PERJALANAN KONGRES AGUNG TAHUNAN NDP KALI KE-3

Sokongan rakyat kunci keutuhan bangsa dan negara

 
 

LIMBARUH HIJAU 30 JUN 2008 - Keutuhan bangsa dan negara itu tidak hanya dicapai dengan kekuatan tentera dan persenjataan sahaja. Lebih dari itu ianya memerlukan kepada perpaduan yang kukuh di kalangan rakyatnya di samping kesetiaan yang bulat tumpat terhadap pemerintah.

Demikianlah pandangan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) terhadap isu keutuhan bangsa dan negara yang di nyatakan oleh Ayahnda Yasin Afandy, Presiden NDP dalam Ucapan Dasar Presiden di majlis perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-3 yang berlangsung di Dewan Utama ICC, Berakas pada 21 Jun 2008 yang baru lalu.

Ucapan Dasar Presiden di sampaikan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP.

"Sejarah mengajar kita bahawa keutuhan bangsa dan negara itu tidak hanya dicapai dengan kekuatan tentera dan persenjataan sahaja", tegas Presiden NDP.

Satu contoh klasik ialah perang Vietnam, tambah Presiden NDP.

Katanya dalam perang Vietnam misalnya, kita melihat bagaimana kekuatan tentera Amerika yang menyokong Vietnam Selatan tumpas di tangan gerila Vietcong yang disokong oleh seluruh rakyat Vietnam.

"Vietnam Selatan tumpas kerana yang
berperang di barisan hadapan hanyalah tentera Amerika dan tentera kerajaan tanpa mendapat sokongan rakyatnya", ujar Presiden NDP.

"Hal yang sama juga berulang di Afghanistan dan Iraq yang sehingga kini masih belum mencapai keamanan dan kemakmuran yang dicita-citakan".

Sejarah ini menurut Presiden NDP, memperlihatkan kepada kita betapa untuk mempertahankan keutuhan wilayah yang menjadi salah satu nilai kebangsaan sesebuah negara yang berdaulat, dan untuk mencapai keamanan dan kemakmuran yang sejati, perpaduan yang kukuh di kalangan rakyatnya amat dituntut di samping kesetiaan yang bulat tumpat terhadap pemerintah.

"Tanpa partisipasi seluruh rakyat di dalam bernegara, seperti mempertahankan keutuhan wilayah dan nilai-nilai kebangsaan yang lain, menjaga keamanan dan menyuburkan kemakmuran sejati tidak mungkin kita capai dan dapat pertahankan", tegas Presiden NDP. 

Justeru, tambahnya, penglibatan rakyat dalam semua urusan kenegaraan adalah penting lebih-lebih lagi bagi sesebuah negara kecil.

Pada hemat Presiden NDP, ikatan yang kukuh antara pemerintah dan rakyat itu hanya akan lahir dan tersimpul mati jika sesebuah pemerintahan itu diasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan yang  membawa bersamanya ihsan, belas kasihan dan kasih sayang dimana sifat-sifat ini sebenarnya adalah menjadi amalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia selama ini.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.