'Saya tetap lindungi hak Israel'

 
 

WASHINGTON: Barack Obama dalam ucapan dasar luar pertamanya selepas disahkan menewaskan Hillary Clinton sebagai calon Demokrat bagi pemilihan Presiden baru Amerika Syarikat, semalam menegaskan tidak akan berkompromi bagi sebarang isu membabitkan keselamatan sekutu utama negaranya, Israel.

Malah, ketika berucap di persidangan tahun Majlis Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (Aipac) yang juga kumpulan pelobi berpengaruh, Obama menegaskan Baitulmaqdis juga perlu dikekalkan sebagai hak Israel.

“Baitulmaqdis akan terus kekal ibu negara Israel dan tidak boleh dibahagikan,” katanya yang disambut tepukan gemuruh.

Isu status Baitulmaqdis sememangnya menjadi isu getir rundingan damai Israel-Palestin kerana Palestin mahukan bandar itu menjadi ibu negaranya kelak.

Dalam ucapan pro-Israel dan dianggap asas pendirian dasar luar jika bergelar Presiden baru, Obama turut mengakui dirinya sebagai sahabat sejati Israel dan perhubungan Washington-Tel Aviv tidak mungkin terputus.

“Sebagai Presiden, saya tidak akan berkompromi langsung terhadap sebarang isu keselamatan Israel,” kata Obama.

“Perhubungan Israel dan Amerika tidak akan berpecah esok atau bila-bila masa pun,” katanya sambil menyifatkan kenyataannya lahir daripada ‘hati seorang sahabat sejati’ Israel.

“Saya berikrar untuk menyokong Israel mempertahankan haknya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memberikan bantuan bagi memastikan keselamatan Tel Aviv terjamin.”

Parti Republikan sebelum ini menyelar Obama kerana menawarkan kesediaan untuk berbincang dengan musuh Amerika, Iran. - AFP

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.