Info Harian
Cuaca
Waktu Solat
Berita Kerajaan
Info Niagaan
Direktori Niagaan
Brunei SMEs
Info Brunei
Kenali Brunei
Kerajaan Brunei
Daily Diary
Pelita Brunei
Brunei Tourism
Telefon Kerajaan
Brunei Darussalam and the IMF
The EU's relations with Brunei
CIA on Brunei
WATCH NDP VIDEOS
 
 
EMAIL
UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM OLEH TIMBALAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

LAGU PATRIOTIK NDP - DEMI BRUNEI TERCINTA

ALBUM KONGRES AGONG NDP KE 2

ALBUM NDP JUNJUNG ZIARAH KEHADAPAN MAJLIS KDYMM DI KUALA BELAIT

KEYNOTE ADDRESS OF THE PRESIDENT OF NDP

PRESS STATEMENT IN CONJUNCTION WITH THE VISIT OF GERMAN'S MPS TO NDP
 
Artikel pilihan

Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

TUNTUTAN ORGANISASI: AMANAH DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA  NABI

DIRGAHAYU KDYMM PADUKA SERI BAGINDA SULTAN- Berazam kearah BRUNEI tanpa penerima zakat

Falsafah Negara Teras Pembangunan Negara

HALIM PLAZA, TUTONG 14 JUN 2009 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) melihat perlunya falsafah Melayu, Islam, Beraja sebagai teras pembangunan negara diinstitusikan dan dinaik taraf searas dengan sebuah kementerian yang mempunyai keupayaan penguatkuasaan.

NDP berpendapat hanya dengan cara demikian MIB dapat diberikan nafas baru dan makna sebenar sebagai pemangkin ketahanan rakyat dan menjadi sebahagian sistem pertahanan nasional yang kukuh dan berwibawa, yang dapat menjamin keamanan dan kesejahteraan negara bangsa, Institusi Kesultanan Melayu Islam,  rakyat dan penduduk negara ini seperti yang dihasratkan oleh Kebawah DYMM.

Perkara ini ditekankan oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP dalam ucapan di majlis perasmian Himpunan Tahunan Non-Muslim, Pemuda dan Wanita.

Majlis perasmian berlangsung kelmarin di Dewan Besar Halim Plaza Tutong.

Keseluruhan ucapan beliau di majlis tersebut ditumpukan sepenuhnya kepada konsep MIB dan peranannya sebagai teras pembangunan negara.

"Saya begitu teruja untuk mengongsikan pandangan parti terhadap isu MIB yang kita nilai sebagai isu yang dekat di hati Kebawah DYMM", ujar sdra Morshidi.

Katanya terakhir Baginda menyentuh lagi isu ini dengan nada bimbang akan peri nasib masa depan falsafah negara ini semasa Forum Khas Konsep Melayu Islam Beraja sempena sambutan Jubli Perak Hari kebangsaan 2009 anjuran Orang-Orang Dikurniai Gelaran bertempat di Dewan Persidangan Antarabangsa Berakas pada 24 JAMADILAWAL 1430/19 MEI 2009 yang lalu.



Awang Hj Halim Ahai, Pemilek Halim Plaza menerima cendera hati kenang-kenangnan dari sdra Morshidi

MIB mula diperkenalkan ketika negara mencapai kemerdekaan

Mengimbas sejarah MIB sdra Morshidi menjelaskan, "semasa pengisytiharan kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menitahkan:

“Negara Brunei Darussalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah SWT akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik, bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut ahlus sunnah waljamaah.”

Ini bermakna konsep Melayu Islam Beraja, singkatannya MIB, telah diperkenalkan secara rasmi pada tarikh yang sama negara kita mencapai kemerdekaan. Justeru, konsep tersebut pastinya merupakan satu konsep yang penting yang perlu difahami, diterima, diamal dan dihayati dengan sepenuhnya oleh setiap warganegara Brunei", ujar sdra Morshidi.

