LIMBARUH HIJAU 1 REJAB 1431 (13 JUN 2010) - PERLUNYA sebuah Jawatankuasa Keselamatan Nasional dibentuk dalam Majlis Mesyuarat Negara telah dicadangkan telah turut disentuh dalam Ucapan Dasar Presiden di Kongres Agung Tahunan NDP ke-5.
Presiden NDP dalam mencadangkan perkara tersebut mengambil maklum peruntukkan perbelanjaan pembangunan negara yang besar iaitu sejumlah BND 4.98 billion yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negara dalam sidang kali ke 6 Mac lalu.
Beliau mengambil maklum bajet yang diluluskan adalah untuk disasarkan kepada aspek-aspek pembangunan lima sektor utama – iaitu, pertahanan dan keselamatan awam, kesejahteraan sosial dan pembasmian kemiskinan, keselamatan bekalan makanan kebangsaan, perkembangan dan pengukuhan sektor swasta dan perkembangan sumber tenaga manusia dan peningkatan kapasiti (termasuk perkembangan belia).
"Kita difahamkan selaras dengan strategi keselamatan dalam Wawasan Brunei 2035, sektor pertahanan dan keselamatan diberikan peruntukkaan sejumlah lebih BND 1 billion (BND1,049,054,830.00) yang juga termasuk meningkatkan keberkesanan langkah-langkah pengurusan bencana dan pengawalan wabak yang berjumlah BND15 juta. Selain itu BND16.7 juta juga telah disediakan bagi menangani wabak Influenza A (HINI)".
"NDP sangat mengalu-alukan langkah-langkah bijaksana ini tetapi dalam masa sama berharap sistem pertahanan sebagai strategi keselamatan negara dapat dilengkapkan dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap (Keselamatan Nasional) di dalam Majlis Mesyuarat Negara yang bertindak memantau pengurusan segala dasar, rancangan dan hal ehwal lain yang berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan negara, serta penanganan isu-isu jenayah pelbagai kategori yang juga merupakan ancaman non-tradisional kepada negara", ujar Presiden NDP dalam Ucapan Dasar Beliau.
Bercakap mengenai isu ‘Keselamatan Nasional’, tambah Presiden NDP, baru-baru ini diumumkan bahawa Negara sedang merancang untuk mengimport ataupun mendatangkan tenaga elektrik dari negara jiran.
"Rasional yang diberikan ialah dengan mendapatkan bekalan tenaga letrik dari luar negara dapat memantapkan simpanan (reserve) tenaga yang boleh menampung keperluan-keperluan kita pada masa akan datang".
"Dikatakan ia juga bertujuan untuk mengurangkan pengantungan kita kepada penjanaan menggunakan gas yang mana perkara ini adalah satu kenyataan yang berlaku pada masa ini", ujar Presiden NDP sambil menambah, "secara teorinya jika kita dapat mengurangkan penggunaan elektrik dari penjanaan menggunakan gas ini dengan mengimport tenaga dari luar negeri, negara akan dapat menjual sumber gas nya kepada pasaran yang menawarkan harga yang lebih tinggi lagi dari apa yang kerajaan bayar kepada Syarikat Brunei Shell pada masa ini bagi penjanaan kuasa".
Menurut laporn kata Presiden, ini dengan sendirinya akan dapat memberikan keuntungan dari segi ekonomi iaitu dengan penambahkan hasil negara pada masa yang akan datang.
Kata Presiden NDP lagi, setentunya dari sudut ekonomi ia akan menguntungkan negara.
"Tetapi apakah kita sudah meneliti rancangan tersebut dari sudut ‘Keselamatan Nasional’ dalam jangka panjang jika sekiranya bekalan tenaga letrik negara bergantung kepada negara jiran?", tanya Presiden NDP.
Tambahnya, jika kita bimbang dengan isu keselamatan permakanan kerana negara terlalu bergantung kepada makanan import apakah tidak wajar kita juga perlu bimbang jika bekalan tenaga letrik dalam negara bergantung kepada sumber dari luar negara?.
Justeru tegasnya, NDP melihat perlunya penubuhan Jawatankuasa Tetap (Keselamatan Nasional) di dalam Majlis Mesyuarat Negara seperti yang dicadangkan. (ikuti seterusnya laporan sekitar Kongres Agung Tahunan NDP ke-5)
|