LIMBARUH HIJAU 15 JUN 2009 - Kongres Agung tahunan parti merupakan pelantar bagi menyuarakan sokongan dasar yang baik dan menegur sebarang kepincangan serta membaharui ikrar setia kepada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan, negara dan bangsa.
Kearah itu, seluruh warga parti perlu melaksanakan peranan ini dengan penuh tanggunjawab dan amanah.
Selain itu semua ahli dan barisan kepimpinan perlu ada kesefahaman dan salin bantu membantu dalam usaha menterjemahkan matlamat visi, misi dan objektif utama partai ini.
Pandangan ini diketengahkan oleh Hajah Saemah Kefli, Ketua Himpunan Wanita dalam ucapan beliau di majlis perasmian Himpunan Tahunan Non-Muslim, Pemuda dan Wanita yang nerlangsuing pada 13 Jun baru lalu di Halim Plaza Tutong.
"Saudara saudari seperjuangan sekelian tidak perlu merendahkan diri hanya kerana menganggap diri tidak mempunyai jawatan dalam parti, kerana kita semua sebagai Rakyat KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan melalui pelantar aspirasi rakyat ini, adalah berperanan dan bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di Negara Brunei Darussalam serta terhadap bangsa dan agama di dalamnya"
"Sanggupkah biskita menjadi pahlawan negara yang hanya berpeluk tubuh, membisukan diri, memekakkan telinga dan membutakan mata melihat anak bangsa kita hidup tidak mempunyai kemakmuran di dalam sebuah negara yang kita cintai ini mungkin bukan berlaku hari ini siapalah tau di suatu hari nanti", ujar Hajah Saemah Kefli.
Maka dari itu ayuhlah, seru beliau marilah kita sama-sama menanamkan sikap berganding bahu, sayang menyayangi, kasih mengasihi, cinta menyintai sebagai ahli keluarga dalam sebuah parti politik yang terunggul di negara yang kita cintai ini, supaya partai kita ini semakin tampil berintegiriti, berwibawa dan disegani serta digalati.
Katanya perkara tentang kepimpinan ini dihasratkan bukanlah hanya akan dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin dalam parti, tetapi juga diharapkan dilaksanakan bersama oleh barisan kepimpinan pihak-pihak berkenaan dalam negara.
"Pemimpin-pemimpin negara mempunyai tugas yang sangat berat antaranya ialah menyediakan kemudahan rakyat, menyebarkan dakwah ke serantau dunia untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan hukum Allah kerana ia adalah kewajiban yang tidak boleh dilakukan oleh rakyat biasa yang tidak ada kuasa".
"Mereka diamanahkan untuk mentadbir kekayaan bumi Allah ini dengan baik agar dapat disalurkan kepada mereka yang berhak mendapatkannya tanpa membezakan fahaman", tekan Hajah Saemah.
menyentuh perkembangan NDP, sdri Hajah Saemah menegaskan sejak tertubuhnya NDP di persada arena politik negara ini, beberapa isu penting untuk keharmonian bangsa yang diangkat oleh parti ini, Alhamdulillah telah banyak juga yang sudah di sambut untuk dilaksanakan oleh pihak Kerajaan hari ini.
"Dalam kesempatan ini Parti Pembangunan Bangsa terutama sekali Himpunan Wanita (HAWA) sukacita mengalu-alukan langkah baik Kerajaan untuk menghapuskan amalan yang menghendaki pekerja-pekerja wanita diberhentikan perkhidmatan tetap setelah berkahwin dan di ambil berkhidmat semula secara Month to Month yang dinyatakan melalui surat keliling Jabatan Perdana Menteri Bilangan 2/2009 bertarikh 22 Safar 1430 bersamaan Februari 2009".
"Dalam surat keliling tersebut dinyatakan bahawa dengan perkenan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam, amalan yang menghendaki pekerja-pekerja wanita diberhentikan daripada perkhidmatan tetap setelah berkahwin dan di ambil berkhidmat semula secara sebulan ke sebulan ditiadakan".
"Sementara itu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Awang Haji Ibrahim bin Haji Hassan di sesi Taklimat mengenai Surat Keliling iaitu ‘Peniaadaan Perkhidmatan Sebulan Ke Sebulan bagi kakitangan wanita yang berkahwin di adakan April lalu, menyatakan Dengan Perubahan Tersebut bererti pegawai dan kakitangan perempuan yang berkahwin akan diubah ke dalam perkhidmatan secara tetap dan akan menerima kemudahan serta keistimewaan yang sebelumnya hanya diterima oleh pegawai kakitangan yang dalam Perkhidmatan Tetap", jelas sadri Hajah Saemah Kefli.
"Alhamdulillah Hawa NDP dalam kesempatan di hari yang bersejarah himpunan agung tahunan kita hari ini menyembahkan ribuan terima kaseh kehadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan atas perkenan Baginda menghapuskan amalan yang sebelum ini jelas mendiskriminasikan pekerja-pekerja wanita di negara ini".
"Dan NDP melihat langkah tersebut adalah sambutan baik pihak Kerajaan ke atas Usul Parti yang bertajuk Memertabatkan Kaum Wanita dibentangkan pada Kongres Agung tahun lalu yang antara lain mengusulkan bahawa adalah dirasakan perlu hak-hak wanita yang sudah berkahwin berstatus tidak berpendapatan tetap dan wanita yang tidak berijazah yang kini diberikan taraf gaji “Month To Month” dipulihkan semula hak-hak mereka sepertimana yang pernah diberikan kepada pegawai dan kakitangan awam wanita pada tahun 60an", tambah beliau.