Huraian-huraian yang dibuat berhubung MIB ini tambahnya, menjelaskan kepada kita bahawa konsep tersebut diketengahkan sebagai falsafah negara bagi membentuk sebuah negara bangsa yang unik, dinamik dan teguh.

"Jika kita melihat dari segi sejarah, dikatakan unsur-unsur Melayu Islam dan Beraja itu sudah pun bertunjang sejak lebih enam abad yang lalu. Ia bermula dengan pertumbuhan masyarakat Melayu yang akhirnya membentuk sebuah negara, diikuti dengan penerimaan sistem beraja dan akhirnya menerima kemasukan Islam".

"Oleh kerana sejarah telah meletakkan Islam di tengah-tengah di antara unsur Melayu dan Beraja, maka unsur Islam itu, dengan sendirinya menjadi unsur teras. Definisi teras yang saya sebutkan dari segi istilah dan konsep di sini membawa maksud yang berikut:

  • bahagian tengah atau pusat dalam sesuatu;

  • bahagian atau unsur yang terpenting dan terutama dalam sesuatu;

  • isi yang terpenting atau terbaik dalam sesuatu;

  • bahagian atau unsur yang menjadi asas atau dasar bagi sesuatu;

  • dan akhir sekali sebagai intisari kepada sesuatu.

Begitulah juga dengan falsafah MIB itu. Jika terasnya iaitu Islam, tidak difahami, diperkasakan penghayatan dan pengamalannya, nescaya falsafah ini juga akan tinggal retorik sahaja dan tidak membawa sebarang makna kepada falsafah MIB itu sendiri".

Menurut pandangan beliau lagi, satu lagi perspektif tentang konsep teras ini boleh kita fahami dengan melihat fungsi dan peranan neraca.

"Dari perspektif ini, Islam yang berada di tengah, berperanan sebagai pengimbang kepada dua unsur di kiri dan kanan iaitu Melayu dan Beraja".

"Sekiranya terdapat sebarang ketidakseimbangan di antara dua unsur tersebut, maka sewajibnyalah Islam menjadi rujukan untuk menentukan bentuk dan kaedah pembetulan demi mencapai keseimbangan yang dituntut oleh Islam. Ini bukan satu pilihan tetapi suatu kemestian. Al Quran menegaskan, maksudnya:

Dan tidaklah harus bagi orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(Surah Al Ahzab, ayat 36)

"Dari perspektif struktural ini, jelas kepada kita bahawa unsur Islam itu adalah tonggak yang dominan dan mempunyai keutamaan yang melampaui kedudukan dan peranan dua lagi unsur yang lain. Dalam erti kata yang lain, unsur Islam dalam falsafah MIB adalah unsur primary sementara dua unsur yang lain itu adalah unsur-unsur secondary".

"Justeru itu, sebarang pendapat atau usaha untuk meletakkan ketiga-tiga unsur MIB itu sebagai sama tarafnya dari segi kedudukan atau peranan, merupakan satu perkara yang mungkar, batil dan tertolak", tegas sdra Morshidi.

Sebagai contoh, tambah beliau, kita petik di sini sepotong ayat Al Quran yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.                                        (Surah An Nisa’, ayat 59)

"Bahagian akhir surah ini mengakui kemingkinan untuk berlakunya perselisihan atau perbezaan pendapat (tanazu’) di antara pemerintah  dan yang diperintah dan apabila perselisihan itu timbul, jalan penyelesaiannya hendaklah dengan merujuk kepada Al Quran dan Sunnah".

"Quran dan Sunnah itu sudah cukup lengkap sebagai panduan kehidupan kita di dunia dan akhirat apa lagi untuk penyelesaian sebarang perbalahan. Kita dididik oleh Islam dengan adab dari yang kecil seperti masuk tandas, makan minum, berkelamin dan berkeluarga hinggalah kepada yang besar seperti mengurus negara, mengurus konflik dan mengurus keadilan".

