LIMBARUH HIJAU 11 JUN 2010 -
PRESIDEN Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dalam ucapan dasar beliau di perasmian Kongres Agung Tahunan NDP ke-5 telah merakamkan setinggi tahniah Kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet yang baru dilantik sambil mengingat kembali titah amanat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam ketika mengumukan perlantrikan mereka.

Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy merasmikan Kongres Agung Tahunan NDP ke-5 di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan pada 4 Jun 2010
|
Ayahnda Yasin Affandy juga merakamkan sembah menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kebijaksanaan baginda melantik barisan kepimpinan baru dalam Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet bagi sesi 2010 – 2015.
"Saya, mewakili seluruh anggota parti, juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan baru dalam Kerajaan atas perlantikan mereka untuk menerajui pembangunan bangsa dan negara kearah kecemerlangan yang di cita-citakan", ujar Ayahnda Yasin Affandy dalam ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Presiden NDP, Malai Hassan Othman.
Mengenai perlantikkan mereka, Presiden NDP berkata NDP melihat barisan Jemaah Menteri yang baru adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dalam penggubalan dan perlaksanaan dasar, pengurusan dan pentadbiran negara.
Justeru, tambah Presiden, dengan pengalaman luas ini, NDP penuh yakin jentera pengurusan dan pentadbiran negara akan lebih berdaya maju untuk memacu pembangunan bangsa dan negara kearah kecemerlangan seperti yang telah disasarkan dalam Wawasan 2035.

Timbalan Presiden, sdra Malai Hassan Othman membacakan teks ucapan dasar Presiden NDP
|

Suasana di Majlis Perasmian Kongres Agung NDP ke-5
|
"Sehubungan dengan itu, NDP bertekad akan terus memberikan sokongan yang padu untuk terus bersama baginda Sultan dan Kerajaan dalam usaha mengekalkan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT agar terus dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang".
Untuk itu, tegas Presiden, NDP akan terus berpegang kuat dengan amanat yang dititahkan oleh baginda Sultan ketika mengumumkan perlantikan barisan ahli-ahli baru dalam Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet pada 29 Mei 2010 kelmarin.
"Antara lain baginda mengingatkan pentingnya barisan kepimpinan yang baru menginsafi bahawa mereka merupakan ikon kepada rakyat justeru perlu memiliki personaliti dan syakhsiah yang hebat yang boleh dicontohi oleh rakyat".
"Baginda menekankan kehebatan disini turut merangkumi sikap bersih, berkebolehan dan berwawasan, termasuk juga sanggup berbasah dan berkering, sehingga diri sendiri tidak lagi penting, berbanding pengorbanan untuk ugama, raja, bangsa dan negara".
Baginda Sultan seterusnya, tambah Presiden, mengingatkan kepada barisan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet yang baru bahawa lantikan-lantikan mereka itu merupakan amanah.
Katanya baginda juga mengingatkan bahawa lantikan mereka itu juga merupakan tugas, kewajipan dan kuasa justeru ia mesti digunakan sejujurnya dengan penuh taat lagi setia.
"Baginda juga menasihatkan mereka agar jangan terdapat dikalangan mereka yang ingin mencipta haluan sendiri-sendiri untuk kepentingan yang terhad, tetapi bantulah raja untuk mencapai wawasan negara dengan keadilan".
"KDYMM dalam titah tersebut meminta mereka membuktikan bahawa keadilan tidak mati di Brunei, tetapi ia hidup dan malah subur dari apa yang dijaja di mana-mana".
Setentunya, tegas Presiden NDP, selaku rakyat dan penduduk negara yang bertuah ini, kita sama-sama menaruh harapan tinggi agar titah baginda Sultan itu dijadikan azimat dan panduan bukan sahaja oleh barisan kepimpinan baru dalam Kerajaan tetapi juga oleh kepimpinan baru dalam NDP.
"Marilah kita sama-sama menyambut dan melaksanakan amanat KDYMM itu. Marilah kita sama-sama buktikan bahawa keadilan tidak mati di Brunei", seru Presiden NDP lagi. (Ikuti laporan Kongres ke-5 seterusnya)