LIMBARUH HIJAU 11 JUN 2010 - MUKADIMMAH UCAPAN Dasar Presiden NDP di perasmian Kongres Agung Tahunan NDP ke-5 menumpukan perhatian kepada konsep keadilan dan ehsan dari prespektif Islam yang perlu ditanai selaras dengan titah amanat Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam.
"Dalam konteks keadilan ini dan sesuai dengan Brunei sebagai sebuah negara Islam dan negara zikir, ingin saya menarik perhatian saudara saudari kepada konsep KEADILAN DALAM AL-QURAN".
Jelas Presiden, keadilan banyak dibicarakan dalam Al-Quran, tidak hanya pada proses penetapan hukum atau terhadap pihak yang berselisih, malahan Al-Quran juga menuntut keadilan terhadap diri sendiri, baik ketika berucap, menulis atau lain-lain yang bersikap batin.
Firman Allah, “Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil walaupun terhadap kerabat...! (Surah Al-An’am:152).
“Dan hendaklah ada di antara kamu seorang penulis yang menulis dengan adil” (Surah Al-Baqarah: 282).
Juga ditegaskan dalam Al Quran bahawa para Rasul juga diutus bertujuan untuk menegakkan sistem kemanusiaan yang adil.
Firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul, dengan membawa bukti-bukti nyata, dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (keadilan) agar manusia dapat melaksanakan keadilan (Surah Al-Hadid [57]: 25).
Dari aspek kepimpinan, Al-Quran pula memandang ianya sebagai “perjanjian Ilahi" yang melahirkan tanggungjawab menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.
Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku akan menjadikan mu (hai Ibrahim) pemimpin untuk seluruh manusia." Dia (Ibrahim) berkata, (Saya bermohon agar) termasuk juga keturunan-keturunanku "Allah berfirman, "Perjanjian-Ku ini tidak akan diterima oleh orang-orang yang zalim” (Surah Al-Baqarah: 124).
Demikian, tambah Presiden, jelas bahawa kepemimpinan dalam pandangan Islam bukan sekadar kontrak sosial sahaja, tetapi juga menjadi kontrak atau perjanjian antara Allah dan pemimpin untuk menegakkan keadilan.
Al-Quran juga, tambah Presiden NDP, menetapkan bahawa salah satu sendi kehidupan bermasyarakat adalah keadilan dan ehsan.
Jelas Presiden, Al-Quran telah memerintahkan perbuatan adil dan kebajikan seperti firmanNya yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan" (Surah Al-Nahl: 90)
"Ayat yang disebutkan tadi mengariskan tiga prinsip yang perlu dijadikan landasan dalam menata sebuah masyarakat".
Ketiga prinsip tersebut, ujar Presiden, ialah keadilan, ehsan, dan takaful.
Katanya melalui ayat ini Allah telah memerintahkan siapapun kita untuk menjunjung tinggi nilai keadilan dalam semua urusan dan bersikap ehsan dalam setiap perbuatan.
Konsep adil dan ihsan adalah dua prinsip yang harus dilaksanakan secara bersamaan. Karena, sikap adil hanya akan membawa kepada keselamatan dan kesejahteraan seperti yang dititahkan oleh KDYMM, tambah Presiden lagi.
"Sesungguhnya kita berharap ketiga prinsip ini – keadilan, ehsan, dan takaful- akan terus ditegakkan demi kesejahteraan bangsa dan negara", seru Presiden dalam Ucapan Dasar tersebut. (Ikuti seterusnya laporan sekitar Kongres Agung Tahunan NDP ke-5) |