"Ini menjustifikasikan bahawa kedudukan unsur Islam itu adalah mengatasi dua unsur MIB yang lain. Ringkasnya, kedua-dua unsur Melayu dan Beraja itu hendaklah tunduk kepada unsur Islam".

Penegasan ini, tekan sdra Morshidi lagi, adalah selari dengan kedudukan Islam sebagai ideologi negara sepertimana yang dititahkan Kebawah DYMM Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam:

“....menjadikan Islam itu sebagai satu cara hidup yang lengkap dan penuh dengan nikmat bagi keseluruhan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.”

(Titah pada Hari Raya Aidilfitri 1967)

“....menumpukan tenaga dan usaha bagi menuju melaksanakan Islam sebagai ideologi negara.”
(Titah pada 2 Ogos 1969)

Justeru menurut sdra Morshidi lagi adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk meyakinkan semua orang, sama ada Islam atau bukan Islam akan keindahan Islam itu dengan ilmu dan  praktisnya. Kita tidak boleh meyakinkan orang lain mengenai keindahan Islam itu dengan paksaan atau sekadar kata-kata sahaja.

"Kita tunjukkan dan buktikanlah kepada semua bahawa Islam itu membawa bersamanya sistem pembangunan duniawi dan ukhrawi yang seimbang, membawa bersamanya sistem keadilan sosial yang terbaik, pengurusan negara terbaik, mencintai keamanan dan keharmonian, mencintai ilmu dan segala yang terbaik yang boleh dicapai oleh pemikiran manusia".

"Lantas bagaimana mungkin kita boleh menterjemahkan seluruh keindahan Islam sebagai paksi utama falsafah negara yang boleh diterima dan berperanan sebagai pelindung dan pembawa kejayaan hidup jika sekiranya kita terikat dengan takrifan Islam yang sempit?"

Sejauh mana kejayaan menerapkan MIB dalam masyarakat?


"Dikatakan oleh para serjana tempatan bahawa proses penerapan falsafah MIB perlu dilaksanakan dalam empat fasa iaitu; fasa pertama – memberi kefahaman kepada rakyat dan penduduk; fasa kedua – penerimaan; fasa ketiga – pengamalan dengan sedar; dan fasa keempat – penghayatan".

Pada pandangan kita, tambah sdra Morshidi, jika diambil kira bahawa falsafah ini telah diperkenalkan sejak 1984 lagi, maka pencapaian dalam tempoh 25 tahun ini adalah suatu yang tidak menggalakkan.

"Setelah 25 tahun merdeka kita belum pun dapat menyempurnakan sebaiknya fasa pertama yang disebutkan itu, sedang ada lagi tiga fasa menunggu kita  di hadapan?"

"Maaf saya katakan, bagaimana kita dapat menerima konsep MIB ini jika hingga ke hari ini kita masih belum menemui akan makna dan takrif operational falsafah ini".

"Ramai di kalangan rakyat yang masih samar ke arah mana konsep MIB hendak membawa mereka? Dan sejauh manakah seriusnya kita mahu meletakkan MIB ini sebagai ideologi kebangsaan yang berintegriti?", ujar sdra Morshidi.

"Kebawah DYMM sendiri dalam titah Baginda di Forum MIB pada 24 JAMADILAWAL 1430/19 MEI 2009 lalu melahirkan kekecewaan Baginda...

“Setahun sesudah merdeka, sehingga berterusan selama 16 tahun, kita pernah mempunyai beberapa badan Konsep ‘Melayu Islam Beraja’. Pada tahun 1985, kita telah menubuhkan ‘Komiti Konsep Melayu Islam Beraja’.  Pada tahun 1990, kita pertingkat lagi menjadi ‘Badan Peringkat Nasional Konsep Melayu Islam Beraja’ dan pada tahun 2001, kita terus pertingkat menjadi ‘Majlis Tertinggi Kebangsaan Melayu Islam Beraja’.  Lantikan yang paling akhir ahli-ahli Majlis Tertinggi Kebangsaan Melayu Islam Beraja ialah pada tahun 2001 untuk tempoh selama lima tahun. Berdasarkan tempoh lantikan ini, ia telah pun berakhir pada tahun 2006.

