LIMBARUH HIJAU 26 JUN 2008 - REFORMASI politik yang menjurus kearah memberikan ruang kepada penglibatan penuh rakyat dalam proses membuat keputusan jelas merupakan satu isu yang kurang jelas di Negara Brunei Darussalam.
Apakah ianya satu kenyataan atau hanya tangapan segolongan mereka yang inginkan pembaharuan dan tanggapan mereka yang percaya dan yakin bahawa kestabilan politik sebenar tidak akan kekal jika ianya di wujudkan dalam suasana yang menekan kebebasan rakyat untuk bersuara, berpersatuan dan bebas untuk membuat pilihan untuk sama-sama menentukan nasib dan masa depan bangsa dan negara dengan penuh kematangan dan tanggunjawab?
 |
Persoalan ini merupakan antara isu yang di sentuh oleh Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy dalam Ucapan Dasar beliau di majlis perasmian Kongres Agung Tahunan NDP kali ke-3 yang berlangsung di Dewan Utama Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) pada 21 Jun 2008.
Ucapan dasar beliau telah di sampaikan oleh sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP.
|
Dalam Ucapan dasar tersebut Presiden NDP mengajak ahli-ahli dan kepimpinan parti serta hadirin yang hadir meninjau persoalan reformasi politik dan kaitannya dengan Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam.
"Perencanaan Kemajuan tersebut merangkumi Wawasan Brunei 2035, Rangka Strategi Dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007-2017 dan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007-2012", jelas Presiden NDP.
Menurut Presiden NDP, di dalam Buku Perancangan Kemajuan tersebut, terdapat tiga tempat di mana isu kestabilan politik dirujuk.
"Pertama, di bawah rumusan harapan utama rakyat, dikatakan hasil beberapa konsultasi dengan beberapa lapisan masyarakat, harapan utama rakyat Brunei ialah “untuk mengekalkan kestabilan politik yang dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam”.
"Kedua, salah satu teras pembangunan yang digubal ialah untuk “mempercepatkan pembangunan sosial dan mempertahankan kestabilan politik”
"Ketiga, di bawah Strategi Keselamatan digalurkan pula strategi “untuk memelihara kestabilan politik dan kedaulatan negara”.
Walaupun kedua-dua teras pembangunan dan strategi keselamatan menyebut persoalan kestabilan politik, tegas Presiden NDP, namun dalam huraian lanjutnya tidak sedikit pun disentuh mengenai pembaharuan politik.
Dari pengamatan Presiden NDP kestabilan politik yang dimaksudkan dalam dokumen ini mempunyai pengertian dan maksud yang berbeza sama sekali dengan yang kita fahami.
"Jika dihalusi dari makna yang tersirat, petikan-petikan tersebut sebenarnya membawa pemahaman dan kecenderungan yang memberi impak negatif kepada proses pembaharuan politik tanahair yang dicetuskan oleh Kebawah DYMM", tegas Presiden NDP.
Katanya tanggapan tersebut bertentangan sama sekali dengan isyarat yang kita terima berdasarkan titah sambutan keputeraan Kebawah DYMM yang saya sebutkan sebelum ini.
Presiden NDP berpandangan apa yang cuba disogokkan kepada rakyat ialah Brunei kini sudah pun mencapai kestabilan politik.
"Kenyataan ini seperti membawa maksud bahawa status quo establishment kini wajar dikekalkan, justeru itu penglibatan rakyat yang aktif dan bermakna dalam proses politik adalah tidak perlu", ujar Presiden NDP.
"Jika kenyataan ini menjadi pegangan negara dan perencanaan pembangunan diolah mengikut acuan pegangan tersebut, maka menjelang 2035 kita akan terus berada dalam satu political vacuum", tambahnya lagi.
"Kalau inilah senarionya, apa ertinya segala langkah pembaharuan yang telah dibuat, khususnya pindaan perlembagaan 29 September 2004 dan pemulihan Majlis Mesyuarat Negara tersebut?"
"Apakah kita masih mempunyai ruang dan cara untuk memperbetulkan jajaran dengan harapan reformasi politik diterima sebagai sebahagian dari komponen yang akan memacu kejayaan Wawasan 2035?"
"Oleh yang demikian, saya mengajak saudara-saudari sekalian untuk menghalusi persoalan ini dan kita tangani dengan penuh hikmah dan berhemah", ujar Presiden NDP.
Artikel berkaitan: