LIMBARUH HIJAU 30 JUN 2009 - ISU keselamatan permakanan bukan merupakan isu baru di negara ini. Apa yang baru ialah ianya sudah diangkat menjadi agenda nasional teratas yang baru diberikan penumpuan perhatian yang sangat serious oleh pihak-pihak berkenaan.
Itu pun setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam merakamkan kekesalan dan menegur pihak-pihak berkenaan mengenainya.
Perkara ini disentuh Presiden NDP dalam teks ucapan dasar di Majlis Perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4 pada 19 Jun 2009 bertempat di ICC Berakas. Teks ucapan beliau dibacakan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Mantan Timbalan Presiden NDP.
Kata Presiden, "Sempena dengan Hari Keputeraan Baginda yang ke-62 tahun pada 15 Julai 2008, Kebawah DYMM telah menitahkan supaya digubal:
“…pelan strategi dan dasar pertanian negara yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan negara (national food security) sebagai salah satu strategi utamanya.”
Gesaan ini dibuat kerana Baginda begitu sedar yang negara kita begitu bergantung pada bekalan makanan, khususnya beras, dari negara luar. Ini berdasarkan fakta bahawa sehingga tahun 2008, Brunei hanya menghasilkan sebanyak 3.12 peratus dari keperluan beras negara", ujar Presiden NDP.
Katanya lagi walaupun statistik ini menunjukkan tahap pergantungan yang begitu tinggi, akan tetapi langkah-langkah yang diambil oleh agensi yang berkenaan adalah begitu lembap.
Oleh sebab itulah, tambah Presiden NDP, dalam titah yang sama Baginda menegaskan:
“Pada ingatan Beta, perkara ini telahpun berulang kali Beta timbulkan sejak dari beberapa tahun lagi.”
Dari sudut pandangan Presiden NDP dalam budaya “bak pahat dengan penukul”, transformasi sukar sekali untuk berlaku.
"Bagaimanapun, dengan ‘hentakan’ titah yang begitu tajam, satu transformasi yang ketara akhirnya berlaku apabila Kebawah DYMM berkenan melancarkan projek Padi Ke Arah Mencapai Sara Diri Pengeluaran Beras Negara pada April baru-baru ini", ujar Presiden NDP.
Di bawah projek ini, tegas Presiden NDP, dijangka keluaran beras negara akan meningkat kepada 20 peratus sara diri iaitu kira-kira 6,000 metrik tan setahun menjelang tahun 2010. Dalam tempoh yang sama, keluasan kawasan penanaman padi akan ditingkatkan dari 1,300 hektar kepada hampir 4,500 hektar untuk mencapai sasaran tersebut.
"Pada tahun 2015, negara dijangka mencapai kadar sara diri 60 peratus dengan pengeluaran padi sebanyak 18,000 metrik tan setahun dengan keluasan kawasan penanaman padi meningkat kepada hampir 10,000 hektar".
"Semua sasaran yang diunjurkan itu dijangka boleh dicapai melalui pengenalan benih padi baru iaitu ‘Beras Laila’ yang berkemampuan menghasilkan sekitar 3 metrik tan sehektar dan boleh ditanam dua kali setahun kerana tempoh matangnya yang pendek iaitu 105-110 hari sahaja".
STOCKPILING (SIMPANAN BEKALAN)
Walau bagaimanapun, Presiden NDP berpandangan dalam konteks keselamatan permakanan ini, NDP ingin mencadangkan kepada pihak berkenaan agar menyediakan stok makanan ruji atau stockpiling makanan asas dalam negeri secukupnya untuk keperluan rakyat selama tiga tahun. Pihak berkenaan bolehlah mendapatkan khidmat nasihat pakar mengenai kaedah penyimpanan selamat.
"Di samping itu kerajaan juga boleh menyediakan pelan pembangunan industri berasaskan makanan ruji ini seperti kuih muih, rice paper dan seumpamannya sebagai kegiatan hiliran".
"NDP berpandangan, mempunyai ladang dan sawah atau gudang stockpiling di luar negara atau kontrak jual beli makanan asas seperti beras adalah masih kurang selamat dan belum menepati konsep dan keperluan keselamatan permakanan dalam negeri. Justeru, kita hendaklah mempunyai stockpile dalam negeri sendiri seperti yang disebutkan tadi", tegas Presiden NDP.