Sekarang kita sudah berada dalam tahun 2009.  Namun cerita lanjut mengenai majlis ini belum lagi didengar sampai ke hari ini.  Apakah kita sudah kehabisan orang-orang yang layak untuk dipilih menjadi ahli-ahli baru?  Atau majlis ini sendiri telah dianggap  sebagai tidak lagi relevan?” 

Konsep MIB teras perjuangan, pembangunan NDP

Menurut sdra Morshidi lagi, demi kesedaran akan keunggulan dan relevannya MIB itu sebagai paksi negara, NDP telah meletakkan konsep ini sebagai visi parti.

"Sejak dari tahun 2006 lagi NDP telah menyarankan agar falsafah MIB itu diberikan nafas baru, diberikan makna sebenar dengan menginstitusi dan menaikkan tarafnya searas dengan sebuah kementerian yang mempunyai keupayaan penguatkuasaan".

"Kita berpendapat, hanya dengan cara demikian kita dapat mengunggulkan MIB itu sebagai pemangkin ketahanan rakyat untuk menjadi sebahagian sistem pertahanan nasional yang kukuh dan berwibawa, yang dapat menjamin keamanan dan kesejahteraan negara bangsa, Institusi Kesultanan Melayu Islam,  rakyat dan penduduk negara ini seperti yang dihasratkan oleh Kebawah DYMM", jelas sdra Morshidi.

Katanya sebagai sebuah pertubuhan siasah yang amat kerdil, NDP akan terus menunaikan komitmennya seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti. Kita akan sentiasa siap siaga untuk menjunjung apa jua titah demi memperkasakan falsafah MIB ini setakat yang kita mampu.

"Sejak hampir empat tahun NDP ditubuhkan, semua gerak kerja kita sentiasa menjurus ke arah mengunggulkan falsafah yang mulia ini walaupun sentiasa dikekang dan dihambat, dicurigai dan dicemburui", tegas sdra Morshidi.

"Seperti saya katakan tadi, NDP sebagai sebuah gerakan politik menerima sepenuhnya falsafah MIB. Ini dinyatakan dengan jelas melalui Artikel 3 Perlembagaan Parti di bawah Visi Parti Pembangunan Bangsa. Pernyataan visi tersebut adalah seperti berikut:

“Negara Brunei Darussalam sebagai negara Melayu, Islam, Beraja aman dan makmur serta mendapat keampunan Allah SWT.”

Tafsiran operational “Melayu” yang diterimapakai oleh NDP ialah gagasan Melayu baru kelas pertama dunia yang luas jangkauannnya.

Melayu di sini membawa maksud:

  1. Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu, dan rumpun bangsa Melayu Brunei merangkumi 7+1 suku kaum iaitu, Melayu, Tutong, Belait, Bisaya, Dusun, Kedayan dan Murut serta ditokok dengan suku kaum Melayu Iban seperti yang terkandung dalam resolusi seminar NDP Ke arah Perpaduan Nasional: Cabaran Dan Harapan bertarikh 13 Mac 2006.

  2. Mengekalkan sistem pemerintahan Melayu yang dipimpin oleh Sultan Dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri.
  1. Pengukuhan nilai luhur kebudayaan Melayu sebagai nilai yang dominan dalam budaya kebangsaan yang berteraskan Islam.

  2. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan 1959.

Persoalan di sini ialah apakah bentuk wajah dan watak perlakuan Melayu yang mahu ditonjolkan di bawah falsafah negara ini?"

