, jelas Presiden, pemerintah sendiri hendaklah mempunyai hasrat yang sungguh-sungguh untuk membawa perubahan yang pantas tanpa membelakangkan hasrat dan keinginan rakyat untuk menyertai proses pembaharuan dan transformasi politik itu.
Menurut beliau dalam konteks pembangunan politik di negara kita, masalah di hadapan kita kini ialah seolah-olah rakyat seperti tidak mahu ambil peduli terhadap pembangunan politik dan menolak idea baru ke arah perubahan walhal ia amat perlu dilakukan.
"Kita pastinya tidak boleh meletakkan beban kesalahan tersebut kepada Kebawah DYMM Sultan Dan Yang Di-Pertuan. Malah, sebaliknya kita sewajarnya menjunjung kasih kepada Baginda".
"Kebawah DYMM telah membuka ruang dan wadah kepada rakyat untuk berpatisipasi serta memacu transformasi politik melalui pindaan perlembagaan 2004 dan pengwujudan semula Majlis Mesyuarat Negara. Pada tahun berikutnya Kebawah DYMM telah berkenan pula meluluskan pendaftaran Parti Pembangunan Bangsa (NDP) iaitu pada 31 Ogos 2005".
"Ketiga-tiga pembaharuan yang dibuat oleh Kebawah DYMM mempunyai unsur-unsur transformasi kerana perubahan-perubahan tersebut telah mewujudkan bentuk, struktur dan peranan rakyat yang serba-baru. Tetapi sayangnya, rakyat terhalang untuk mendakap dan menikmati unsur-unsur transformasi tersebut".
Meskipun Kebawah DYMM, kata Presiden, telah membuka tiga pintu ke arah transformasi yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat, akan tetapi birokrasi dan pentadbiran dalam pemerintahan negara telah gagal merintis dan menyediakan laluan-laluan kepada rakyat untuk melalui pintu-pintu tersebut.
"Malah, golongan apparatchik dalam birokrasi dan pentadbiran sebaliknya cuba menyempitkan laluan rakyat ke arah transformasi tersebut. Dalam masa yang sama, mereka bertindak sebagai ‘pengawal keselamatan’ yang menghalang keberangkatan rakyat untuk melalui pintu-pintu transformasi yang telah dibuka oleh Kebawah DYMM".
"Justeru, kita dapati setelah lima tahun pintu transformasi telah dibuka, realitinya rakyat belum pernah melepasi pintu-pintu tersebut. Transformasi politik itu hanya akan berjaya apablia ia dipikul dan digalas oleh semua individu sebagai tanggungjawab untuk mencipta masa depan yang lebih terjamin demi kepentingan negara".
APPARATCHIK
"Dari sudut yang lain, mengapakah kelesuan yang dimaksudkan itu boleh berlaku? Sepanjang pengalaman kita berparti selama hampir empat tahun kini, sesetengah kumpulan apparatchik dirasai berperanan secara langsung dan tidak langsung menumpulkan minat rakyat untuk aktif berpartisipasi di dalam gerakan parti politik".
Menurut Presiden lagi, berbagai jenis larangan dan kekangan yang tidak munasabah, malah setengah larangan berbaur ugutan yang dialas dengan frasa kerana ancaman keselamatan dan ketenteraman awam digunakan untuk mengekang kegiatan-kegiatan parti politik sehingga menimbulkan rasa “fobia politik” dan “paranoid politik” di kalangan rakyat.
"Siapakah mereka yang tergolong sebagai ‘apparatchik’ yang dimaksudkan di sini?"
Apparatchik, menurut pandangan Presiden, dapat ditakrifkan sebagai golongan penguasa dan pentadbir yang menyebabkan berlakunya karenah birokrasi sehingga menjejaskan kemajuan dan integriti pada organisasi yang mereka berada di dalamnya.
"Dalam konteks lain istilah tersebut juga merujuk kepada individu-individu yang mendapat kedudukan dan jawatan penting, dan mereka turut menentukan keputusan-keputusan penting walhal mereka bukanlah ahlinya".
Presiden seterusnya menekankan bahawa bukanlah matlamat pembaharuan dan transformasi politik yang disebutkan ini membawa makna untuk menjejaskan kedudukan dan kuasa mana-mana golongan.
"Akan tetapi matlamat kita ialah untuk mengajak mereka yang mempunyai pengaruh besar di dalam pembuatan keputusan yang menyangkut kepentingan negara ini turut mengambil kira suara dan pandangan rakyat jelata, yang diwakili bukan hanya oleh institusi ketua kampung tetapi juga diwakili oleh parti politik".
"Bersamalah kita meluncur maju ke hadapan dengan ketangkasan dan semangat setiakawan dan berpasukan demi menyokong dan mendukung Kebawah DYMM kerana Allah SWT jua", seru Presiden dalam ucapan dasar tersebut.