Isu “Kerajaan Perpaduan” nampaknya terus hangat diperkatakan di negara jiran kita, Malaysia. Terbaru, Presiden parti Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan telah mengulangi kenyataan beliau berkaitan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu, yang antara lain, bertujuan untuk menyatupadukan orang-orang Melayu khususnya dan mengembalikan kestabilan politik Malaysia pada umumnya.
Kenyataan tersebut dikatakan telah dibuat oleh Presiden Pas itu semasa berucap di Muktamar Tahunan parti Pas pada awal Jun lalu.
Ekoran dari kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi itu, parti Pas dilaporkan berada dalam keadaan tertekan dengan ada pihak yang menyetujui rancangan tersebut sementara di satu pihak lain, ada yang menentangnya.
Di antara pihak yang dikatakan kuat menyokong cadangan tersebut ialah Timbalan Presiden Pas, ustaz Nasharuddin Mat Isa. Sementara pihak yang kuat menentangnya pula ialah Mursyidul Am Pas sendiri, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Akibat wujudnya pertelagahan dalam pendirian tersebut, Datuk Nik Aziz dikatakan telah meminta ustaz Nasharuddin supaya meletakkan jawatan kerana didakwa bertindak secara tidak selari dengan dasar dan pendirian parti.
Di pihak UMNO pula, kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi itu telah diterima dengan baik dan dialu-alukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara peribadi menyifatkan kenyataan Presiden Pas itu sebagai sesuatu yang merangsangkan sambil berharap agar parti Pas ikhlas dalam setiap kenyataan dan tindakan mereka.
Kenyataan bersifat menyokong yang dibuat oleh Datuk Seri Najib kemudiannya diperlanjutkan oleh beberapa pemimpin kanan yang lain dalam UMNO dengan harapan kerjasama tersebut akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
Namun impian sesetengah kalangan untuk melihat terbentuknya kerajaan perpaduan itu nampaknya hancur berkecai ekoran kenyataan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 22 Jun lalu, yang menolak sebarang cadangan bagi membentuk kerajaan perpaduan sepertimana yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang keanggotaannya terdiri daripada pemimpin-pemimpin utama ketiga-tiga buah parti dalam Pakatan Rakyat - Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan telah membuat kenyataan penolakan tersebut di bangunan Parlimen sebagai mengulas khabar-khabar angin mengenai adanya kesediaan parti Pas untuk berkerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan perpaduan di Malaysia.
Ekoran adanya kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu, beberapa pemimpin kanan dalam parti UMNO telah menyuarakan rasa kecewa mereka di atas pendirian parti Pas itu yang didakwa mudah tunduk kepada tekanan sehingga membatalkan cadangan untuk berkerjasama dengan UMNO demi perpaduan umat Melayu dan kestabilan politik Malaysia.
Mereka mendakwa Pas tunduk kepada tekanan dari dua lagi parti komponen Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PKR, yang masing-masing didakwa bimbang kedudukan mereka akan terancam sekiranya Pas bertindak menjalin kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional.
Lebih memeranjatkan pemimpin-pemimpin UMNO ialah apabila Pakatan Rakyat dan Presiden parti Pas sendiri membuat kenyataan bahawa segala apa yang dipolimikkan sekarang berkaitan kerajaan perpaduan adalah sebenarnya suatu propaganda murahan UMNO sendiri yang bertujuan untuk melemahkan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat.
Serentak dengan itu, Datuk Seri Abdul Hadi meminta supaya semua pihak menghentikan segera perbincangan mengenai isu kerajaan perpaduan itu sambil memberi isyarat bahawa Pakatan Rakyat tidak akan mudah terjebak ke dalam perangkap propaganda UMNO tersebut.
Apa yang turut menarik perhatian ialah kesediaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz untuk memohon maaf kepada Timbalan Presiden Pas, ustaz Nasharuddin Mat Isa di atas kenyataan-kenyataan yang dibuatnya sebelum ini, termasuk mendesak ustaz Nasharuddin meletakkan jawatan kerana terlalu kuat menyokong idea pembentukan kerajaan perpaduan itu.
Datuk Nik Aziz juga menyifatkan apa yang berlaku sebagai salah faham yang berpunca daripada adanya mainan politik murahan UMNO yang bertujuan untuk menyelamatkan kedudukan parti itu yang semakin lemah, sedang di satu pihak lain, berharap untuk melihat rebahnya Pakatan Rakyat sekiranya Pas bertindak secara berpihak kepada UMNO.