Menurut sdra Morshidi lagi NDP mahu wajah dan watak perlakuan Melayu yang dilahirkan melalui falsafah MIB itu sama ada Melayu itu sebagai individu, anggota keluarga atau anggota masyarakat adalah Melayu yang berilmu dan menguasai sains dan teknologi, beriman, bertaqwa, berwawasan jauh dan berani. Saya percaya hanya Melayu yang berwajah dan berwatak demikian sahaja yang mampu untuk lahir sebagai Melayu baru kelas pertama dunia yang luas jangkauannnya.

"Satu lagi persoalan yang begitu penting ialah tentang kedudukan Melayu sebagai bangsa yang dominan dalam negara ini. Lazimnya apabila kita menyebut istilah dominan dalam konteks ini ia dikaitkan dengan keunggulan sama ada dari segi bilangan, kuasa politik dan kekuatan ekonomi. Persoalannnya apakah terdapat jaminan di bawah falsafah MIB bahawa status keunggulan ini tidak akan menguncup, terhakis atau tergugat lantaran perubahan demografi dan arus globalisasi?"

Selama ini, katanya, kita tidak nampak sebarang perancangan yang jelas dan konkrit ke arah pemeliharaan status keunggulan Melayu itu.

"Umpamanya, kita tidak jelas di mana letak duduknya Melayu di dalam Wawasan Brunei 2035? Kita tidak jelas di mana letak duduknya orang Melayu di dalam pembangunan perbandaran?"

Kebimbangan ini, menurut pandanga sdra Morshidi, adalah satu lagi justifikasi supaya dilakukan muhasabah atau penilaian semula dalam usaha kita menerapkan falsafah MIB ke seluruh lapisan masyarakat.

"Jangan sampai akhirnya ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan dan dagang kenyang suami kelaparan", tegas sdra Morshidi.

Namun demikian, tambahnya, NDP memberi jaminan bahawa pengungkapan keunggulan Melayu pemahaman NDP  itu tidak sekali-kali bermaksud NDP anti bukan Melayu.

"Kita sekadar mengajak supaya dipelihara apa yang menjadi hak kita.  Justeru pula, Islam juga melarang orang-orang Melayu berpegang kepada prinsip ‘assabiyyah’ iaitu kefahaman kebangsaan yang sempit", jelas sdra Morshidi.

Dalam hubungan ini, katanya, Rasulullah SAW menegaskan, maksudnya:

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah.” (Riwayat Abu Daud)

Melayu yang dibentuk melalui falsafah MIB sewajarnya berpegang kepada maksud peringatan Allah yang berikut:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
(Surah Al Maidah, ayat 8)

"Persoalan  di sini ialah bagaimana untuk memberi kefahaman supaya golongan bukan Melayu melihat MIB dari perspektif yang saya sebutkan itu".

"Dari aspek teori difusi budaya pula, sesuatu bangsa itu hanya akan tertarik kepada budaya lain yang pada pandangan mereka mempunyai nilai-nilai yang tinggi".

"Sejarah memperlihatkan akan kebenaran hujah ini. Tentera Mongol yang terkenal dengan keganasan telah menakluki kota Baghdad pada tahun 656 Hijrah atau 1258 Masehi di bawah pimpinan Hulagu Khan. Akan tetapi disebabkan oleh nilai dan tamadun Islam yang jauh lebih tinggi dari tamadun kaum Mongol, kita dapati bahawa kaum penakluk itu akhirnya terpengaruh dan menerima tamadun Islam, dan bukan sebaliknya".

Oleh yang demikian, tekan sdra Morshidi, bangsa Melayu hendaklah menterampilkan ciri budaya bangsa yang luhur dan tinggi yang mampu menarik dan memikat pemikiran bukan Melayu.

"Sekiranya didedahkan dengan nilai-nilai budaya Melayu yang unggul dan universal, kita tidak nampak mengapa golongan bukan Melayu tidak boleh menerima unsur Melayu dalam MIB".

