LIMBARUH HIJAU 07 JUN 2009 - JIKA perbuatan mengibarkan Bendera Negara di hari-hari kebesaran seperti di Hari Keputeraan dan Hari Kebangsaan mahu dijadikan sukat-sukat untuk menilai tahap ketaatan dan kesetiaan rakyat kepada raja dan negara, memang nyata rata-rata ianya ditahap yang kurang membanggakan di negara ini.
Isu mengibar bendera dan kaitannya dengan tahap ketaatan dan kesetiaan rakyat kepada raja dan negara telah disentuh oleh Pengarah Penerangan, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong ketika bertandang ke Mukim Peramu baru-baru ini dalam Program 'Badudun' Pengarah Penerangan Ke Mukim Peramu, Daerah Brunei dan Muara.
Menurut pemerhatian beliau masih terdapat rumah-rumah kediaman dan kawasan perumahan kerajaan tidak mengibarkan bendera negara ketika menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Keputeraan walaupun arahan telah dihebahkan melalui corong-corong radio dan TV serta media cetak dan sebagainya.
”Keadaan ini membimbangkan di kalangan pemimpin negara seolah-olah satu gambaran pudar dan kurang ketaatan dan kesetiaan rakyat dan penduduk negara ini pada raja dan negara. Kerana adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan rakyat dan penduduk negara supaya mentaati perintah raja dan pemimpin mereka”, jelasnya.
Kenapa dan mengapa perkara ini boleh berlaku? Apa yang menyebabkan sebilangan besar rakyat dan penduduk 'malas ingau' untuk mengibarkan bendera negara? Aapakah ini saru silent protest? Wallahu wa'alam.
Mungkin saja ada perkara atau suasana yang mengalakkan penyuburan sikap ini dikalangan rakyat terutama dikalangan generasi muda.
Mungkin kita perlu membuat penyeledikkan terperinci apa sebab musababnya sebilangan besar rakyat tidak berapa mengambil endah tentang perlunya mereka mengibarkan bendera kebangsaan dan kaitannya dengan semangat patriotik kepada raja dan negara.
Buat masa ini kita hanya dapat membuat andaian berdasarkan apa yang kita lihat, dengar dan rasai. Dan secara kasarnya kita dapati sikap rakyat ini ada kaitannya dengan sikap sesetengah kalangan dalam sistem pengurusan dan pentadbiran negara itu sendiri.
Seperti yang pernah diajukan oleh Sdr Mahmud Morshid Othman, Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP), mungkin saja sikap malas ingau rakyat berpunca dari sikap sikap dan kegemaran sesetengah kalangan memperkecilkan intelektual rakyat untuk melemahkan daya fikir mereka.
"Satu penyakit yang saya perhatikan begitu kronik kini ialah kegemaran sesetengah kalangan yang suka memperkecilkan intelektual rakyat", tegas sdr Morshidi dalam ucapan perasmian mesyuarat Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) Penggal Kedua 2009 (Q2) yang berlangsung di Dewan Syura Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong pada 13 Mei lepas.
Sebagai contoh katanya, kalau ada aduan dari rakyat, atau kalau ada permintaan rakyat, atau kalau ada pandangan berbeza rakyat dengan mereka, dengan pantas dimatikan semangat rakyat itu. Dimatikan harapan mereka, daya fikir, kreativiti dan kritikan mereka dengan mengatakan mereka ”tidak bersyukur” dan ”tidak berpada”.
"Setengah orang suka ”menipu” rakyat. Mereka suka sangat membandingkan rakyat dan negara yang jauh lebih rendah dan miskin daripada kita", keluh sdr Morshidi.
"Kita selalu membandingkan diri kita bak kita ini anggur dan orang lain asam kelumbi. Tapi, mengapa selamanya kita tidak berani membandingkan diri kita sebagai anggur itu dengan anggur juga".
Katanya hanya dengan membandingkan anggur dengan anggur baru dapat kita nilai setakat mana anggur kita dinilai hodoh atau cantik, masam atau manis rasanya.
"Merendahkan intelektual rakyat, bersikap defensif dan menyuburkan sindrom denial boleh membawa kepada sekatan minda dan kejumudan".
"Ahli-ahli parti hendaklah sedar bahawa, ”mental block” atau sekatan minda ini ada kaitannya dengan kerapuhan jatidiri bernegara. Dari kerapuhan itulah lahirlah ungkapan-ungkapan, ”biar tia.... malas tah ku ingau” ”biar tia, abis dia tah saja.........”, tambah sdr Morshidi.
Beliau berpandangan inilah natijah dan jawaban kepada mengapa rakyat tidak cukup memberikan sokongan kepada kempen pengibaran bendera kebangsaan, umpamanya. (MHO)
|