Pemimpin-pemimpin UMNO, di satu pihak lain, tidak berdiam diri terhadap dakwaan-dakwaan yang dilemparkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Secara umum, mereka mendakwa bahawa UMNO terus mantap sebagai sebuah parti yang memerintah dengan suara majoriti.
Parti Pas sebaliknya didakwa sebagai pihak yang mula-mula menimbulkan idea kerajaan perpaduan tersebut dengan tujuan untuk menyelamatkan kedudukan parti itu di beberapa negeri di mana kedudukan parti itu tidak stabil dan memerlukan kerjasama UMNO untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka seperti di Perak, Selangor, Kedah, dan Terengganu.
Walau apapun, di sebalik runtuhnya semangat perpaduan yang ingin dilihat oleh majoriti orang Melayu di negara jiran kita itu, masih terdapat harapan di kalangan banyak pihak yang berharap idea ini tidak akan terkubur begitu sahaja.
Kalangan pertubuhan pemikir dan cendekiawan Melayu misalnya, meskipun kecewa dengan perkembangan yang berlaku, dipercayai akan terus berusaha mencari ruang dan kesesuaian masa untuk membawa kembali pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai parti politik untuk duduk semeja berunding dan berdamai demi memelihara perpaduan dan survival politik orang-orang Melayu pada masa depan.
Dari kejauhan, kita sendiri di dalam Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sebenarnya ingin melihat wujudnya permuafakatan yang dibayangkan sebelum ini, akan dapat direalisasikan jua pada suatu hari nanti yang ditanai kukuh oleh ketulusan dan keikhlasan.
Paling tidak, kita turut mengharapkan, walaupun tidak dapat dijelmakan lagi agenda perpaduan Melayu itu, namun kita rasa kebencian, permusuhan dan dendam kesumat sesama umat Melayu dapat diredakan.
Kita percaya, perpaduan Melayu tidak akan berlaku selagi orang-orang Melayu terus berpisah dan bertelagah dalam beberapa kumpulan kecil dengan berpayungkan agenda peribadi dan parti masing-masing sehingga membelakangkan agenda Melayu dan tuntutan agama yang menghendaki ikatan silaturrahmi sesama Islam sentiasa perlu diberikan keutamaan.
Usaha bagi mengembalikan perpaduan Melayu telah acap kali diusahakan dengan memakan masa, keringat serta tumpuan yang banyak di kalangan mereka yang ingin melihat perpaduan Melayu akan kembali utuh seperti sebelumnya.
Agenda perpaduan Melayu yang diwar-warkan kini mengingatkan kita betapa pemimpin-pemimpin Melayu di Malaysia seperti Allah Yarham Tun Haji Abdul Razak (UMNO), Dato’ Asri Haji Muda (PAS), Tun Haji Abd Rahman Yaakub (PBB), Tun Datu Mustafa Harun (USNO), A.M. Azahari dan Ayahanda Yassin Affandy (PRB) 35 tahun dahulu telah mendepani zaman mereka dengan mengenepikan dan mengubur segala perbezaan, permusuhan dan dendam kesumat lalu meluncur ke hadapan dengan satu iltizam untuk memperkasa kuasa dan pengaruh politik Melayu bukan hanya di rantau ASEAN tetapi juga keseluruh maya.
Namun, sejarah telah menukilkan betapa pedihnya derita yang dialami oleh PAS akibat apa yang dikatan ditikam dari belakang oleh UMNO dan ditendang daripada BN lebih 30 tahun dahulu. Demikian juga pengalaman pahit yang sama dideritai oleh para pejuang kemerdekaan Brunei yang berlindung di Malaysia di zaman yang sama.
Justeru mengambil iktibar dari sejarah pahit itu, kita amat berharap usaha kebajikan seperti ini tidak akan luntur semata-mata kerana adanya matlamat politik yang bersifat jangka pendek, yang jika tidak dikawal, kelak boleh menjadi barah kepada perpaduan orang-orang Melayu dalam jangka panjang.
Maka itu, kita berharap akan terus ada pihak-pihak tertentu yang akan terus kental jiwa dan semangat mereka dalam perjuangan bagi merintis perdamaian dan perpaduan umat Melayu dan Islam di negara jiran kita itu di hari-hari muka dan seterusnya mengembalikan semangat dan wawasan pemimpin terdahulu untuk merayakan dan memperkasakan tamaddun Melayu dan Islam itu keseluruh maya dalam semua bidang . Wallaha’alam – (mmo).