"Kita tidak bertujuan untuk ‘meMelayukan’ mereka, tetapi sebaliknya mengajak mereka untuk mendakap erat nilai-nilai unggul yang universal itu", jelas sdra Morshidi.

Unsur Islam Dalam MIB


Menurut sdra Morshidi lagi pada pandangan NDP, unsur Islam di dalam falsafah MIB, membawa maksud:

  1. Pengukuhan Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna (Ad Deen).

  2. Penegasan Raja adalah Ulil Amri dan khalifah Allah di bumi Brunei Darussalam yang memerintah menurut hukum Islam.
  1. Penegasan bahawa tidak ada pengasingan di antara politik (hal ehwal bernegara) dengan agama.

  2. Penegasan bahawa Islam adalah agama rasmi negara dan sistem yang memandu rakyat dan pemerintahan negara.
  1. Penegasan bahawa negara Brunei Darussalam bukanlah sebuah negara sekular.

  2. Agama Islam, ahlus sunnah waljamaah mazhab As Shafie adalah agama rasmi negara mengikut perlembagaan.

"Apa yang saya sebutkan ini adalah lanjutan dari kedudukan Islam yang terunggul dalam analisis struktural sebelum ini".

"Kedudukan unsur Islam dalam falsafah MIB sebagai tonggak, teras, dan neraca sebenarnya adalah jaminan kepada perlaksanan keadilan yang sebenar untuk semua rakyat dan penduduk negara ini".

Oleh yang demikian, tegas sdra Morshidi, tidak ada sebarang sebab atau halangan bagi orang bukan Islam untuk menerima falsafah MIB ini.

"Pada pandangan kita, kelembapan penerapan falsafah MIB ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang bukan Islam, tetapi mungkin juga di kalangan orang Islam sendiri".

"Ini bukan bermakna mereka ini menolak Islam, tetapi sebaliknya disebabkan oleh kegagalan kita untuk menampilkan kesyumulan Islam dalam bentuk praktikisnya", tegas sdra Morshidi lagi.

Katanya kita percaya, pendekatan yang diambil selama ini yang lebih menjurus kepada hujah, seminar, forum, bengkel, adat istiadat, mengikat dastar dan mengikat serban, berbalah mengenai soal-soal furuk dan sebagainya; pastinya tidak berjaya memikat dan menarik hati sanubari rakyat untuk melihat Islam dalam bentuk kesyumulannya.

"Kita harus bertanya pada diri sendiri mengapa gerangan rakyat memandang sepi kepada pendekatan yang sedemikian".

"Apa yang kita dapat kongsikan mengenai  pandangan mereka ialah, mereka  mahu  melihat, merasa dan menikmati kesyumulan Islam itu secara realitinya dalam kehidupan mereka".

"Mereka tidak perlu kepada kata-kata yang berjela-jela, retorik berlebihan dan amalan-amalan yang bersifat ritual. Yang mereka hajati ialah untuk merasai kesyumulan Islam dalam setiap aspek pemerintahan, pentadbiran, birokrasi, politik, undang-undang, pendidikan, pembangunan, ekonomi dan segala-gala yang dapat dikecapi dalam kehidupan harian", tegas sdra Morshidi lagi.

Sebagai contoh, katanya, mereka mahu menikmati keadilan dalam pemerintahan, politik dan undang-undang, ketelusan dan kecekapan dalam pentadbiran dan birokrasi, pembentukan sahsiyyah dalam pendidikan, keseimbangan dan kemampanan dalam pembangunan, ekonomi dan kehidupan yang lebih baik.

"Nah! terjemahkanlah semua ini melalui pendekatan yang Islamik. Inilah jawapan kepada semua keraguan rakyat, penduduk dan masyarakat antarabangsa terhadap falsafah MIB itu. Inilah resepi sebenar kelazatan bernegara dan berbangsa yang membawa bersamanya nilai jatidiri bernegara dan beraja yang unggul".


