LIMBARUH HIJAU 3 REJAB 1431 (15 JUN 2010) - Tindakan Pasukan Keselamatan Israel (IDF) menyerbu flotilla keamanan lantas mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa merupakan satu jenayah kemanusiaan.
Ini ditekankan oleh Presiden NDP dalam Ucapan Dasar di Kongres Agung Tahunan NDP ke-5.
Tegas Presiden, NDP mengutuk sekeras-kerasnya aksi keganasan dan perbuatan tidak berperi kemanusiaan rejim Tel Aviv ini.
"NDP menyokong dan mendokong sebarang langkah dan tindakan tegas diambil keatas Kerajaan Israel yang sering memperlihatkan keangkuhan, kekuasaan dan tidak segan silu menyerang hatta flotilla Mavi Marvara yang sedang berlayar di perairan antarabangsa", ujar Presiden NDP.
"Saya ingin menyatakan di sini jenayah kemanusiaan ini tidak boleh dilepas pandang begitu sahaja", kata Presiden NDP.
Tambahnya kita semua bertanggungjawab ke atas nasib mereka yang tidak berdosa. Sebarang kekerasan terhadap rakyat awam yang tidak bersalah harus dikutuk dan dihukum.
"Serangan terhadap flotilla sewajarnya menyedarkan masyarakat antarabangsa bahawa isu Gaza harus diselesaikan segera. Justeru PBB dan OIC perlu mengambil tindakan yang berkesan serta hukuman setimpal kerana jika gagal bertindak demikian akan pasti menguatkan persepsi umum akan kegagalan Majlis Keselamatan PBB serta kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat", ujar Presiden NDP lagi.
EXTRADISI PESALAH BRUNEI
Sementara itu dikesempatan yang sama, Preisden NDP juga mencadangkan agar rakyat Negara Brunei Darussalam yang didakwa dan dijatuhkan hukuman di luar negara terutamanya yang beragama Islam agar di "extra-dite" ke negara ini untuk menjalani hukuman yang sama, supaya sekurang-kurangnya akidah mereka akan terpelihara. (Ikuti seterusnya laporan sekitar Kongres Agung Tahunan ke-5) |