Proses damai
 
 
 
 
 

 

   
 

Proses damai Mindanao terbantut

 
 

LIMBARUH HIJAU 04 JUN 2008 - MASA depan proses damai di Mindanao antara MILF dan Kerajaan Filipina nampak tidak begitu cerah berikutan langkah Malaysia untuk menamatkan misinya selaku ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) bulan lepas atas alasan tidak senang dengan kemajuan perkembangan proses damai tersebut.

Jika Malaysia berharap langkahnya itu boleh memberikan tekanan kepada Kerajaan Filipina untuk mengubah sikap dan tidak terus berdolak dalik dalam menyelesaian perundingan dengan pihak MILF, jelas strategi tersebut sejauh ini tidak berhasil seperti yang di harapkan.

Sebaliknya pihak MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro) semakin tertekan dengan perundingan damai yang berumur 4 tahun itu. Dengan ketiadaan Malaysia selaku orang tengah, ianya tidak dapat di teruskan seperti biasa.

Kerajaan Filipina pula jelas tidak kelihatan tertekan dengan pengunduran pasukan Malaysia, malahan memberikannya ruang untuk meneruskan agenda politiknya yang hanya melambat-lambatkan penyelesaian perundingan damai dengan pihak MILF (Barisan Pembebasan Islam Moro) yang sudah terbantut buat masa ini.

Dalam perkembangan terbaru, pihak Kerajaan Filipina mengambil inisiatif untuk meneruskan perundingan damai secara dua hala sahaja antara MILF dan pihak kerajaan. Ianya di tolak oleh MILF atas alasan ianya tidak bertepatan dengan persetujuan awal dalam proses damai yang melibatkan pihak Malaysia dan IMT.

Dalam masa Malaysia mengambil langkah mengundurkan pasukan pengamannya dari Mindanao, Manila pula mengambil langkah membebaskan Nur Misuari, pemimpin Barisan Pembebasan bangsa Moro (MNLF) dari tahanan.

Pembebasannya seperti yang di jangkakan, membukakan ruang kepada Manila untuk melihat agenda tuntutan Filipina ke atas Sabah melalui Mindanao di hidangkan semula.

Nur Misuari yang baru bebas di laporkan sebagai berkata isu tuntutan ke atas Sabah akan di hadapkan kepada Pengadilan Antarabangsa (ICJ).

Manila dalam masa sama mengambil kesempatan untuk mengalih pandangan umum dari proses damai yang terbantut dengan memainkan sentimen bangsa Moro terhadap tutnutan mereka ke atas Sabah. Manila mengandaikan terdapat agenda tersembunyi dan kesepakatan antara MILF dan Malaysia berhubung isu tuntutan Filipina keatas Sabah.

Perkara ini di nafikan oleh pihak MILF dengan menekankan isu Sabah tidak kena mengena dengan isu proses damai di Mindanao makanya MILF tidak pernah menyentuh isu tersebut dan ini tidak bererti MILF sudah berpakat dengan Malaysia untuk tidak menuntut Sabah.

Sementara itu di perkembangan lain, Libya dan Brunei Darussalam di laporkan sedang menimbangkan untuk menghantar lebih ramai anggota pengaman ke selatan Filipina bagi memantau gencatan senjata goyah di antara Manila dan pertubuhan pemisah Islam terbesar negara itu yang dimeterai pada 2003.

Menurut laporan Berita Harian Malaysia, Penasihat Keselamatan Kebangsaan Filipina, Norberto Gonzalez berkata Libya dan Brunei yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 anggota pemerhati, sudah berikrar meningkatkan kehadiran mereka kepada masing-masing 25 orang.

Gonzalez berkata, Indonesia juga menimbang menambah anggota pemantaunya.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.