Menurutnya lagi NDP sendiri kini dalam proses pembelajaran untuk mempraktiskan apa yang saya sebutkan ini.

"Kita bukan hanya menyebut hak-hak bukan Islam atau bukan Melayu di dalam parti, tetapi kita juga memberi kedudukan dan tempat dan ini dimaktubkan di dalam perlembagaan parti. Kehadiran anggota-anggota bukan Islam dan bukan Melayu dalam dewan pada pagi ini, adalah bukti kepada kenyataan tersebut".

"Saya percaya ahli-ahli bukan Islam atau bukan Melayu tentunya mengetahui bahawa NDP adalah sebuah gerakan Islam yang diterajui oleh orang Melayu Islam".

"Namun, ini tidak pernah menjadi halangan kepada mereka untuk menyokong perjuangan NDP sepenuh hati. Kita melayani seluruh ahli dengan adil dan saksama, kita menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan kepada semua ahli tanpa diskriminasi. Soal agama dan kepercayaan adalah hak mereka masing-masing", jelas sdra Morshidi.

"Ini juga menjadi bukti betapa NDP begitu komited terhadap MIB".

"Saya percaya NDP boleh menjadi sebuah model penerapan MIB, justeru NDP berjaya menjadi sebuah pelantar yang menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan suku kaum yang mendakap misi perjuangan yang sama. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan, unsur inilah yang dinilai baik dan tulus oleh ahli-ahli non-muslim dalam parti kita sehingga ada yang terpikat dengan Islam itu sendiri".

Tetapi malangnya, kata sdra Morshidi, usaha murni ini bukan sahaja tidak dihargai oleh pihak-pihak tertentu. Sebaliknya mereka cuba meletakkan pelbagai halangan untuk menyekat kebangkitan dan perkembangan NDP. Tindakan tersebut bukan sahaja menimbulkan masalah kepada NDP, tetapi juga turut menjejaskan usaha-usaha NDP untuk membawa rakyat seluruhnya untuk menerima falsafah MIB melalui pendekatan politik.

Unsur Beraja Dalam MIB

"Satu lagi unsur di dalam falsafah negara adalah Beraja. Bagi kita, Beraja membawa maksud:

  1. Bahawa kuasa memerintah yang tertinggi terletak di tangan Kebawah DYMM Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Dan Ulil Amri Negara Brunei Darussalam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan 1959.

  2. Raja adalah payung bagi negara dan perpaduan bangsa.
  1. Raja pemegang amanah untuk mengendali dan menjalankan pemerintahan dengan cara yang adil dan ihsan menurut landasan hukum Allah.

Apabila kita menyebut istilah Beraja, jelas sdra Morshidi, ia bukan sahaja merujuk kepada susuk tubuh individu yang bergelar Raja, tetapi juga merujuk kepada institusi Beraja yang terangkum di dalamnya sistem pemerintahan, jentera pentadbiran, dan seluruh apparatus kerajaan yang lain.

"Dalam hubungan ini, contoh yang tepat boleh diambil daripada Al Quran mengenai kisah Nabi Daud a.s. Al Quran menjelaskan bahawa Nabi Allah Daud a.s. adalah seorang raja yang telah dikurniakan sebuah kerajaan yang kuat dan dalam masa yang sama Baginda juga di angkat sebagai khalifah Allah. Al Quran menerangkan, maksudnya:

Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman). (Surah Saad, ayat 20)

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. (Surah Saad, ayat 26)

Para mufassir mentafsirkan bahawa kekuasaan yang diberi kepada Nabi Allah Daud a.s. sebagai seorang raja, kebijaksanaan, keadilan dan kenabian adalah sebagai satu amanah dan bukannya sebagai anugerah untuk keagungan dan kebesaran diri".