Selain daripada itu, tambahnya lagi, biarpun mungkin bukan satu sokongan besar tetapi sebagai anggota wanita NDP yang menyedari perlu juga turut rasa berbangga kerana sejak usul memertabatkan wanita di negara ini kita angkat pada kongres ketiga tahun lalu kita telah sama-sama mengenali di kalangan wanita-wanita yang perlu di banggakan telah diangkat melalui satu Majlis terbesar di selanggarakan oleh beberapa buah badan organisasi dengan kelulusan dan sokongan Kerajaan jua.
Menurut beliau majlis yang ditekankan oleh pihak media sebagai “Ther First Ever Gathering of Brunei’s Working Women in Government and Private Sector as Well as top Local Women Enterpreneurs” telah dianjurkan hanya selepas beberapa bulan usul memertabatkan wanita kita angkat pada Kongres Agung ketiga.
"Dalam majlis itu seramai lapan pemimpin wanita pertama di negara kita telah diketengahkan dalam barisan yang megah di atas pentas seterusnya menerima anugerah daripda pihak penganjur, dan NDP terutama Hawa melihat ianya sebagai satu kesedaran baru terhadap perkara memertabatkan wanita di negara ini sejak kita merdeka selama lebih 20 tahun. Walaupun NDP khususnya HAWA rasa agak terkilan sedikit kerana tidak menerima undangan untuk sama-sama menyertai majlis itu tetapi kita tetap rasa bersyukur akhirnya perjuangan kita di makbulkan Allah SWT".
Dan ini lah sebenarnya tuntutan perjuangan kita dalam parti bukannya untuk bertindak sebagai pejuang oportunis, ataupun hanya mencari nama, tetapi berjuang demi kepentingan negara, bangsa dan agama!!!, tambah beliau.
Bukan itu saja malahan banyak lagi termasuklah usul-usul mengenai kemiskinan, perumahan, sekuriti permakanan, serta pendekatan parti mengenai isu-isu semasa termasuklah kefahaman rakyat terhadap konsep Negara Melayu Islam Beraja dan hasrat Baginda Sultan untuk menjadikan Negara ini sebagai sebuah negara Zikir, bukan saja menjadi penekanan utama dalam setiap ucapan-ucapan pucuk pimpinan parti ini malahan ianya sudah terhidang dalam manifesto NDP.
"Saya rasa saudara saudari sekalian sendiri juga menyedarinya, betapa kini ketara sekali peningkatan usaha pihak Kerajaan ke arah menyediakan kemudahan rakyat, jika dulu pembinaan rumah kos rendah yang disediakan Kerajaan hanya kira-kira 100 buah setahun, kini sudah meningkat sehingga sejumlah 4,000 buah rumah dalam masa empat tahun perlu disiapkan bagi menampung kehendak rakyat yang sudah seperti ombak bertindih-tindih yang menantikan penyerahan rumah yang mereka pohonkan kadang-kadang mencecah sehingga berbelas-belas tahun, memohon seusia anak empat tahun dan anaknya itu berusia 14 tahun baru mendapatkan rumah, itulah antara contoh apa yang pernah berlaku sebelumnya dalam isu masalah perumahan negara".
"Begitu juga dengan isu sekuriti makanan, yang sentiasa menjadi antara agenda utama NDP dalam perjalanannya dalam menyokong dan membantu apa jua usaha KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda untuk berkekalan menjadi sebuah negara Melayu, Islam Beraja, serta berkekalan makmur dan sentiasa mendapat keampunan Allah dan isu sekuriti permakanan merupakan antara faktor penting NDP ke arah merealisasikan wawasan itu".
Alhamdulillah, kata sdri Hajah Saemah, kini kelihatan meriah sekali di sawah-sawah bendang seluruh negara yang dihijaui oleh padi Beras Laila yang tumbuh rendah dan prestasi hasilnya yang dijangka akan memuaskan, dan kita sebagai rakyat negara ini merasa terharu tetapi dalam masa yang sama rasa berbangga mempunyai seorang pemimpin tampuk negara seperti KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa perihatin akan kemakmuran dan kemudahan rakyat baginda, kerana penglibatan baginda mencetuskan ‘momentum’ daya hebat kepada usaha melaksanakan program-program memantapkan lagi dasar sekuriti permakanan untuk rakyat baginda sehingga berkenannya baginda pada 27hb April lalu turun ke bendang sawah padi di kawasan penanaman padi Wasan bersama ananda Baginda untuk menekankan hasrat murni baginda demi melihat penanaman padi dimajukan segera.
"Begitulah serba sedikit imbasan-imbasan rengkas dihasratkan sebagai penyuntik semangat kepada saudara saudari seperjuangan sekelian yang kita difahami masih ada lagi sesetengah di kalangan kita mempunyai perasaan waswas dalam peranan menyokong NDP", tegas sdri Hajah Saemah.
Bagaimanapun, katanya lagi, apa yang masih kita perjuangkan dan akan terus usulkan melalui parti ini ialah supaya kurnia sara hidup daripada KDYMM Baginda Sultan yang diberikan kepada pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan Kerajaan supaya dilaratkan untuk diberikan kepada semua pekerja-pekerja sektor swasta terutama yang berpendapatan rendah atau bergaji hari.
"Mudah-mudahan dengan kurnia sara hidup itu sedikit sebanyak dapat membantu menambahkan pendapatan mereka terutama yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai, dan mengusulkan supaya kurnia sara hidup itu juga turut diberikan kepada rakyat yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan di samping menerima bantuan daripada jabatan-jabatan pembangunan masyarakat ataupun baitul mal", tegas sdri Hajah Saemah.