LIMBARUH HIJAU 2 REJAB 1431 (14 JUN 2010) - KEMUNGKINAN terdapat sebilangan peladang dikawasan-kawasan pendalaman yang dinafikan peluang untuk turut sama membangun dalam keghairahan pihak Kerajaan memajukan sektor keselamatan permakanan telah turut dibangkitkan oleh Presiden NDP dalam Ucapan Dasar di Konges Agung Tahunan NDP ke-5.
Dalam sektor keselamatan bekalan makanan kebangsaan atau 'national food security’, ujar Presiden, NDP mengambil maklum peruntukkan sebanyak BND20 juta telah diluluskan untuk menjana strategi-strategi dan program-program mengembangmajukan sektor permakanan agar tidak terus bergantung hidup kepada negara luar.
"Hasil kegigihan pihak kerajaan mengembangmajukan sektor ini, Allhamdullilah, hasil pengeluaran beras pada musim 2009/2010 dilaporkan dianggarkan sebanyak 2,900 tan metrik atau mencapai 8.81 peratus tahap sara diri berbanding dengan 911.3 tan metrik iaitu dengan 2.77 peratus tahap sara diri pada tahun 2008".
Menurut laporan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, tambah Presiden NDP, sejak pelancaran Penanaman Padi Ke Arah Sara Diri Pengeluaran Beras di Negara Brunei Darussalam, beberapa kawasan baru telah dikenal pasti dan dibuka di keempat-empat daerah.
Bagi Daerah Brunei Muara, kata Presiden, seluas 170 hektar di Batong, Panchor Murai 150 hektar, Junjongan 1 dan Limau Manis seluas 200 hektar manakala Junjongan 2 ialah 100 hektar telah dilaporkan sebagai kawasan-kawasan yang sedang diusahakan.
Begitu juga bagi Daerah Belait, tambah Presiden, empat kawasan telah dikenal pasti iaitu Kawasan Lot Sengkuang 700 hektar, Labi baru 260 hektar, Buau 1,000 hektar manakala Kandol 600 hektar.
Presiden NDP seterusnya mengambil maklum terhadap perkembangan positif di Daerah Tutong dimana penanaman kawasan padi di Majlis Perundingan Kampung Tanjung Maya dengan 44.88 hektar, Paya Lubuk Gusi 40 hektar, Pengkalan Mau dengan 46.8 hektar dan Supon pula ialah 955 hektar.
Sementara itu, tambah Presiden NDP, di Daerah Temburong, tiga kawasan bagi penanaman padi telah diteroka iaitu 200 hektar di kawasan Selapon, 80 hektar di Senukoh dan 400 hektar di Lekiun/Peradayan.
Selain daripada membuka kawasan baru, Presiden NDP juga mengambil maklum akan usaha Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk meningkatkan infrastruktur ladang di kawasan-kawasan sedia ada di keempat-empat daerah antaranya dengan meningkatkan sistem pengairan saliran dan menaiktaraf jalan ladang, membersihkan kawasan dan mendalami saliran, pembersihan longkang di kawasan ini dengan bantuan Jabatan Kerja Raya.
Juga diambil maklum usaha-usaha lain, termasuk usaha menubuhkan sekolah ladang bagi meningkatkan pengetahuan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agri Makanan serta peladang, menggalakkan penyertaan belia melalui latihan di sekolah vokasional dan menyediakan perkhidmatan lepas tuai.
Namun demikian, tegas Presiden NDP, dalam perkembangan pesat ini kita turut kecewa apabila menerima laporan berhubung nasib masa depan sekumpulan peladang di Temburong.
Menurut Presiden, NDP telah menerima maklumat mengenai nasib malang seramai lebih 20 peladang yang telah hilang mata pencarian apabila tanah yang diusahakan mereka selama lebih 20 tahun diambil balik oleh pihak Jabatan Pertanian atas alasan untuk dimajukan bagi projek semaian padi.
Menurut dakwaan beberapa peladang tersebut, kata Presiden NDP, mereka telah dijanjikan tapak baru malangnya hingga ke hari ini janji tinggal janji.
"Projek semaian yang dilaksanakan terhenti separuh jalan manakala peladang pula terpaksa menganggur kerana tidak ada tapak baru hendak diusahakan".
"Jelas terdapat sedikit ketirisan dalam perlaksanaan projek pembangunan pertanian di Selapon Temburong dan kemungkinan juga di kawasan-kawasan lain yang melibatkan orang-orang kampong", ujar Presiden NDP.
"NDP menyeru pihak-pihak berkenaan agar menyiasat aduan-aduan rakyat ini dan mengambil langkah-langkah segera menanganinya sebelum orang-orang kampong, yang terasa mereka dizalimi, terus hilang kepercayaan kepada agensi-agensi pelaksana dalam kerajaan dan keyakinan kepada rancangan kemajuan sektor permakanan di negara ini". (Ikuti seterusnya laporan sekitar Kongres Agung Tahunan NDP ke-5) |