Isu Kepimpinan

Dalam ucapan perasmian tersebut sdra Morshidi juga menyentuh mengenai isu kepimpinan dan tanggunjawab sebagai pemimpin.

"Sebagai pemimpin, tidak kira kecil atau besar, saudara saudari adalah dibebani dengan tanggungjawab bagi mempastikan  prinsip keadilan, amanah dan musyuwarah menjadi pegangan kepimpinan", tegas sdra Morshidi.

Prinsip-prinsip keadilan, amanah dan musyuwarah ini, jelas sdra Morshidi, boleh dilihat pada maksud ayat-ayat yang berikut:

Mengenai prinsip Keadilan

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (Surah An Nisa’, ayat 58)

Mengenai prinsip Amanah

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). (Surah Al Anfal, ayat 27)

Mengenai prinsip Musyuwarah

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya. (Surah Asy Syura, ayat 38)

"Justeru tuntutan berlaku adil, amanah dan musyuwarah ini perlulah dilaksanakan bukan hanya terbatas kepada persoalan yang bersangkut-paut dengan politik sahaja, tetapi juga meliputi segala aspek kenegaraan, sama ada kecil mahupun besar".

NDP menolak gelombang politik yang boleh memudaratkan rakyat dan negara

Dalam ucapan perasmian tersebut, sdra Morshidi juga menyentuh mengenai isu perubahan politik dan peranan NDP sebagai agen perubahan tersebut.

"Pada pilihanraya umum Mac 2008 di negara jiran kita telah  mencatatkan satu perubahan politik yang ketara. Perubahan tersebut diistilahkan sebagai tsunami politik".

"Dikatakan tsunami politik ini berlaku disebabkan bertambahnya bilangan golongan muda sebagai pengundi dalam pilihanraya tersebut. Mereka terdedah kepada segala bentuk media dan maklumat yang non tradisional, lalu membentuk mindset baru yang mencabar pemikiran arus perdana (mainstream) yang mereka anggap sebagai jumud".

Walau bagaimanapun, tambah sdra Morshidi, dalam konteks semangat ini, saya menasihati sayap pemuda, puteri, wanita dan non muslim supaya tidak menimbulkan sebarang gelombang yang membawa kepada berlakunya tsunami politik yang liar di negara ini.

"Tsunami politik liar yang saya maksudkan ialah sebarang bentuk kekacauan, kekerasan, keganasan atau apa sahaja bentuk tindakan yang boleh mengancam ketenteraman dan keamanan negara".

Biar saya tegaskan di sini, tekan sdra Morshidi, NDP menolak sama sekali sebarang bentuk tindakan yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat dan negara ini.

"Saya yakin masih ada sedikit ruang lagi  bagi setiap warga kita untuk berperanan membawa idea baru melalui gelombang politik yang sihat untuk sama-sama menyuburkan lanskap politik negara kepada suatu persekitaran yang lebih dinamik selaras dengan prinsip-prinsip dan semangat yang dianjurkan dalam falsafah negara iaitu MIB", tegas sdra Morshidi.

Beliau seterusnya berharap pimpinan baru pemuda, wanita dan non muslim akan menerima seruan dan cabaran beliau dengan penuh semangat dan keazaman.

"Saudara saudari hendaklah terlebih dahulu mentransformasi gaya dan bawaan diri masing-masing sebagai seorang pemimpin atau ahli NDP, daripada kurang baik kepada baik dan daripada baik kepada lebih baik".

"Jagalah sebaiknya parti kita ini kerana hanya inilah satu-satunya parti siasah di negara ini  yang menjadi penyambung lidah rakyat, yang menzahirkan kesetiaan kepada Kebawah DYMM tanpa musim", nasihat sdra Morshidi.

 

 
Presiden NDP


Hj. Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

Timbalan Presiden

Sdra. Mahmud Morshidi Othman

Setiausaha Agung

Hj. Aminorashid Hj. Ghazali






 
 
 
 
 
 
 
 
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.