BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 Jun.- Negara-negara maju yang ingin mencapai kemajuan, tidak mengenepikan pengaruh faktor sejarah sebagai pemangkin kemajuan, kemakmuran dan kegemilangan.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair berkata, dalam dunia globalisasi dan teknologi info komunikasi (ICT), sejarah tetap memainkan peranan utama dan penting dalam pembangunan bangsa dan negara.
"Kita belajar daripada sejarah bangsa dan negara untuk maju kehadapan. Kita berpegang dan berpandukan kepada sejarah untuk menentukan hala tuju pembangunan dan kemajuan yang ingin kita capai," jelasnya semasa lawatan kerja ke Pusat Sejarah Brunei hari ini.
Yang Berhormat menyarankan agar sejarah perlu terus dicatat dan direkodkan untuk kesinambungan bangsa dan tamadun negara.
Menurutnya, sejarah perlu dimasyarakatkan, sebarkan, ajarkan dan tanamkan secara meluas kepada masyarakat dan generasi muda negara agar mereka dapat terus mengangkat martabat dan kegemilangan bangsa.
Seterusnya Yang Berhormat menyarankan agar kita perlu terus mempergiatkan pencarian, penyelidikan dan penulisan sejarah bangsa dan negara kerana sejarah itu sentiasa berkembang dan merupakan sebagai perjalanan.
"Kita perlu menyebarkan memasyarakatkan sejarah kepada rakyat dan penduduk terutama sekali dikalangan generasi muda dan penuntut supaya mereka menghargai dan menghayati perjuangan dan pengorbanan oleh sultan-sultan, pemimpin-pemimpin dan generasi terdahulu untuk mencapai kemerdekaan, kedaulatan, pembangunan dan kemakmuran yang mereka nikmati pada masa kini dan bagi mereka untuk mengekalkan, mempertahankan dan terus menjana pembangunan dan kemakmuran bangsa dan negara tanpa melupakan sejarah bangsa.
Sehubungan itu ujarnya, kita memerlukan lebih ramai pakar sejarah tempatan di kalangan generasi muda dan oleh yang demikian kita perlu melatih dan mendedahkan lebih ramai golongan muda dalam penulisan, penyelidikan dan penyebaran sejarah.
Disamping tambahnya, kita juga perlu untuk melaksanakan pelbagai pendekatan dan kegiatan ke arah memasyarakatkan dan menyebarluaskan sejarah tanah air secara formal dan tidak formal kepada orang ramai, generasi muda dan penuntut-penuntut sekolah.
"Ini adalah tanggungjawab sejarahwan dan pakar sejarah muda untuk merancang dan melaksanakannya," terangnya.
Sepanjang lawatan kerja ke bahagian-bahagian penting di Pusat Sejarah Brunei, Yang Berhormat telah diiringi oleh Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri.
Taklimat mengenai Peranan dan Tanggungjawab Pusat Sejarah Brunei disampaikan oleh Pegawai Sejarah, Dayang Mardiah binti Haji Ramli.
Pusat Sejarah Brunei merupakan salah sebuah jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang ditubuhkan pada 26 Januari 1982 dengan visi sebagai Pusat Sumber Persejarahan Brunei Yang Autoritatif.
Sementara misinya ialah menyelidik dan menyebarkan persejarahan Brunei, menanamkan semangat patriotik kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan mendokong falsasah Negara Melayu Islam Beraja (MIB).
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Adina binti Othman, Setiausaha-setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan. (Dipetik dari Pelita Brunei)
|