LIMBARUH HIJAU 25 JUN 2009 - KEBAWAH Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan jelas mahu isu kemiskinan di negara ini dapat diselesaikan dengan segera dan baginda melihat strategi terbaik dalam menangani isu ini ialah melalui pendekatan Islam.
Pandangan ini ketengahkan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dalam teks ucapan dasar yang dibacakan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Mantan Timbalan Presiden NDP di majlis perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-4 pada 19 Jun 2009 di Pusat Presidangan Antarabangsa (ICC) Berakas.
"Menyentuh mengenai soal kemiskinan, Presiden NDP memetik titah Kebawah DYMM sempena Persidangan Majlis Ugama Islam pada 16 Muharram 1430 bersamaan 13hb Januari 2009:
“…..alangkah bahagianya kita, jika dapat mengisytiharkan negara ini bebas dari kemiskinan, walaupun untuk sehari, sebagaimana ini pernah beta sebut ketika Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-4 Majlis Mesyuarat Negara pada Mac 2008 yang lalu. Beta telah menyebut tentang matlamat wawasan untuk menjadikan kadar kemiskinan di negara ini ke tahap sifar.”
Menurut Presiden ada dua persoalan penting yang seharusnya menarik perhatian kita.
"Pertama, ialah iltizam Kebawah DYMM untuk mencapai matlamat kemiskinan sifar di negara ini".
"Sebenarnya sepanjang kewujudan NDP, kita tidak putus-putus membincangkan soal kemiskinan atas kepercayaan bahawa adalah tidak wajar dalam negara kita ini wujudnya segolongan rakyat yang miskin dalam bilangan yang agak besar".
Kata Presiden, jika dilihat daripada jumlah per kapita sebanyak BND 43,000, iaitu di antara yang tertinggi di dunia, kemiskinan tidak sepatutnya menjadi satu isu di negara ini. Tetapi dari segi realitinya, inilah yang berlaku.
"NDP juga sejak dari awal lagi menyeru supaya dilaksanakan dasar-dasar dan program bagi memungkinkan negara ini mencapai matlamat kemiskinan sifar".
Hal ini, tegasnya, dinyatakan dengan jelas dan terperinci di dalam Manifesto NDP 2006-2016. Dalam erti kata yang lain, NDP mencadangkan supaya matlamat kemiskinan sifar itu dicapai selewat-lewatnya pada tahun 2016.
"Saya percaya matlamat ini boleh dicapai melalui Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007-2017 yang merupakan pendekatan baru dalam perancangan pembangunan negara".
Walau bagaimanapun, tambah Presiden lagi, matlamat murni ini hanya boleh dicapai dalam tempoh yang munasabah andainya kita mengambil langkah-langkah yang mampu mencetuskan kesedaran dan hasarat ke arah kemiskinan sifar tersebut.
Menurutnya, aspek kedua yang kita perlu perhatikan ialah bagaimana Kebawah DYMM mengaitkan soal matlamat kemiskinan sifar dengan sistem zakat. Kita rasa inilah pertama kalinya pandangan yang begitu dinamik dikemukakan untuk menggunakan pendekatan zakat, iaitu satu sistem sosial Islam, untuk mengatasi masalah kemiskinan menyeluruh.
"Adalah diharapkan pihak-pihak yang berkenaan akan dapat mengemukakan pendekatan-pendekatan strategik yang dinamik untuk memfokuskan dan mensasarkan pendekatan konsep zakat sebagai kaedah untuk mencapai matlamat kemiskinan sifar', tambah Presiden NDP..
KONSEP CUKAI HARTA (KHARAJ)
"Apabila Kebawah DYMM membayangkan hasrat Baginda untuk melihat Brunei mencapai kemiskinan sifar, tentu Baginda juga menyedari bahawa di kalangan golongan fakir dan miskin itu terdapat juga orang-orang bukan Islam. Jadi apakah hubung kaitnya golongan bukan Islam dengan titah Baginda pada Persidangan Majlis Ugama Islam itu?"
Pada pandangan NDP, tambah Presiden NDP, mungkin Baginda bermaksud supaya soal kemiskinan di kalangan non-muslim juga difikirkan dan ditangani melalui pendekatan Islam. Jika golongan fakir miskin beragama Islam boleh dibantu menggunakan kutipan zakat, kita juga sewajarnya mewujudkan “kaedah baru” seperti yang telah diperkenalkan oleh Saidina Umar r.a. 1,300 tahun dahulu untuk membantu golongan fakir miskin yang bukan beragama Islam melalui kutipan cukai harta atau kharaj.
"Kaedah baru itu bolehlah dimodelkan seperti mana sistem zakat harta. Melalui kaedah ini, kutipan kharaj dikenakan kepada golongan non-muslim untuk membantu golongan fakir miskin non-muslim".
Melalui cadangan ini, katanya, semua urusan yang bersangkutan dengan kebajikan golongan fakir dan miskin sama ada yang beragama Islam atau tidak, akan berpusat dan dikendalikan oleh Institusi Baitul Mal sendiri.
"Saya percaya dengan pendekatan ini kita akan berjaya memperlihatkan satu imej Islam yang syumul, adil membela rakyat yang miskin tanpa mengira agama dan bangsa", ujar Presiden NDP.